Mi 9T Pro Dikhabarkan Hadir Penghujung Ogos Ini

Disebut-sebut sebagai "flagship killer" terbaru, tidak dinafikan siri K20 dari Redmi membuatkan ramai peminat teruja dengan kehadirannya dipasaran.

Diperkenalkan terlebih dahulu di China pada Mei lalu, penantian peminat tempatan sudah terjawab dimana model K20 yang membawa nama Mi 9T akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada minggu hadapan, 20 Jun 2019.

Sebuah lagi variasi dengan spesifikasi lebih berkuasa, K20 Pro yang bakal membawa nama Mi 9T Pro pula masih menjadi tanda tanya bilakah penawaran untuk pasaran tanah air akan dibuat. Berdasarkan perkongsian screenshot salah seorang pengguna Facebook diruangan komen, dikhabarkan model Mi 9T Pro bakal tiba sekitar penghujung bulan Ogos.

Kapsyen: Foto kredit: Aifie Hafizfie


Ia sedikit sebanyak membayangkan bahawa versi Pro akan dibawa masuk ke Malaysia dan berkemungkinan Mi Malaysia akan membuat pengumuman rasmi mengenainya tidak lama lagi. Walaupunbegitu, ini hanyalah perkhabaran awal sahaja dan kita perlu nantikan maklumat lanjut dari Mi Malaysia. *Kemaskini: masih belum pasti lagi sama ada Mi 9T Pro akan ditawarkan di Malaysia ataupun tidak.

Dijenamakan semula daripada model Redmi K20 Pro, Mi 9T Pro dilengkapi dengan spesifikasi terdiri dari cip Snapdragon 855, skrin OLED 6.39 inci, pilihan RAM 6GB/8GB dan memori simpanan antara 64GB sehingga 256GB.

Rakaman foto hadapan pula menggunakan kamera 20MP dengan mekanisme terangkat sementara bahagian belakang mempunyai kombinasi tiga kamera, 48MP (f/1.75, Sony IMX586), 8MP (f/2.4) 2x telefoto, 13MP (f/2.4) ultra lebar. Bateri yang dibekalkan pula sama seperti versi K20/Mi 9T iaitu 4000mAh tetapi dengan pengecasan pantas lebih berkuasa, 27W.

Bagi pasaran China, ia dijual pada harga 2499 yuan (~RM1517) hingga 2999 yuan (~RM1820).