Aktiviti Penggambaran Termasuk Media Sosial Perlu Dapatkan Lesen Finas

Kita kini berada di zaman yang penuh dengan perkongsian rakaman video terutama sekali pada platform media sosial. Namun menerusi sidang parlimen yang berlangsung hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menerangkan bahawa semua penerbit wajib memohon lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebagai jawapan balas kepada pertanyaan MP Kluang, Wong Shu Qi.

https://www.youtube.com/watch?v=9ZxrRh9SywM

Difahamkan, lesen ini perlu dibuat sebelum penerbit boleh menerbitkan filem masing-masing ke saluran tradisi ataupun media sosial. Lanjutan daripada itu, YB Shu Qi telah bertanyakan sama ada akta tersebut merangkumi rakaman video untuk TikTok atau IG TV kerana jika dikuatkuasakan, kesemua pengguna perlu mempunyai lesen tersebut sebelum boleh berkongsikan rakaman mereka.

Datuk Saifuddin menjelaskan, dibawah Seksyen 2, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013)  filem ditafsirkan sebagai "filem cerita, filem pendek, filem subjek ringkas, trailer, dokumentari, filem kecil iklan dan apa-apa rakaman pada apa-apa jenis bahan termasuk pita video dan ceper video berupa arca bergerak sama ada disertai dengan bunyi atau tidak, untuk dilihat oleh orang ramai atau mana-mana golongan orang ramai;"

Ia bagaimanapun tidak dinyatakan secara jelas adakah akta ini melibatkan perkongsian pada platform media sosial yang kita lakukan seharian. Ini sekaligus menimbulkan tanda tanya pengguna, adakah mereka perlu memohon lesen-lesen tersebut sebelum boleh memuat naik kandungan video ke media sosial.

Antara syarat yang diperlukan untuk pemohon adalah terdiri daripada pemilik syarikat serta mempunyai model berbayar tidak lebih daripada RM50,000. Isu rakaman video dokumentari yang diterbitkan oleh Al Jazeera beberapa minggu lalu telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia. Syarikat tersebut juga dilaporkan akan didakwa kerana tidak mempunyai lesen untuk membuat penggambaran tersebut.

Sumber: Bernama