vivo Patenkan Rekaan Telefon Dengan Papan Kekunci Yang Boleh Diputar

Apabila menyebut tentang papan kekunci yang boleh diputar anda pasti mengimbas kembali kenangan lalu. Belasan tahun lalu, kita sudah melihat ciri tersebut pada peranti Nokia. Baru-baru ini timbul pula paten dari vivo yang memperlihatkan rekaan bahagian bawah boleh diputarkan.

Pensijilan paten tersebut telah dibuat pengeluar kepada CNIPA dimana ia diterbitkan pada 17 Julai yang lalu. Melalui imej paten tersebut, bahagian yang boleh berputar itu akan mempunyai papan kekunci fizikal bagi  aktiviti menaip seperti membalas mesej atau menjawab email. Sementara itu bahagian dibelakangnya pula menampilkan skrin, menjadikan paparannya lebih luas.



Mungkin ada yang menganggap rekaan ini sudah agak ketinggalan tetapi jika dilihat setahun dua ini, rekaan lama mula kembali dihidupkan. Contohnya peranti boleh lipat yang sedia dilancarkan oleh Huawei, Samsung dan Motorola.

Walaupun begitu, rata-rata daripada kita sudah terbiasa menaip secara sentuhan pada skrin dan mungkin kekok sedikit untuk kembali pada papan kekunci fizikal. Imej juga memperlihatkan garisan yang memisahkan bahagian badan serta  bahagian berputar dan pastinya sedikit sebanyak mengganggu paparan.

Rekaan ini hanyalah idea yang dipatenkan dari vivo dan tidak semestinya ia dibangunkan. Tetapi tidak juga mustahil peranti vivo akan datang hadir dengan rekaan sedemikian rupa. Apa pendapat anda?

Sumber: GizmoChina