Anugerah Telefon Wiser 2022 - Ini Senarai Pemenang

Kembali lagi kita dalam ritual tahunan iaitu Anugerah Telefon Wiser, kali ini untuk tahun 2022.

Ia terbahagi pada beberapa kategori termasuklah harga, kamera terbaik, skrin, telefon lipat dan juga antara muka.

Untuk setiap kategori, kami membahagikannya pada 2 iaitu pilihan pembaca dan pilihan Wiser sendiri.

Pilihan pembaca ini ialah berdasarkan sekitar 1,510 undian di Google Form yang telah kami sebarkan di corong-corong media sosial Wiser.

Peringatan, calon yang dipertandingkan hanya melibatkan peranti yang dijual secara rasmi di Malaysia saja demi kemaslahatan pengguna seperti perkhidmatan selepas jualan dan waranti.

Terbaik bawah RM1,000


Pilihan pembaca - Redmi Note 11S 5G




Pengguna sudah bersuara. 48% daripada pengundi telah memangkah Redmi Note 11s 5G sebagai pilihan telefon terbaik bawah harga RM1,000.

Jangan keliru, sebuah lagi model tidak menyokong rangkaian 5G, dengan harga lebih murah. Tambah sedikit saja duit, anda boleh dapat sokongan 5G untuk kegunaan jangka masa panjang.

Redmi Note 11S 5G ini hadir dengan sokongan 5G dan dijana cip MediaTek Dimensity 810, pilihan RAM 4GB dan 6GB bersama storan 64GB serta 128GB.

Kamera di belakang dilengkapkan tiga lensa, 50MP f/1.8 utama, 8MP f/2.2 sudut lebar dan 2MP f/2.4 makro. Spesifikasi lanjut di SINI.

Pilihan Wiser - realme 9




Dijana Snapdragon 680realme 9 disertakan skrin bersaiz 6.4 inci dengan resolusi FHD+ dan dua pilihan RAM sebesar 6GB dan 8GB bersama storan UFS 2.2 sebesar 128GB.

Paparan AMOLED-nya boleh ditingkatkan kadar segar sehingga 90Hz dan menggunakan panel Gorlla Glass 5.

Menjadi taruhan utama peranti ini ialah 108MP ProLight dengan sensor Samsung ISOCELL HM6, 8MP (sudut lebar) dan 2MP (makro). Kamera swafotonya menggunakan lensa 16MP Sony IMX471.

realme 9 ini disertakan kuasa bateri sebesar 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas Dart Charge 33W. Untuk spesifikasi lebih lanjut, sila ke laman web realme.

Diingatkan, model dengan cip Snapdragon 680 ini tidak menyokong rangkaian 5G.

Jika anda mahukan realme 9 versi 5G pada harga RM999, klik SINI.

Terbaik bawah RM2,500


Pilihan pembaca - realme GT Neo 3



Pilihan Wiser - realme GT Neo 3




Kali ini, Wiser dan pembaca berjabat tangan dan sama-sama angguk setuju bahawa model paling berbaloi untuk bawah RM2,500 ialah GT Neo 3.

Ia dijana cip MediaTek Dimensity 8100 dengan RAM dan storan 6GB + 128GB.

Tiga lensa di belakang terdiri daripada sensor 50MP utama (Sony IMX 766), 8MP ultralebar dan 2MP makro. Kegunaan swafoto pula akan memanfaatkan lensa 18MP di hadapan.

Untuk spesifikasi terperinci, terus ke laman web realme.

Terbaik bawah RM3,000



Pilihan pembaca - Xiaomi 12T Pro



Pilihan Wiser - Xiaomi 12T Pro


Model ini sememangnya ramai setuju dinobatkan sebagai telefon terbaik untuk harga ini. Dari segi janaan kuasa, Xiaomi 12T Pro hadir dengan cip pemproses Snapdragon 8+ Gen 1.

Untuk kamera, Xiaomi 12T Pro didatangkan tetapan 3 kamera yang terdiri daripada 200MP utama dengan sensor 1/1.22" serta sokongan OIS dan 8P-elemen.

Skrinnya berukuran 6.67-inci CrystalRes AMOLED dengan resolusi 1220p serta sokongan kadar segar semula adaptif 120Hz dan True Display.

Kapasiti bateri yang dimuatkan pada Xiaomi 12T Pro adalah 5,000mAh. Peranti ini juga menyokong pengecasan berwayar 120W HyperCharge.

Spesifikasi lanjut boleh anda baca di laman web Xiaomi Malaysia.

Telefon dengan kamera terbaik


Pilihan pembaca - iPhone 14 Pro Max




Bab kamera, memang lazim kebanyakam pengguna akan setuju memilih iPhone secara mudahnya. Ini disebabkan gambar yang dihasilkan nampak neutral dan tak perlu banyak suntingan untuk dimuat naik ke media sosial.

Namun, jika anda lihat tonton blind test yang dilakukan MKBHD baru-baru ini, iPhone tidak mendapat #1 walaupun ramai berpendapat bahawa iPhone mempunyai kamera terbaik dalam arena telefon pintar. Ia dimenangi Pixel 6A.

Pilihan Wiser - Huawei Mate 50 Pro




Untuk video, tidak dinafikan peranti daripada Apple masih menjuarai segmen ini. Ya, Huawei Mate 50 Pro menunjukkan prestasi yang tidak setanding iPhone ketika proses rakaman dilakukan. Ia sedikit clunky. Pun begitu, mujurlah hanya itu kelemahannya.

Hal ini kerana usai proses rakaman, video rakaman tadi sebenarnya terhasil dengan baik saja dengan kualitinya yang memuaskan.

Menariknya, XMAGE yang baru dibawakan Huawei ini ternyata berhasil kerana melalui penggunaan kami, ia bukan sekadar gimik atau tujuan pemasaran semata-mata.

XMAGE tunjukkan ia tercipta dengan signature tersendiri yang berbeza daripada Leica tetapi hasil gambar mudah kata, "memang Huawei".

Huawei sekali memberitahu dunia bahawa walaupun tanpa 'orang' lain, mereka tetap berani dan sangat berkeupayaan membawakan teknologi kamera yang berkuasa.

Telefon dengan skrin terbaik



Pilihan pembaca - Galaxy S22 Ultra


Pilihan Wiser - Galaxy S22 Ultra


Sekali lagi pengikut dan Wiser berkongsi pendapat yang sama bahawa skrin S22 Ultra adalah yang terbaik dihasilkan dalam 2022. Bahkan, ini sememangnya sudah dijangka kerana kehandalan Samsung mengeluarkan skrin yang cantik.

Paparan Dynamic AMOLED padanya berukuran 6.8" dengan ketinggian kecerahan sehingga 1750 nit. Ia menyokong kandungan HDR10+, kadar segar 120Hz dan mempunyai PPI setinggi 550 (1440 x 3088 piksel).

Untuk perlindungan, ia menggunakan Corning Gorilla Glass Victus+.

Telefon gaming terbaik



Pilihan pembaca - ROG Phone 6 Pro


Pilihan Wiser - ROG Phone 6 Pro


Tidak dapat dinafikan, sebanyak mana model telefon gaming dikeluarkan tahun ini, ROG masih menduduki takhta #1 sebagai telefon paling disukai pengguna. Undi majoriti diperoleh membuktikan ia kekal di hati pengguna dengan kukuh iaitu sebanyak 60.4%.

Namun, telefon yang baru saja dilancarkan iaitu iQOO 11 5G juga jangan dipandang rendah.

Walaupun tidak mempunyai ciri-ciri gaming sebanyak ROG, iQOO mungkin akan menjadi pesaing untuk ROG tahun depan.

Ulasan penuhnya kami telah kami nukilkan di SINI.

Telefon andalan terbaik



Pilihan pembaca - Phone 14 Pro Max


Pilihan Wiser - iPhone 14 Pro Max


Di ruangan komen Facebook Wiser, seringkali kita lihat komen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap iPhone dan Apple. Tiada inovasi, terlalu mahal, hanya sebagai status antara tuduhan dilemparkan terhadap produk itu dan penggunanya.

