Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP

Apple Saman OpenAI, Dakwa Curi Rahsia Dagangan Untuk Bangunkan Peranti Sendiri

Posted on Julai 11, 2026

Apple pada Jumaat memfailkan saman terhadap OpenAI dengan mendakwa syarikat AI itu menjalankan kempen terancang untuk mencuri rahsia dagangan miliknya ketika berusaha membangunkan peranti perkakasan pengguna sendiri.

Saman yang difailkan di mahkamah persekutuan di San Jose, California itu mendakwa OpenAI secara agresif merekrut kakitangan Apple serta mendapatkan maklumat sulit bagi membangunkan perantinya sendiri.

Tindakan undang-undang itu menandakan peningkatan ketegangan antara kedua-dua syarikat yang pernah bekerjasama pada 2024 untuk mengintegrasikan ChatGPT ke dalam produk Apple.

Namun, hubungan tersebut dilaporkan semakin renggang. Pada Mei lalu, Bloomberg melaporkan OpenAI turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Apple kerana didakwa gagal mempromosikan integrasi ChatGPT dengan sewajarnya.

“Di setiap peringkat, daripada kakitangan teknikal sehinggalah Ketua Pegawai Perkakasan, serta dengan kerjasama rakan niaga, OpenAI telah mencuri rahsia dagangan dan maklumat sulit Apple,” menurut Apple dalam dokumen saman setebal 41 halaman itu.

Saman tersebut dijangka merumitkan rancangan OpenAI untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang dinanti-nantikan.

Syarikat yang dianggarkan bernilai sekitar AS$852 bilion itu telah mengumpulkan lebih AS$180 bilion daripada pelabur, manakala pengembangan ke dalam pasaran perkakasan pengguna dilihat sebagai peluang utama untuk pertumbuhan.

“Bukti penting telah muncul yang menunjukkan individu yang bekerja di OpenAI telah mengambil maklumat sulit dan rahsia Apple berkaitan teknologi, proses serta produk kami yang masih belum diumumkan,” kata Apple dalam kenyataan kepada AFP.

“Kami akan sentiasa mempertahankan hasil kerja keras dan inovasi pasukan kami, serta akan mengambil semua langkah yang sewajarnya.”

Sebagai respons kepada AFP, OpenAI menafikan dakwaan tersebut.

“Kami tidak berminat dengan rahsia dagangan syarikat lain. Kami kekal memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi inovatif yang memperkasakan pengguna di seluruh dunia,” kata jurucakap OpenAI.

Saman itu turut menamakan anak syarikat perkakasan OpenAI, io Products — syarikat yang diasaskan bersama bekas ketua reka bentuk Apple, Jony Ive serta dua bekas pekerja Apple iaitu Tang Yew Tan, kini Ketua Pegawai Perkakasan OpenAI, dan jurutera Chang Liu.

Apple berkata ia menuntut ganti rugi serta perintah mahkamah bagi menghalang OpenAI daripada menggunakan maklumat sulitnya selepas syarikat AI itu didakwa gagal memberi maklum balas terhadap kebimbangan yang dibangkitkan Apple pada Februari lalu.

Dakwaan Guna Kod Rahsia Apple Dalam Temu Duga

Tang Yew Tan berkhidmat di Apple selama 24 tahun, kali terakhir sebagai Naib Presiden Reka Bentuk Produk untuk iPhone dan Apple Watch, sebelum mengasaskan bersama io Products yang kemudiannya diambil alih OpenAI pada 2025 dengan nilai kira-kira AS$6.5 bilion.

Apple mendakwa Tan menggunakan nama kod projek sulit ketika sesi temu duga di OpenAI untuk mendapatkan maklumat mengenai produk Apple yang masih belum diumumkan. Menurut saman itu, kira-kira 400 kakitangan OpenAI merupakan bekas pekerja Apple.

Tan juga didakwa menggalakkan pekerja Apple membawa komponen fizikal seperti bateri, papan litar dan bahagian lain ke sesi temu duga bagi tujuan “show and tell”.

Apple menyifatkan penemuannya sebagai “hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan isu” dan berkata pihaknya mempunyai keterlihatan yang terhad terhadap apa yang berlaku di sebalik operasi tertutup OpenAI.

“Perniagaan perkakasan OpenAI yang masih baharu kini dibina atas asas yang amat rapuh, tercemar oleh pergantungan haram terhadap rahsia dagangan yang disalahgunakan,” menurut dokumen saman tersebut. – AFP

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress