Xiaomi Sahkan Redmi 6 dan Redmi 6A Akan Dilancarkan Pada 12 Jun Ini

Syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di China, Xiaomi telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan dua model peranti kelas pertengahan bajet di bawah siri Redmi, Redmi 6 dan Redmi 6A. Keduanya akan diperkenalkan dalam satu majlis yang sama pada 12 Jun ini.

Peranti Xiaomi Redmi 6 akan hadir dengan tiga variasi iaitu 2GB RAM/16GB ROM, 3GB RAM/32GB ROM dan 4GB RAM/64GB ROM. Ia juga dijangka akan menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 625 dan unit pemprosesan grafik Adreno 506. Ia juga dijangka akan mempunyai sokongan pengimbas cap jari di bahagian belakang peranti.



Peranti ini dilaporkan akan menggunakan antaramuka MIUI 9 berlandaskan Android 8.1 Oreo dengan kemungkinan mendapat kemaskini MIUI 10 selepas pelancaran. Redmi 6 ini dijangka hadir dengan paparan skrin HD 5.45 inci serta nisbah paparan 18:9. Dari segi kamera pula, Redmi 6 mempunyai kamera dwi-lensa 12MP serta 5MP sebagai kamera swafoto. Peranti ini juga dikatakan akan mempunyai bateri berkapasiti 3,000 mAh.

Bagi model Xiaomi Redmi 6A pula, ia dikatakan akan akan mempunyai spesifikasi yang tidak jauh beza dengan model Redmi 6A. Ia akan turut menggunakan antaramuka MIUI 9 serta saiz skrin 5.45 inci dengan resolusi 720p. Bagaimanapun, peranti ini tidak dapat dipastikan sama ada peranti ini bakal menyokong pengimbas cap jari atau tidak.


Kredit : TENAA


Redmi 6A cuma akan hadir dengan dua pilihan variasi iaitu 2GB RAM/16GB ROM dan 3GB RAM/32GB ROM. Kedua-dua model dijangka akan menyokong fungsi kad mikroSD, di mana sehingga 256GB bagi model Redmi 6 dan 128GB bagi model Redmi 6A.

Xiaomi dijangka turut akan memperkenalkan satu lagi model dibawah siri Redmi 6 dengan spesifikasi lebih baik, namun setakat ini masih belum ada maklumat lanjut berkenaan peranti tersebut. Mungkin kita akan dapat mengetahuinya dalam masa terdekat.

Sumber