Pengguna Malaysia Mula Terima Ciri 'Reaction' Pada Status WhatsApp Pula

Beberapa pengguna Malaysia sudah mula boleh beri reaksi atau reaction pada status WhatsApp rakan dan keluarga mereka.

Ya, ia sama saja seperti yang tersedia di Instagram Story. Anda tidak perlu taip "uish, stai baq ang" lagi tapi tatal ke atas, pilih emoji yang dimahukan.

Setakat cubaan kami, hanya 6 emoji asas tersedia. Kalau pada reaksi dalam perbualan (chat), pengguna kini sudah tidak terhad 6 emoji kerana sudah boleh memilih emoji lain dengan butang '+'.



Sebenarnya, ciri ini belum pun lagi diperkenal secara rasmi oleh WhatsApp. Beberapa bulan dulu telah dilaporkan ia masih lagi di peringkat ujian.

Dengan penemuan ini, bermakna ia akan diperluas secara rasmi untuk pengguna seluruh dunia tidak lama lagi. Jika anda juga sudah menerimanya, jangan lupa kongsikan di mana-mana ruangan komen kami.

Seperti dalam tajuk artikel, ada yang sudah menerimanya, bermakna banyak lagi pengguna yang belum.

{suggest}

Beberapa hari lalu, WhatsApp versi beta sedang diuji dengan pemaparan gambar profil dalam perbualan kumpulan. Klik SINI untuk baca lanjut.

Jadi jangan kalut dan runsing jika WhatsApp pada telefon anda masih belum boleh beri reaksi pada status WhatsApp rakan-rakan. Ia akhirnya akan tiba jua kelak. Teruskan bersantai.

Jika anda ketinggalan, WhatsApp mengumumkan Malaysia menjadi negara pertama di dunia akan menerima ciri Komuniti sebelum ia dilancarkan pada peringkat antarabangsa. Ia akan tersedia pada semua secara berperingkat.