Google bakal melaburkan sekurang-kurangnya 13 bilion euro (~RM58.5 bilion / $15 bilion) dalam pusat data dan infrastruktur digital lain bagi memacu aspirasi kecerdasan buatan (AI) di Finland, dalam apa yang dipanggil oleh gergasi teknologi AS itu sebagai pelaburan tunggal terbesarnya di Eropah pada Rabu.
Pelan bernilai $15 bilion itu turut merangkumi projek tenaga bersih bagi tempoh dua tahun akan datang, yang menurut Google merupakan “bukti kepimpinan Finland dalam membina infrastruktur AI secara bertanggungjawab”.
Syarikat tersebut akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Finland serta empat pihak berkuasa tempatan di seluruh negara: Hamina, Kajaani, Muhos, dan Vaala.
Peluasan ini bertujuan untuk memacu pelbagai perkhidmatan gergasi teknologi tersebut, termasuk bot sembang AI mereka, Gemini.
“Pelaburan ini adalah satu sejarah di Finland,” kata Perdana Menteri Finland, Petteri Orpo, kepada AFP selepas sidang media.
Beliau menyifatkannya sebagai tanda bahawa “kami telah melakukan perkara yang betul di Finland”, sambil memetik pelaburan dalam rangkaian bekalan elektrik, pengeluaran tenaga, dan tenaga kerja.
“Ini menjadikan kami sebagai peneraju dalam digitalisasi dan AI,” kata Orpo.
Sejak membeli sebuah bekas kilang kertas dan mengubahnya menjadi pusat data di bandar pesisir Hamina pada tahun 2009, Google telah meningkatkan kehadirannya secara berterusan di negara berkenaan.
Antti Jarvinen, Pengarah Google bagi Finland, berkata tapak Hamina telah pun diperluaskan sebanyak tujuh kali dan kini menempatkan tujuh buah pusat data.
“Kini kami sedang membina lebih banyak fasiliti di Hamina, memperluaskan tapak itu ke tahap yang luar biasa, dan kami akan membuka operasi pusat data di tiga lokasi baharu di perbandaran Kajaani, Muhos, dan Vaala,” kata Jarvinen kepada AFP.
Beliau menambah bahawa jumlah akhir pusat data baharu yang bakal dibina dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang.
Fasa pembinaan bagi pelaburan baharu ini dijangka bermula pada tahun 2027 dan 2028, di mana Google menganggarkan ia akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara KDNK Finland sebanyak 3.6 bilion euro (~RM16.2 bilion) setiap tahun dan “menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan”.
Kira-kira 16,000 daripada jumlah pekerjaan berkenaan adalah dalam sektor pembinaan.
Selepas fasa pembinaan, pengendalian operasi baharu tersebut akan menyokong sekitar 7,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung secara tahunan, kata Google.
Menarik Pelaburan
Dengan iklimnya yang dingin serta bekalan elektrik yang stabil dan relatif murah hasil daripada loji tenaga nuklear, angin, dan hidro yang meluas, Finland menyaksikan lonjakan pembinaan pusat data dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan puluhan fasiliti sedang dibina.
Usaha menarik pelaburan dalam sektor ini menjadi keutamaan bagi kerajaan haluan kanan pimpinan Orpo ketika negara Nordik itu bergelut dengan kadar pengangguran tertinggi dalam sejarah serta pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Lonjakan pusat data dijangka meningkatkan penggunaan tenaga elektrik secara drastik, dengan pengendali rangkaian tenaga Fingrid meramalkan lonjakan sebanyak 40 peratus dalam beberapa tahun akan datang.
Penggunaan tenaga berskala besar ini telah mencetuskan kebimbangan mengenai risiko alam sekitar serta peningkatan kos tenaga bagi isi rumah di Finland.
Selain itu, Perkhidmatan Keselamatan dan Intelijen Finland (Supo) baru-baru ini memberi amaran bahawa pusat data milik syarikat asing boleh meningkatkan risiko keselamatan.
Syarikat utiliti Finland, Fortum, mengumumkan pada Rabu bahawa mereka telah menandatangani perjanjian bekalan tenaga selama 22 tahun dengan Google, yang membolehkan mereka “meneruskan operasi loji tenaga nuklear Loviisa sehingga tamat lesen operasinya pada tahun 2050”.
Tanpa pembiayaan tersebut, loji berkenaan yang kini membekalkan kira-kira 10 peratus tenaga elektrik Finland. tidak akan mampu meneruskan operasinya melebihi tahun 2030, kata Fortum. – AFP
{suggest}
