Black Shark 3S Mungkin Dibawa Masuk Ke Malaysia Tidak Lama Lagi

Jenama popular bagi peranti memfokuskan kepada permainan mudah alih, Black Shark baru-baru ini telah memperkenalkan model baharu, Black Shark 3S.

Diumumkan terlebih dahulu untuk pasaran China, model baharu ini dikhabarkan bakal dibawa masuk secara rasmi ke pasaran tempatan tidak lama lagi.



Black Shark 3s dilihat sebagai sedikit naik taraf kepada model sedia ada iaitu Black Shark 3 dimana ia hadir dengan kadar segar semula lebih tinggi iaitu 120Hz dan storan UFS 3.1.

Lain-lain spesifikasi masih kekal sama seperti cip pemprosesan Snapdragon 865, paparan AMOLED 6.67 inci FHD+, RAM 12GB, pilihan storan antara 128GB atau 256GB atau 512GB, bateri 4720mAh, sokongan pengecasan pantas 65W dan pengecasan menerusi port magnetik 18W.

Bagi tetapan kamera pula, ia menampilkan tiga kamera belakang terdiri daripada lensa 64MP, 13MP ultra lebar dan 5MP sensor depth. Bahagian hadapan pula ditugaskan kepada kamera 20MP yang terletak pada bezel atas peranti.

Ia sudah mula dijual di China pada 4 Ogos yang lalu pada harga permulaan 3999 yuan (~RM2411) sehingga 4799 yuan (~RM2894). Model Black Shark 3 di Malaysia dijual pada harga rasmi RM2799 dan berkemungkinan Black Shark 3S akan lebih tinggi sedikit nilainya. Versi Pro pula ditawarkan di Malaysia pada harga RM4199.