App Store, iTunes Store Dan Apple Music Akan Ubah Mata Wang Daripada USD Ke Ringgit Malaysia

Sejak sekian lama Apple menggunakan mata wang Dolar Amerika Syarikat di setiap perkhidmatan yang ditawarkan mereka, dan yang terbaru mereka akhirnya mengambil keputusan untuk menukar semua harga dalam perkhidmatannya dari Dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit Malaysia.

Pada hujung minggu lepas, Apple telah menghantar notis kepada semua pelanggan di Malaysia melalui e-mel untuk memberitahu mereka tentang perubahan ini. Syarikat yang berpangkalan di California itu juga telah menyebut bahawa perubahan ini akan dilakukan secara automatik dan pengguna tidak perlu berbuat apa-apa.

Perubahan mata wang akan melibatkan App Store, iTunes Store, dan Apple Music Malaysia. Bagi pelanggan yang mempunyai pra-tempah atau melanggan mana-mana perkhidmatan, perbelanjaan mereka akan dikenakan bayaran dalam Ringgit Malaysia.

Apple bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar perubahan itu,  tetapi buat masa ini, App Store masih menunjukkan harga dalam USD. Bagi mereka yang sering membeli aplikasi atau kandungan / aplikasi dalam permainan, anda mungkin mahu menunggu untuk perubahan mata wang ini berlaku terlebih dahulu.

2016-12-05-10_44_34-fwd_-perubahan-penggunaan-mata-wang-di-app-store-itunes-store-dan-apple-music

Sumber: Lowyat.net