vivo 23 5G - Peneman Setia Bagi Kaki Swafoto

Tempoh hari, saya sudah memberikan reaksi awal terhadap vivo V23 5G. Pada mulanya, saya kurang berminat dengan peranti ini melainkan warnanya yang bertukar dan kamera swafotonya. Namun, setelah saya mencubanya hampir 2 minggu, vivo 23 5G ini agak menarik untuk digunakan.

Jadi, pada artikel kali ini saya akan berkongsikan secara ringkas pengalaman menggunakan vivo 23 5G.

Sesuai Untuk Kaki Swafoto


Terlebih dahulu, kita mulakan dengan prestasi kameranya terutama lensa hadapan memandangkan siri V dari vivo ini sememangnya mengkhususkan gambar swafoto.

50MP yang diletakkan pada kamera hadapan memang mampu memberikan gambar swafoto yang cantik. Terdapat dua mod yang boleh digunakan untuk mengambil gambar swafoto. Pertamanya dari mod photo sahaja dan kedua mod portrait.

Saya lebih tertarik untuk menggunakan mod portrait kerana lebih banyak penuras (filter) dan ciri menarik ditawarkan. Jangan kata perempuan, lelaki pun rasanya akan suka.

Ini kerana ia boleh membuatkan wajah saya persis model walaupun pada dunia nyata tidak macam itu. Antara banyak-banyak mod yang diberikan, saya tertarik dengan party modeMod ini akan memberikan kesan khas light leaks tanpa perlu membuat suntingan pada aplikasi lain. Cumanya, kesan khas yang diberikan itu adalah rawak dan mengikut "goncangan" yang dibuat.



Satu lagi mod yang menarik ialah steam mode. Ia memberikan gambar ala-ala ada lampu neon yang dipancarkan ke muka anda.



Selain itu, teknologi dual-tone spotlight yang terbina pada peranti ini juga memang memudahkan untuk mengambil gambar swafoto, terutama pada persekitaran kurang cahaya. Bak kata perempuan "lighting on point". Cahaya spotlight ini boleh dilaras kepada pencahayaan tona warm yellow, default atau cold white.



Dengan spotlight itu juga, secara tidak langsung tidak perlu lagi membeli ring light dari Shopee. Terutama yang gemar buat live TikTok atau Instagram.

Selain itu, kamera sudut ultra lebar vivo 23 5G ini juga memang luas. Saya perasan yang ia jauh lebih luas berbanding iPhone 11 Pro Max yang saya gunakan.

Dari segi skin tone, saya agak berpuas hati kerana ia masih lagi nampak semula jadi. Akan tetapi, pastikan jangan letak sebarang filter. Barulah gambar itu memaparkan warna kulit anda yang sebenar.

Untuk kamera utama, saya dapati warna dan hasil yang diberikan memang baik. Mod makro 2MP yang ada padanya juga boleh tahan walaupun tidak sempurna.



Namun, saya kecewa sedikit dengan mod malamnya. Gambar ketika waktu malam tidak begitu baik dengan noise yang jelas kelihatan. Tetapi tidak mengapa kerana bagi yang membeli telefon ini, rasanya anda akan banyak habiskan masa menggunakan kamera swafoto.


Prestasi


Sejak kebelakangan ini, banyak peranti berkelas pertengahan gemar menggunakan cip MediaTek. Saya lihat, persepsi masyarakat terhadap cip pemprosesan ini agak kurang memberangsangkan. Lebih-lebih lagi bagi yang sentiasa menggunakan cip Snapdragon.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Dimensity 920 yang menguasakan vivo V23 5G. Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk melancarkan aplikasi dengan pantas. Ketika membuka aplikasi Call of Duty Mobile pun, memang laju termasuk waktu loading.

Saya tidak mengalami suhu yang naik mendadak ketika menjalankan aplikasi media sosial. Kalau ada yang tertanya-tanya mampukah peranti ini dibuat main game, ya, saya boleh katakan memang tak ada masalah untuk bermain game.



Ketika bermain Call of Duty Mobile, saya hanya meletakkan tetapan medium agar ia lebih lancar. Tapi, kalau anda nak tetapkan pada tetapan maksimum pun boleh kerana adanya mod game seperti Balanced atau Performance. Mod ini akan memberikan pengalaman bermain lebih baik tanpa lag.

Suhu peranti ketika bermain game memang akan meningkat, saya berasa suam-suam tetapi tidaklah sampai tidak rasa selesa ketika memegangnya.

Kekurangan yang saya lihat pada vivo V23 5G ini adalah sewaktu menatal aplikasi. Ada beberapa tempat atau aplikasi yang kadangkala terasa lag. Telefon ini menawarkan kadar segar semula 90Hz dan memang ini sahaja yang saya guna.

Namun, seperti yang dinyatakan, saya terasa sedikit lag dalam beberapa aplikasi. Saya berpendapat ada faktor yang mempengaruhinya. Sebagai contoh mungkin cip pemprosesan yang cukup-cukup untuk 90Hz. Mungkin juga disebabkan Funtouch OS 12 yang kurang kemas.

Bateri Tak Cukup Besar, Tapi Tak Ada Masalah


Bateri 4200mAh ini boleh dikatakan agak kecil untuk sesebuah telefon pada masa sekarang. Kebiasaannya ia perlu 4500mAh dan ke atas. Namun, jangka hayat baterinya tidaklah teruk. Saya masih boleh menggunakannya seharian, dari pagi hinggalah sebelum waktu tidur di malam hari.



Bateri yang tidak begitu besar ini bagaimanapun disokong kembali dengan kelajuan mengecasnya. Saya mengecas vivo V23 5G ini pada 17% dan ia mengambil masa kira-kira 45 minit sahaja untuk cas penuh.

Oleh itu, rasanya kalau anda jenis yang mengecas pada kadar 40%, memang tidak menjadi masalah kerana pengecas 44W itu sudah cukup laju.

Pendapat


Secara keseluruhan, vivo 23 5G ini memang sebuah peranti berkelas pertengahan yang rasa premium. Dari segi binaannya, warnanya dan prestasi yang agak baik.

Jika anda bertanya kepada saya adakah berbaloi atau tidak untuk memilikinya, ia berbaloi jika anda penggemar swafoto dan pada masa yang sama mahukan peranti yang cantik dilihat serta sedap dipegang.

Tetapi sekiranya anda mahukan peranti yang menjanjikan prestasi lebih cemerlang dan tidak mahu berbelanja sehingga RM2099, vivo 23 5G ini kurang sesuai untuk anda.

Baca juga: