Umum mengetahui ASUS sudah menjadualkan 22 Julai 2020 (11 malam waktu Malaysia) sebagai tarikh acara pengenalan ROG Phone 3. Sudah disahkan bakal hadir dengan cip Snapdragon 865+, kini terdapat perkhabaran baru untuk peminat tempatan.
Menurut ASUS Malaysia, ROG Phone 3 akan dibawa masuk ke pasaran tempatan secara rasmi sekitar pertengahan bulan September depan. Melalui penawaran yang bakal dibuat itu, terdapat tiga variasi yang disediakan iaitu…
- ROG Phone 3 Strix (Snapdragon 865, RAM 8GB, storan 256GB)
- ROG Phone 3 (Snapdragon 865+, RAM 12GB, storan 512GB)
- ROg Phone 3 (Snapdragon 865+, RAM 16GB, storan 512GB)
… dan pengeluar turut menyatakan tiada pilihan storan 1TB yang akan ditawarkan untuk edisi kali ini, tetapi datang dengan RAM 16GB. Berbeza dengan tawaran ROG Phone 2 sebelum ini yang menyediakan pilihan storan 1TB.
Berkenaan dengan harga pula, ia mungkin ditetapkan menghampiri harga ROG Phone 2 sebelum ini. Sebagai perbandingan ROG Phone 2 Strix berharga RM 2499, ROG Phone 2 dijual pada RM3499 sementara ROG Phone 2 (1TB) pula ditetapkan pada RM4499. Anda boleh meramalkan tanda harga rasmi keluaran baru tersebut untuk pasaran Malaysia sekitar harga-harga ROG Phone 2.
Bagi maklumat lebih lengkap berkenaan spesifikasi, sama-sama kita nantikan acara pelancaran 22 Julai ini yang boleh ditonton pada saluran YouTube dibawah.