Ia seolah-olah majoriti pengikut Wiser terdiri daripada pengguna Android yang juga pembenci Apple/iPhone.

Namun, undian membuktikan sebaliknya. 55.3% daripada pengundi berkata "iPhone 14 Pro Max-lah flagship paling padu". Majoriti undi ialah sebesar 18.1%.

Walaupun iPhone 14 Pro Max tidak hadir dengan inovasi yang 'melampau' seperti zaman mendiang Steve Jobs, namun ia tetap berkuasa bersama kestabilan perisian dan kemampuan yang menambat hati pengguna.

Kita juga tahu iPhone amat sesuai digunakan untuk jangka masa panjang, bukan hanya dari segi ketahanan luaran tapi juga kelancaran sistem operasinya.

Selain itu, penciptaan kandungan dan perkongsian ke media sosial juga sangat serasi dengan iOS.

Telefon lipat terbaik


Pilihan pembaca - Samsung Galaxy Z Fold4




Untuk telefon lipat terbaik, Wiser dan para pembaca walaupun memilih model berbeza, tetap membuktikan Samsung mendominasi arena 'perlipatan'.

Sama ada Flip mahupun Fold, ia sebenarnya hanya terpulang jenis lipatan dan penggunaan manakah yang anda cenderung. Hal ini kerana teknologi dan spesifikasi ditawarkan tidak jauh berbeza pun.

Pilihan Wiser - Samsung Galaxy Z Flip4




Untuk makluman, baru-baru ini saya dapat mencuba OPPO Find N2 dan langsung jatuh suka dengannya. Dengan penuh berani saya katakan ia sememangnya telefon lipat terbaik setakat ini.

Namun, ia dijangka terhad untuk pasaran China. Jadi, setakat ini Flip dan Fold masih telefon lipat terbaik yang tersedia untuk pasaran antarabangsa.

Sistem operasi (UI) terbaik


Pilihan pembaca - One UI 5.0




Nampaknya OneUI menguasai undi sehingga 50% untuk dinobatkan sebagai antara muka terbaik tahun ini.

Menariknya, MIUI dan ColorOS pula masing-masing sangat sengit dengan sekitar 25%. Kalau sebut saja MIUI, terngiang-ngiang segala tohmahan dan kutukan sejak Xiaomi perkenalkan MIUI 12.

Berbalik pada OneUI, ia diperkenalkan sememangnya membawakan pembaharuan untuk antara muka Samsung yang ketika itu (TouchWiz) dikecam pengguna seluruh dunia disebabkan isu lag yang sangat teruk.

Melalui penggunaan kami, OneUI walaupun versi sebelum ini, menawarkan kestabilan yang baik bersama-sama ciri yang memudahkan pengguna tanpa elemen fancy.

Pilihan Wiser - ColorOS 13


coloros 13 malaysia

Namun, kami memilih ColorOS 13 kerana menyaksikan kematangannya daripada versi sebelum ini.

Kali ini, ia sarat dengan ciri tambahan yang memudahkan pengguna, kemas dan ceria dengan elemen fancy yang minimal. Pada saya, ia seimbang antara 'warna-warni' dan 'fungsi'.

Antara peranti yang kami cuba dengannya ialah OPPO Find N2. Ternyata, versi baharu UI ini lancar, tidak melebih-lebih cuba nampak fancy untuk menawan hati pengguna dan pada masa sama ringan.

Kami tidak sabar menunggu apa tawaran OPPO untuk kemas kini kecil seterusnya apatah lagi ColorOS 14.

Kesimpulan


Jadi, setakat ini sajalah pemenang-pemenang Anugerah Telefon Wiser 2022. Sebarang maklum balas boleh disalurkan melalui ruangan komen mana-mana media sosial kami.

Antara nama-nama yang telah merangkul anugerah ialah Samsung, Xiaomi, Redmi, realme, Apple, Huawei dan OPPO.

Wiser mengucapkan "Selamat tahun baru" kepada semua pengikut. Terima kasih atas sokongan anda sepanjang 2022 dan sebelum-sebelumnya yang selama ini menjadi tunjang Wiser My.