Xiaomi Mi Mix Alpha Sah Guna Kamera 100MP, Ini Sampel Foto Yang Dikongsikan

Xiaomi sebelum ini telah dikhabarkan hadir dengan dua peranti baru, Xiaomi Mi 9 Pro 5G serta Xiaomi Mi Mix Alpha. Menariknya tentang Mi Mix Alpha, ia memperlihatkan skrin pada sisi peranti dan pada awalnya ada yang menyangkakan ia mungkin sebuah telefon pintar boleh lipat.

Namun begitu, imej yang tersebar baru-baru ini menggambarkan ia adalah peranti dengan skrin melengkung yang mencecah 100% bagi nisbah skrin-ke-badan. Kini menghangatkan lagi spesifikasi yang bakal dibawa, Xiaomi telah berkongsi satu lagi poster yang mana mengesahkan Mi Mix Alpha bakal diperkuatkan dengan kamera 100MP.



 

Keupayaan itu didapati daripada penggunaan sensor Samsung ISOCELL Bright HMX 108MP dan ini merupakan kerjasama kedua Xiaomi bersama Samsung selepas bersama-sama menjalin hubungan menerusi Redmi Note 8 Pro (sensor 64MP ISOCELL GW1).



Lanjutan daripada itu, pengeluar dari China ini turut mempertontonkan hasil imej yang dirakam menggunakan Mi Mix Alpha. Imej beresolusi 12032 x 9024 piksel itu bersaiz 40MB dan dikatakan, walaupun dizoom sebanyak 8 kali, ia masih mengekalkan kejelasan serta perincian.



Lain-lain spesifikasi yang dijangka hadir pada Mi Mix Alpha adalah Snapdragon 855 Plus, RAM sehingga 12GB, storan sehingga 1TB, serta paparan menyokong 2K dengan kadar segar semula 90Hz.

Peranti ini dijadualkan pelancarannya pada 24 September dan untuk itu, kita perlu menantikan pengumuman rasmi Xiaomi mengenai penawaran mereka itu.