Tempoh hari, kami telah menerima kad SIM 5G daripada YES. Yes merupakan syarikat telekomunikasi (telko) pertama yang memberikan perkhidmatan sambungan 5G. Buat masa ini, perkhidmatan 5G hanya terdapat di 3 kawasan sahaja iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya. Untuk ujian ini, saya memilih untuk lakukannya di Cyberjaya.
Dalam membuat ulasan sambungan 5G ini, saya akan membuat 3 ujian untuk 3 situasi. Ujian yang saya akan buat adalah:
- Melihat kelajuan internet,
- Muat turun 1 siri daripada Netflix dan,
- Menonton video YouTube pada resolusi 4K.
Situasinya pula adalah:
- Berdekatan pencawang 5G
- Dalam kawasan tertutup seperti di kedai makan.
- Dalam kenderaan yang sedang bergerak.
Laju juga kalau bawah pencawang
Dalam situasi ini, saya akan cuba membuat ujian dibawah pencawang 5G. Kawasan yang saya pilih adalah berdekatan dengan Hospital Cyberjaya. Setelah ujian dibuat, ini adalah hasil yang saya dapati.
Berdasarkan ujian ini, dapat dilihat 5G di Cyberjaya mampu mencapai kelajuan muat turun maksimum seperti yang ditawarkan oleh Digital Nasional Berhad sendiri iaitu 1GB/saat. Namun signal 5G ini masih tidak stabil membuatkan bacaan kelajuan internet menurun. Dengan kelajuan ini, saya juga dapat memuat turun 1 siri daripada Netflix dengan hanya purata 20 saat untuk 1 episod. Untuk pengetahuan anda, 1 episod pula purata saiz failnya adalah 100MB.
Mungkin ada yang akan kata “sepatutnya 100MB boleh download 1 saat je la kalau internet 1GB/saat”. Ya memang betul, namun anda perlu ingat bahawa setiap server akan mempunyai had kelajuan untuk muat turun fail. Tapi saya memilih Netflix untuk memudahkan saya membuat perbandingan.
Yang terakhir adalah menonton video 4K daripada YouTube. Seperti yang mungkin anda jangkakan, 5G tiada masalah untuk menonton video 4K.
Dalam bangunan pun tiada masalah
Situasi seterusnya adalah saya akan menguji capaian 5G ini di dalam bangunan. Kawasan yang saya pilih kali ini adalah dalam kedai makan di Tamarind Square. Disebabkan 5G ini menggunakan frekuensi yang tinggi, secara teorinya ia akan menyukarkan pengguna untuk mendapat capaian internet dalam kawasan berbangunan. Apa-apa pun, mari lihat keputusan ujian di bawah ini.
Saya sejujurnya agak teruja kerana walaupun dalam kawasan berbangunan yang penuh dengan tembok konkrit, saya masih mendapat kelajuan internet yang memberansangkan. Walaupun kelajuan tersebut tidak mencapai 1GB/saat, 500MB bagi saya sudah lebih daripada cukup. Untuk muat turun siri daripada Netflix juga tiada masalah, masih laju. Begitu juga dengan menonton video 4K di YouTube.
Macam mana pula kalau dalam kenderaan bergerak?
Kita guna internet bukan waktu duduk setempat je kan? Kita pun guna internet waktu dalam kenderaan untuk tengok GPS. Jadi kali ini saya ingin membuat ujian dalam situasi kenderaan yang bergerak di sekitar Cyberjaya ini. Dan dibawah ini adalah keputusan yang saya perolehi.
Untuk ujian dalam situasi ini, kelajuan internet yang saya boleh dapatkan adalah lebih rendah berbanding dengan ujian dalam situasi sebelum ini. Hal ini mungkin kerana capaian 5G masih belum stabil dan meluas. Seperti yang saya beritahu awal-awal tadi, frekuensi 5G ini tinggi. Oleh itu, keluasan capaiannya adalah lebih kecil berbanding dengan 4G. Antara cara yang boleh diambil untuk mengelak masalah ini adalah dengan menambah repeater pada tiang-tiang lampu meluaskan capaian 5G ini. Sebab itu anda boleh lihat, mengapa tiang-tiang untuk rangkaian 5G dipasang dengan jarak yang dekat.
Namun untuk ujian muat turun siri daripada Netflix dan menonton video 4K, situasi ini masih tidak menjadi masalah untuk melakukan kedua-dua perkara tersebut.
5G memang puas pakai
Saya boleh simpulkan bahawa 5G ini sememangnya lebih laju daripada 4G. Namun buat masa ini capaian 5G ini masih belum lagi stabil. Kadang-kadang walaupun saya berada dekat dengan pencawang, kelajuan internet saya tidak capai 500MB/saat pun. Apa-apa pun, dengan kelajuan internet seperti ini, kita akan dapat pelbagai manfaat lain seperti dapat menonton siri kegemaran di Netflix tanpa sangkut-sangkut, boleh main permainan video tanpa ada latency dan pelbagai lagi.
Kalau diikutkan sebenarnya 5G ini kita tak nampak sangat kegunaannya untuk media sosial kerana kalau di luar negara 5G ini digunakan industri besar seperti pemanduan automatik. Untuk media sosial, tonton video, main permainan video, 4G pun dah cukup, cuma perlu lebih stabil lagi.
Baca juga: