Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Apple Perkenal Ciri Kebolehcapaian Baharu Dengan Sokongan Apple Intelligence

Posted on Mei 20, 2026Mei 20, 2026

Apple kini mengumumkan pelbagai ciri kebolehcapaian (accessibility) baharu yang akan hadir kemudian pada tahun ini, termasuk beberapa kemas kini yang dikuasakan oleh Apple Intelligence.

Antara ciri yang menerima penambahbaikan ialah VoiceOver, Magnifier, Voice Control dan Accessibility Reader. Dengan bantuan Apple Intelligence, ciri-ciri ini kini boleh memberikan penerangan yang lebih terperinci, memahami arahan dalam bahasa semula jadi dan membantu pengguna menyesuaikan pengalaman penggunaan dengan lebih mudah.

Bagi OKU penglihatan atau mempunyai penglihatan terhad, VoiceOver kini boleh menerangkan kandungan imej dengan lebih terperinci melalui fungsi Image Explorer. Pengguna juga boleh menggunakan butang Action pada iPhone untuk bertanya tentang apa yang sedang dilihat oleh kamera dan menerima jawapan yang lebih lengkap.

Magnifier turut menerima keupayaan yang sama. Selain memaparkan penerangan visual yang lebih terperinci, aplikasi ini juga boleh dikawal menggunakan arahan suara seperti membesarkan paparan atau menghidupkan lampu suluh.

Voice Control pula kini menyokong arahan dalam bahasa semula jadi. Ini bermakna pengguna tidak perlu lagi menghafal nama butang atau nombor tertentu pada skrin. Sebaliknya, mereka boleh menyebut arahan seperti “tekan folder ungu” atau “buka panduan restoran terbaik”.

iOS 27 will bring natural language support to Voice Control with Apple Intelligence, allowing users to navigate apps by describing what they see on screen. pic.twitter.com/LS6Ft7pB8Q

— Beta Profiles (@BetaProfiles) May 19, 2026

Accessibility Reader

Accessibility Reader menyediakan pengalaman membaca yang disesuaikan untuk pengguna dengan pelbagai keperluan, termasuk disleksia dan penglihatan terhad.

Dengan Apple Intelligence, ciri ini kini boleh memaparkan bahan yang lebih kompleks seperti artikel saintifik yang mengandungi pelbagai imej, jadual dan sebagainya. Pengguna juga boleh mendapatkan ringkasan artikel sebelum membaca secara terperinci.

Selain itu, ciri terjemahan membolehkan teks dibaca dalam bahasa pilihan pengguna sambil mengekalkan format, fon dan warna yang telah ditetapkan.

Janaan Sari Kata Untuk Video

Apple turut memperkenalkan ciri sari kata yang dijana secara automatik untuk video yang tidak mempunyai kapsyen.

Ciri ini berfungsi pada video yang dirakam menggunakan iPhone, kandungan yang diterima daripada rakan dan keluarga, serta video yang distrim dalam talian. Semua pemprosesan dilakukan terus pada peranti untuk memastikan privasi pengguna terpelihara. Ia akan tersedia pada iPhone, iPad, Mac, Apple TV dan Apple Vision Pro.

Apple Vision Pro Kini Boleh Kawal Kerusi Roda Elektrik Dengan Mata

Satu lagi ciri menarik ialah sokongan untuk mengawal kerusi roda elektrik yang serasi menggunakan sistem penjejakan mata pada Apple Vision Pro.

Ciri ini direka untuk pengguna yang tidak dapat menggunakan joystick tradisional dan memerlukan sistem kawalan alternatif bagi bergerak secara lebih berdikari. Pada peringkat awal, ia menyokong sistem Tolt dan LUCI di Amerika Syarikat.

Lain-lain

Apple turut mengumumkan beberapa ciri kebolehcapaian tambahan, termasuk Vehicle Motion Cues untuk visionOS bagi mengurangkan rasa mabuk kenderaan, sokongan teks lebih besar pada tvOS, ciri Name Recognition dalam lebih 50 bahasa, API baharu untuk aplikasi penterjemah bahasa isyarat dalam FaceTime, serta sokongan untuk Sony Access Controller pada iOS, iPadOS dan macOS.

Ketersediaan

Pengumuman ini merupakan tradisi tahunan Apple menjelang Hari Kesedaran Kebolehcapaian Global, yang disambut pada Khamis ketiga setiap bulan Mei.

Walaupun tarikh pelancaran rasmi belum diumumkan, ciri-ciri ini lazimnya diperkenalkan bersama kemas kini sistem operasi baharu Apple pada musim luruh, yang dijangka merangkumi iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, tvOS 27 dan visionOS 27.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress