WhatsApp Communities Mula Tersedia, Ini Yang Anda Harus Tahu

Malaysia ialah negara pertama menerima ciri Komuniti atau Communities di WhatsApp. Ia dilepaskan secara berperingkat sejak bulan lalu.

Untuk menikmati ciri ini, pengguna iPhone hanya perlu muat turun versi WhatsApp terkini melalui AppStore. Untuk pengguna di Android, lakukan perkara sama melalui Play Store.

Bagaimana ia berfungsi?




Komuniti ini seumpama payung yang menaungi kumpulan-kumpulan WhatsApp.

Di bawah Komuniti, pentadbir (admin) boleh mengumpulkan apa-apa kumpulan yang ditadbirnya.

Contohnya, di bahawa Komuniti 'SK Sungai Puyu', ada semua kumpulan dengan nama kelas seperti '1 Bestari', '2 Bestari', 'Rumah Sukan Delima'.

Dalam ruang chat Komuniti, hanya pentadbir saja boleh menghantar mesej dan ahli biasa tidak dapat membalasnya. Ia merupakan saluran untuk pengumuman.

Ruang sembang Komuniti ini berasingan daripada ruangan sembang kumpulan.

{suggest}

Apa kelebihannya berbanding kumpulan biasa?


Dengan membuka pautan sesebuah Komuniti, pengguna boleh melihat senarai kumpulan di bawahnya dan menyertainya tanpa perlu diluluskan pentadbir terlebih dahulu.

Pentadbir boleh melihat senarai semua group dengan mudah dan memantau serta mengambil tindakan. Ini memudahkan kerana mereka tidak perlu mencari kumpulan secara satu-satu/berasingan.

Bukan itu saja, pentadbir dapat menghantar pengumuman dengan satu langkah, tanpa perlu masuk satu persatu ke dalam setiap kumpulan.

Apa yang boleh dilakukan pentadbir Komuniti?




Pentadbir Komuniti mempunyai kuasa sedikit lebih berbanding seperti mana kuasa pentadbir kumpulan. Antara yang boleh dilakukannya:

  • Menambah kumpulan yang ditadbirnya (dia juga admin dalam grup tersebut).

  • Membuang kumpulan daripada Komuniti.

  • Melihat senarai ahli semua ahli kumpulan dan membuang mereka daripada Komuniti dan kumpulan.

  • Melantik ahli lain sebagai pentadbir Komuniti.

  • Menghantar mesej/pengumuman melalui chat Komuniti tanpa ahli biasa dapat membalas.


Bagaimana untuk ajak orang lain sertai Komuniti?


Seperti kumpulan juga, anda boleh tambah mereka daripada senarai kenalan. Selain itu, anda boleh kongsikan pautan dan kod QR yang boleh didapati dalam Komuniti.


Kekurangan dan Fakta Lanjut


Pencipta dan pentadbir yang dilantik akan mendapat label berbeza iaitu 'Community Creator' dan 'Community Admin'.

Untuk tambah apa-apa kumpulan di bawah Komuniti, anda perlu terlebih dahulu juga memegang jawatan pentadbir dalam kumpulan itu.

Sesiapa yang dapat pautan Komuniti, mereka boleh menyertai mana-mana kumpulan tanpa memerlukan kelulusan pentadbir. Ini agak bahaya kerana seperti pencerobohan.



Selain itu, walaupun pentadbir sudah membuang kumpulan daripada Komuniti, ahli-ahlinya masih akan kekal dalam Komuniti sedangkan grup itu sudah tidak diletakkan di bawah Komuniti.

Tidak pasti apakah pengguna akan bersetuju dengan ciri ini.

Sama dengan channel di Telegram?

Tidak.

Komuniti ini tidak sama dengan channel atau group di Telegram. Ia mungkin semacam Folder tapi bezanya, Komuniti adalah untuk semua, bukan pengurusan peribadi untuk pengguna.