Presiden iGuru Berharap Kerajaan Laksanakan Skim Wakaf, Sediakan Peranti Atau Internet Untuk Pelajar Yang Memerlukan

Perintah Kawalan Pergerakan kini sudah memasuki hari ke-36 setelah dikuatkuasakan sejak 18 Mac yang lalu. Sepanjang PKP berlangsung, pelbagai sektor terpaksa dijalankan secara dalam talian.

Salah satunya merupakan sektor pendidikan yang memperlihatkan sesi P&P kini dilakukan secara maya melalui platform seperti Google Classroom dan Microsoft Teams. Ini adalah untuk memastikan para pelajar tidak ketinggalan walaupun sekolah-sekolah ditutup.

Namun begitu, P&P yang dilakukan secara dalam talian ini mungkin bermasalah bagi sesetengah golongan pelajar. Terutama sekali pelajar di luar bandar yang tidak mempunyai rangkaian internet baik serta tidak berkemampuan memiliki peranti pintar.

Lanjutan daripada itu, Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan menyatakan kepada Bernama bahawa kerajaan perlu segera meneliti perkara tersebut.

Beliau berharap capaian talian internet perlu dinaik taraf segera, lebih-lebih lagi bagi kawasan luar bandar. Hal ini disebabkan antara keperluan utama penggunaan Google Classroom adalah akses internet yang baik kepada pelayan platform tersebut.

Selain daripada itu, beliau juga berharap kerajaan dapat mewujudkan skim wakaf yang mana ia dapat menyediakan peranti pintar untuk pelajar yang memerlukan.

Menurut Presiden iGuru itu lagi, terdapat aduan keluarga tidak mampu menyediakan peranti pintar atau internet untuk kegunaan anak-anak. Oleh yang demikian, beliau memberi pendapat KPM serta syarikat telekomunikasi mungkin dapat menjalin kerjasama dalam melaksanakan skim wakaf tersebut.

Sumber: Bernama