Yahoo Answers Akan Ditutup Sepenuhnya Mei Ini

Pada tahun lalu, Yahoo telah mengumumkan penamatan Yahoo Groups bermula 15 Disember 2020. Terkini, Yahoo memaklumkan Yahoo Answers pula akan ditutup sepenuhnya pada 4 Mei 2021.

Yahoo Answers telah dilancarkan pada 2005 bagi membantu pengguna seluruh dunia untuk berkongsi maklumat atau bertanya kepada umum mengenai sesuatu persoalan.

Menurut Yahoo, platform itu sudah menjadi semakin kurang popular dan keputusan ini adalah bagi memberi tumpuan kepada kandungan perkhidmatan yang lain dengan lebih baik.

Berikutan itu, laman web Yahoo Answers akan berada dalam mod bacaan sahaja dan pengguna tidak lagi boleh memuat naik kiriman baru atau menjawab soalan dari mana-mana pengguna bermula 20 April sehingga 4 Mei 2021.

Yahoo Answers tutup

Selepas tarikh tersebut, laman web tidak lagi dapat diakses dan pengguna akan dialihkan ke halaman utama Yahoo, jika cuba mengakses Yahoo Answers.

Bagaimanapun, perlu diketahui perubahan ini hanya melibatkan Yahoo Answers dan tidak memberi impak kepada Yahoo Account atau platform Yahoo yang lain.

Dalam pada itu, pengguna juga boleh memuat turun kandungan Yahoo Answer sebelum 30 Jun 2021 dengan mengikut beberapa langkah melalui pautan ini.

Sumber: Yahoo AnswersÂ