Vivo Y19 Hadir Dengan Tiga Kamera Dan Bateri 5000mAh

Pada penghujung minggu lalu, Vivo telah memperkenalkan secara rasmi model Vivo Y19 di Thailand dan Vietnam. Berkongsi rekaan sama seperti model Vivo U3 (China), Vivo Y19 membawakan sejumlah spesifikasi bagi pembeli segmen pertengahan.



Panel hadapan peranti ini menggunakan paparan 6.53 inci beresolusi Full HD + dengan nisbah 90.3%. Takuk kecil dibahagian atas paparan diletakkan dengan lensa kamera 16MP sementara rakaman belakang membariskan tiga lensa kamera.

Lensa-lensa yang digunakan adalah 16MP, 8MP ultra lebar serta 2MP sensor kedalaman yang bakal bergandingan untuk aktiviti rakaman pengguna. Seperti keluaran sebelumnya, Vivo Y19 masih mengekalkan ciri imbasan cap jari konvensional dengan sensor imbasan diletakkan pada bahagian belakang.

Mengoperasikan Vivo Y19 adah cip pemproses Helio P65, berlainan daripada Vivo U3 yang menggunapakai Snapdragon 675. Ia turut bekerjasama dengan padanan RAM 6GB beserta storan dalaman sebesar 128GB dan tidak mempunyai sokongan kad mikroSD.

Janaan kuasa peranti pula diperoleh daripada bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 18W serta turut menyokong pengecasan berbalik 5W menerusi kabel.

Mempunyai dua pilihan warna antara Black dan Morning Dew White, peranti yang menjalankan Funtouch OS 9.2 berasaskan Android Pie 9 ini dijual pada harga 4,990,000 VND (~RM896) di Vietnam dan 6999 Baht (~RM965) di Thailand.



Belum dapat dipastikan sama ada peranti siri Y ini akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ataupun tidak.