Amerika Syarikat Beri Lesen Lanjutan 2 Minggu Kepada Huawei

Sekatan urusniaga yang dikenakan oleh Amerika Syarikat keatas Huawei telah sedia dikuatkuasakan sejak Mei lagi. Sehingga ke hari ini, syarikat teknologi gergasi China tersebut telah menerima dua lesen sementara, membolehkan urusniaga diteruskan walaupun mereka masih disenarai hitam oleh pentadbiran Trump.

Tempoh 90 hari kedua yang dijadualkan berakhir hari ini dan perkembangan mengenainya memperlihatkan tempoh lanjutan baru diberikan selama dua minggu.

Difahamkan, lanjutan dengan tempoh masa yang lebih panjang sudah berada dalam proses namun diketepikan buat masa sekarang kerana halangan peraturan.

Langkah pemberian lesen lanjutan oleh Amerika Syarikat ini adalah untuk memastikan penyedia telekomunikasi luar bandar di negara itu supaya dapat meneruskan operasi mereka.

Sebelum ini, Amerika Syarikat dilaporkan ada mempertimbangkan untuk memberi lesen kepada beberapa syarikat terpilih bagi meneruskan urusniaga dengan Huawei.

Sumber: Reuters