Acara Terbesar Google Tahun Ini, I/O 2020 Dibatalkan

Google membatalkan acara I/O 2020 pada tahun ini, berikutan penularan Covid-19. Acara fizikal Google I/O dijangka akan berlangsung 12 hingga 14 Mei di Shoreline Amphitheatre, dan pembatalan ini hanya beberapa hari selepas Google membatalkan acara Cloud Next di San Francisco yang digantikan dengan acara digital.

[embed]https://twitter.com/googledevs/status/1234944902900805632[/embed]

Menurut Google, keputusan ini diambil disebabkan kebimbangan mengenai Covid-19, dan setelah mengambil kira panduan kesihatan dari CDC, WHO, serta pihak berkuasa kesihatan yang lain.

Google I/0 2020 Dibatalkan

Semua peserta yang telah membeli tiket akan menerima bayaran balik sepenuhnya pada 13 Mac. Selain itu, mereka juga tidak lagi perlu membuat permohonan penyertaan pada tahun hadapan dan secara automatik akan diberi pilihan untuk membeli tiket acara Google I/O 2021.

Umum tahu, Google menjadikan I/O sebagai acara terbesar untuk memperkenalkan perubahan baru kepada Android, perkakasan yang dikuasakan oleh Google, dan juga kemas kini perkhidmatan seperti Google Maps. Dengan pembatalan ini, Google akan mencari alternatif lain untuk menggantikan acara fizikal Google I/O 2020.

Pembatalan Google I/O adalah yang terbaru dalam beberapa acara teknologi yang dibatalkan kerana Covid-19. MWC 2020 telah dibatalkan pada bulan lalu, diikuti Facebook F8, Game Developer Conference dan banyak lagi.

Sumber: The Verge