Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima dana penyelidikan sebanyak RM1 juta daripada SENA Traffic System Sdn Bhd (STS), bagi membangunkan Sistem Trafik Pintar di negara ini.
Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly berkata sebagai langkah permulaan, satu memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani pihaknya dengan syarikat berkenaan yang bertujuan membolehkan ahli akademik dan pelajar UTHM terlibat dalam pembangunan serta penyelesaian praktikal untuk bandar pintar di dalam serta luar negara.
Beliau berkata dalam masa sama, dengan termeterainya MoA tersebut, kerjasama secara berterusan antara kedua-dua pihak akan dapat difokuskan, termasuk pembukaan sebuah pusat penyelidikan di kampus induk UTHM, di sini.
“Pusat penyelidikan berkenaan akan berperanan sebagai stesen yang membolehkan staf STS dan tenaga pakar UTHM bekerjasama dalam bidang penyelidikan membangun Sistem Trafik Pintar melalui Aplikasi Bandar Pintar.
“Pusat penyelidikan ini bakal memberikan faedah kepada kedua-dua pihak, sekali gus STS tidak akan kekurangan tenaga kerja mahir serta UTHM sendiri akan mampu meningkatkan kemahiran dalam bidang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum berkenaan bagi pihak UTHM manakala Pengarah Urusan Kumpulan Sena Datuk Tan Boon Hock mewakili STS.
Wahid berkata dana penyelidikan berkenaan akan diuruskan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Kursi UTHM-SENA yang akan dilantik dalam kalangan tenaga akademik dan pakar, termasuk dari UTHM sendiri.
Katanya, selain dapat memindahkan teknologi kepada pihak luar, pusat penyelidikan tersebut juga akan berfungsi dan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Dalam masa sama, ia juga akan menjadi pendorong kepada pelajar sekolah untuk mendalami bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang amat diperlukan negara kini,” katanya.
-- BERNAMA
Monday , 14 January 2019