5 Permainan Video Pelantar Mudah Alih Yang Semakin Dilupakan

Dalam tahun 2018 ini, industri permainan video pada peranti mudah alih dijangka akan terus berkembang maju. Syarikat pengeluar telefon pintar kini semakin ghairah dalam menghasilkan peranti yang berkemampuan untuk bermain permainan video dengan kualiti terbaik dan untuk tempoh yang lama. Sebagai contoh, baru-baru ini syarikat Xiaomi diwar-warkan untuk melancarkan sebuah peranti gaming mereka di  bawah jenama Black Shark, selain peranti Razer Phone yang dilancarkan pada akhir tahun lalu.

Bagi mengimbangi perkembangan tersebut, syarikat pengeluar permainan video juga kian rancak mengeluarkan hasil kerja terbaru mereka. Ini menyebabkan jangka populariti sesebuah permainan video itu semakin singkat pada hari ini. Dalam kiriman ini, kami akan senaraikan 5 permainan video untuk mobile yang pernah popular namun semakin dilupakan kini.

1. Clash of Clans



Permainan yang dihasilkan oleh Supercell ini merupakan antara permainan paling popular dalam sejarah permainan video bagi peranti mudah alih. Sejak dilancarkan pada tahun 2012 (iOS) dan 2013 (Android), permainan ini telah dimuat turun sebanyak lebih dari 800 juta kali di seluruh dunia. Namun pada hujung tahun 2016, populariti Clash of Clans mula merudum akibat kemunculan permainan Pokemon Go. Akan tetapi, permainan ini masih berbaloi untuk dimainkan kerana Supercell masih lagi merancang mengeluarkan kemaskini baru sehingga hari ini.

2. Pokemon Go



Menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan remaja, permainan video yang berinspirasikan animasi Jepun, Pokemon sering dilanda kontroversi akibat daripada cara permainan ini dimainkan. Para pemain pergi bergerak mengikut peta dunia sebenar yang disediakan dala m permainan ini untuk mencari dan menangkap Pokemon  yang mereka kehendaki. Namun beberapa insiden tidak diingini sehingga menyebabkan kehilangan nyawa telah berlaku dan Pokemon Go telah dipersalahkan. Terdapat juga dakwaan bahawa Pokemon Go menggalakkan gelaja perjudian. Dengan itu, terdapat beberapa negara yang mengharamkan permainan Pokemon Go seperti Iran, Mesir dan Russia.

3. Candy Crush Saga



Anda masih ingat berkenaan permainan ini? Candy Crush Saga telah dilancarkan pada tahun 2012 dan menjadi permainan yang lebih menjadi pilihan bagi pemain dari golongan wanita. Dipilih antara permainan yang  memiliki muat turun terbanyak bagi pelantar telefon pintar dalam sejarah dengan lebih daripada 2.7 billion muat turun di seluruh dunia, Candy Crush Saga telah menjadi pemangkin kebangkitan bagi permainan puzzle. Selepas permainan ini menjadi satu fenomena baru, banyak permainan video yang hampir sama seperti Jewel Stars dan Cookie Crush mula dikeluarkan dan menyebabkan populariti permainan ini mula tenggelam. Walaubagaimanapun, permainan ini masih lagi releven untuk dimainkan.

4. Angry Birds



Menembak atau lebih tepat lagi, melastik beberapa ekor burung bagi mencari jalan untuk meruntuhkan binaan dengan harapan dapat  membunuh semua khinzir dalam setiap peringkat. Pada peringkat awal permainan, memang agak mudah untuk  menang, tapi selepas melepasi beberapa peringkat, anda akan mula merasa kehangatannya. Youtube adalah jalan penyelesaiannya. Terdapat banyak versi  yang telah dilancarkan seperti Angry Birds Rio, Space dan Star Wars. Populariti  permainan ini sangat hebat sehingga banyak pihak menghasilkan  produk seperti bantal dan beg galas berinspirasikan permainan ini dan ia boleh dianggap laris dijual.

5. Mobile Legends



Mungkin ramai yang berpendapat bahawa Mobile Legends tidak atau belum sepatutnya berada dalam senarai ini. Namun pada hakikatnya, selepas kemunculan permainan Rules of Survival, Fortnite dan PUBG Mobile, jumlah pemain Mobile Legends semakin berkurangan. Masalah pelayan yang sering tidak berfungsi serta kurangnya jaringan pemain menjadi antara salah satu sebab permainan ini semakin kurang dimainkan. Selain itu, kurangnya pembaharuan dalam permainan ini juga menjadi punca populariti Mobile Legends semakin merudum.