Pastikan dahulu sesebuah laman sesawang itu selamat dilayari sebelum anda terus melayarinya.
Dalam sehari, anda mungkin melayari lebih daripada 10 laman sesawang yang berbeza.
Kadang-kadang laman sesawang yang dilayari pula mungkin berpunca kerana terleka atau tidak sengaja yang menyebabkan anda mungkin terklik pada pautan yang muncul di laman tersebut.
Seterusnya pautan itu tadi akan membawa pula anda ke laman sesawang lain yang nampak begitu mencurigakan.
Jadi di sini dikongsikan 5 tips untuk anda melayari sesebuah laman sesawang dengan lebih selamat.
1. Aktifkan ciri-ciri keselamatan yang ada pada aplikasi pelayar
Kebanyakan aplikasi pelayar moden yang ada kini memiliki pelbagai ciri keselamatannya tersendiri.
Contohnya seperti ciri menghalang popup (kebiasannya menghalang iklan-iklan yang menjengkelkan daripada timbul), ciri Do Not Track dan banyak lagi.
Ciri-ciri ini boleh diaktifkan daripada tetapan khas yanag pada aplikasi pelayar yang anda gunakan.
Sebagai contoh, bagi aplikasi pelayar Google Chrome di bahagian Settings > Advanced > Privacy and security, anda disyorkan mengaktifkan ciri Safe browsing dan Send a ‘Do Not Track’ request with your browsing traffic.

Setiap aplikasi pelayar memiliki ciri keselamatan istimewanya tersendiri. Anda boleh menyemak dan mengaktifkan sendiri ciri-ciri keselamatan yang ada pada aplikasi pelayar yang anda gunakan.
2. Semak alamat laman web, pastikan ia betul
Ini yang biasanya terjadi kepada pengguna yang suka klik pada sesuatu pautan secara tidak sengaja kerana mereka tidak melihat dahulu dengan baik pautan yang dipaparkan itu atau membaca alamat laman sesawang yang dilayari mereka.
Sebagai contoh, anda menaip atau klik pada pautan Yah00.com. Padahal pautan yang sebenarnya adalah yahoo.com. Ini adalah antara teknik penipuan atau juga dikenali sebagai pancingan (phishing) yang biasa digunakan oleh penggodam bagi mengelirukan anda.

Jadi sebaiknya, anda melihat dan mengeja dulu alamat laman sesawang yang diberikan itu sama ada ia betul ataupun tidak.
Ini kerana, tabiat memandang sepintas lalu pada sesuatu pautan dan terus klik tanpa mengetahui ke mana pautan tersebut akan membawa anda hanya akan menyebabkan anda mudah menjadi mangsa penggodam.
Maka jangan mudah tertipu dengan teknik penipuan seperti ini.
3. Pastikan laman sesawang itu menggunakan HTTPS
HTTP (Hypertext Transfer Protocol) adalah protokol asas yang digunakan dalam WWW (World Wide Web) bagi tujuan penghantaran data antara aplikasi pelayar dan laman sesawang yang pengguna lawati.
HTTPS pula adalah versi tambahan keselamatan terhadap protokol tersebut di mana “S” yang ditambah itu merujuk kepada “sekuriti”.
HTTPS dapat mengenkrip komunikasi pengguna bagi mengelakkan daripada penggodam mencuri maklumat sensitif pengguna internet.
Kebiasaannya, institusi kewangan seperti perbankan dan perniagaan atas talian akan menggunakan HTTPS ini.
Walaubagaimanapun, dengan kesedaran keselamatan internet yang semakin meningkat, kini boleh dikatakan hampir kesemua laman sesawang telah pun mengaplikasikan HTTPS dalam alamat laman sesawang mereka.

Walaubagaimanapun. suka diingatkan bahawa penggunaan HTTPS bukanlah jaminan bahawa sesebuah laman sesawang itu selamat sepenuhnya.
HTTPS hanyalah salah satu daripada ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi sesebuah laman.
Ini kerana terdapat juga laman sesawang palsu yang berselindung disebalik HTTPS ini dengan tujuan mengelirukan pengguna supaya ia seolah-olah kelihatan seperti sebuah laman muka yang sah.
Tetapi anda boleh mempraktikkan pendekatan ini – elakkan daripada membeli-belah secara atas talian atau berurusan dengan sesebuah laman sesawang yang tidak menggunakan HTTPS.
4. Imbas laman sesawang yang hendak dilayari
Sebelum melayari sesebuah laman di internet, anda juga boleh membuat imbasan terhadap laman tersebut bagi menyemak dan meyakinkan anda bahawa laman itu selamat dilayari.
Anda boleh menggunakan perkhidmatan Virus Total iaitu sebuah laman sesawang keselamatan yang menyediakan servis percuma yang mampu mengimbas keselamatan sesebuah laman sesawang secara atas talian dengan percuma.
5. Lain-lain
Sebagai perlindungan tambahan untuk anda ketika melayari internet, anda disyor menggunakan aplikasi antivirus untuk komputer atau peranti pintar anda seperti aplikasi antivirus SOPHOS, AVG, Malwarebyte dan banyak lagi.