Xiaomi Sambung Semula Penawaran Android Oreo 8.0 Untuk Mi A1

Kemaskini Android Oreo 8.0 yang ditawarkan kepada peranti Mi A1 awal tahun ini dikatakan mengandungi beberapa masalah yang menyebabkan gangguan fungsi terhadap peranti tersebut.

Antara keluhan yang diluahkan pemilik selepas mengemaskini kepada sistem operasi baru itu adalah masalah dari segi kuasa bateri yang terlalu cepat menyusut, ikon GPS tersekat, sensor pengimbas cap jari, kualiti audio dan beberapa isu lain.

Lanjutan daripada itu, Xiaomi telah menghentikan sementara penawaran kemaskini bertujuan membaiki kelemahan yang terkandung didalamnya.

Difahamkan bahawa Xiaomi sudah berjaya mengatasi masalah tersebut dan sudah kembali menawarkan kemaskini.

Bagi yang sudah menaiktaraf kepada Android Oreo, anda bakal menerima kemaskini 90MB manakala yang masih belum naik taraf, kemaskini Android Oreo 8.0 adalah bersaiz 1.12GB.

Oleh kerana ia baru disambung beberapa hari yang lepas, ia akan mengambil sedikit masa untuk sampai ke peranti anda.

Sumber: Mi Forum, via FoneArena