1.1.1.1 - Servis DNS Terbaru dari Cloudfare, Internet Lebih Laju dan Pelayar Lebih Privasi

Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan krisis keselamatan privasi atas talian yang menyerang Facebook (FB) apabila terdapat dakwaan bahawa data pengguna FB telah disalahgunakan oleh Cambridge Analytica, sebuah firma perundingan politik Britain tanpa kebenaran. Perkara itu dianggap sebagai sesuatu yang sukar diterima oleh pengguna Facebook sehingga memaksa pemiliknya, Mark Zuckerberg untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.



Kes ini menjadi salah satu sebab untuk sebuah syarikat keselamatan internet yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat, Cloudfare Inc. untuk melancarkan servis domain name server (DNS) terbaru mereka – 1.1.1.1 . Servis DNS terbaru dari mereka  ini bukan sahaja memfokuskan kepada meningkatkan tahap privasi pelayar internet tapi juga dapat memaksimakan kelajuan internet, menurut kata CEO Cloudfare, Matthew Prince. Prince berkata, “Jika anda menukar alamat pelayan DNS anda kepada 1.1.1.1, maklumat tentang kedudukan anda semasa melayari internet tidak akan dapat disimpan oleh pembekal perkhidmatan internet anda ”.



Malah, pihak Cloudfare juga telah memberi jaminan bahawa perkhidmatan servis DNS mereka adalah yang terpantas di dunia buat masa kini. Kenyataan ini telah disokong oleh DNSPerf, yang yang  merupakan pengukur prestasi servis DNS bebas dimana menurut mereka, 1.1.1.1 meninggalkan pesaing-pesaing mereka seperti Cisco OpenDNS dan juga Google Public DNS jauh dibelakang. Secara keseluruhannya, servis DNS 1.1.1.1 ini 28% lebih pantas dari para pesaing mereka.



Selain itu, Prince turut berkata bahawa jika pengguna DNS 1.1.1.1 ini akan dapat mengakses penyedia web yang menggunakan perkhidmatan mereka dengan sepantas kilat.


Bagi anda yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan servis DNS 1.1.1.1 ini, anda boleh membuka pelayar internet anda dan cari 1.1.1.1  untuk mengetahui cara untuk mula menggunakannya. Tiada sebarang kemahiran IT yang diperlukan atau perisian yang perlu dimuat turun untuk mula menggunakan servis ini dan bagi memudahkan pengguna, satu video tutorial berkenaan cara mengubah alamat DNS telah disediakan di laman 1.1.1.1 bagi membantu anda.