Black Shark 2 Diperkenalkan Secara Rasmi Sebagai Black Shark Helo

Selepas beberapa minggu mengacah mengenai pelancaran model Black Shark 2 di laman sesawang globalnya, Xiaomi akhirnya telah melancarkan secara rasmi peranti berkenaan semalam. Akan tetapi, ia bukanlah dikenali sebagai Black Shark 2 tetapi Black Shark Helo(BS Helo).

Berbeza dengan model pertama(skrin LCD), Xiaomi telah membekalkan BS Helo dengan skrin AMOLED 6.01-inci tanpa takuk dengan resolusi FHD+. Namun, refresh rate peranti ini masih kekal pada 60Hz.

Kapsyen: Kredit: Xiaomi


Satu lagi penambahbaikan menarik pada keluaran kali ini ialah saiz memorinya yang sebesar 10GB RAM. Ia sekaligus menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih lancar dan pantas. Ruang simpanan dalaman yang disediakan pula ialah sebesar 256GB.

Selain itu, BS Helo turut hadir dengan dua lagi variasi iaitu 6GB dan 8GB RAM. Kedua-duanya akan dilengkapi dengan ruang simpanan sebesar 128GB. Tiada sebarang maklumat mengenai sokongan mikroSD dinyatakan.

Sesuai dengan reputasinya sebagai peranti permainan mudah alih, BS Helo dikuasakan dengan cip Snapdragon 845 serta bateri besar berkapasiti 4,000mAh yang menyokong Quick Charge 3.0. Ia juga mempunyai sistem penyejukan bagi memastikan suhu peranti sentiasa berada di tahap optimum.

Kapsyen: Kredit: WccfTech


Tidak lengkap rasanya sebuah peranti gaming tanpa sebarang aksesori tambahan. Oleh itu, Xiaomi membekalkan pembeli dengan gamepad secara percuma. Satu lagi perkara penting dalam peranti gaming, sistem lampu RGB turut akan menghiasi tubuh Black Shark Helo ini.

Cukup bercakap mengenai kebolehan bermain permainan videonya.

Kapsyen: Kredit: Xiaomi


Xiaomi turut menyertakan kamera berkualiti pada peranti ini di mana ia akan hadir dengan sistem dwi-lensa 12MP dan 20MP pada bahagian belakang. Manakala lensa tunggal 20MP pula tersedia bagi tangkapan swafoto.

Black Shark Helo akan mula ditawarkan di pasaran China pada 30 Oktober ini dengan harga CNY3,199(~RM1,920) bagi model 6GB RAM dan CNY3,499 (~RM2,100) bagi model 8GB RAM. Tiada maklumat mengenai harga model 10GB RAM setakat ini.

Informasi mengenai ketersediaan peranti ini di peringkat global juga masih gagal didapatkan. Namun, kemungkinan besar ia akan dilancarkan di pasaran luar memandangkan BS Helo ini telah dipromosikan di laman sesawang globalnya sebelum ini.

 

Sumber : Xiaomi   Android Authority