Akui Lebih 200,000 Pelanggan Unifi Terkesan, Ini Respons TM Berkaitan Pencerobohan Data

Kami ada laporkan berkenaan dakwaan penjualan data melibatkan 13 juta pengguna Astro, Maybank dan SPR. Kini, Telekom Malaysia (TM) mengeluarkan kenyataan berkenaan isu pencerobohan data mereka.

TM mendapati bahawa sebanyak 250,248 pelanggan Unifi Mobile telah terkesan akibat pencerobohan data ini, termasuk pelanggan individu dan SME.

unifi plus box

Antara data yang terlibat ialah nama, nombor telefon dan e-mel. Tiada maklumat lain yang bocor, menurut TM.

Bagaimanapun, syarikat telah mengambil tindakan untuk meminimumkan kesan yang mungkin berlaku pada pelanggan-pelanggan tersebut.

Mereka yang terkesan sudah pun dihubungi oleh TM untuk dimaklumkan tentang kejadian ini. Jika anda pelanggan Unifi dan tidak menerima pemberitahuan, bermakna akaun anda tidak terkesan dengan pencerobohan data ini.

{suggest}

Dalam pada itu, TM juga telah melaporkannya pada pihak berwajib seperti (National Cyber Coordination & Command Centre (NC4), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan SKMM.

Langkah keselamatan lain juga telah diambil syarikat untuk memastikan keselamatan pengguna. Dalam kenyataan sama, TM berkata pelanggan tidak mengalami sebarang gangguan perkhidmatan semasa insiden ini.

Syarikat telekomunikasi ini juga menasihatkan pengguna agar berjaga-jaga ketika menerima komunikasi daripada pihak tidak dikenali.

Sumber: TM