Sebuah premis bertemakan kecerdasan buatan (AI) di Beijing, China menawarkan sesuatu yang agak luar biasa kepada pengunjungnya, iaitu akses token DeepSeek tanpa had untuk kegunaan pengaturcaraan.
Menurut Reuters, premis yang dikenali sebagai AGI Bar itu terletak di Zhongguancun, kawasan teknologi utama Beijing berhampiran Universiti Tsinghua dan Universiti Peking. Ia diasaskan oleh pembangun AI bebas, Song De dan menjadi lokasi pertemuan dalam kalangan pembangun, pelabur serta pelajar yang berminat dengan teknologi AI.
Antara tarikan utamanya ialah pakej berharga 9.9 yuan, kira-kira RM5.95, yang disertakan akses kepada token DeepSeek tanpa had untuk tugasan pengaturcaraan ketika berada di premis.

Untuk menyediakan kemudahan tersebut, AGI Bar menggunakan dua unit NVIDIA DGX Spark bagi menjalankan sistem AI secara lokal.
ithome pula melaporkan pelanggan yang membuat pembelian dan menyambung ke rangkaian Wi-Fi premis boleh mendapatkan akses percuma kepada API DeepSeek V4 Flash.

Pengguna diberikan Base URL dan API Key yang membolehkan model itu digunakan melalui alat pembangunan yang menyokong format OpenAI API, termasuk Claude Code, Codex, Cursor dan Cherry Studio. Semua token diproses secara lokal menggunakan perkakasan yang disediakan AGI Bar.

Selain menawarkan akses AI, premis berkenaan turut menganjurkan seminar pembangun, pertemuan penyelidikan dan pelbagai acara untuk komuniti teknologi.
Bagaimanapun, model perniagaan tersebut masih belum menguntungkan. Song memberitahu Reuters bahawa AGI Bar sedang mengalami kerugian, termasuk akibat pelbagai pemberian dan acara percuma.
Menurutnya, jumlah minuman yang diberikan secara percuma kira-kira 10 kali ganda lebih banyak berbanding yang berjaya dijual.
Song melihat AGI Bar sebagai platform untuk membawa AI lebih dekat kepada orang ramai dan komuniti pembangun. Premis itu juga merancang memperkenalkan pelayan robot humanoid serta mengembangkan operasinya ke lokasi lain pada masa akan datang.
{suggest}
