Ura-Ura: iPhone 12 Pro Akan Dilengkapi Sensor Kamera Besar 64MP Dan Juga Bateri 4400mAh

Pada iPhone 11 Pro/Pro Max, buat pertama kalinya Apple memuatkan 3 lensa kamera pada peranti mereka. Lensa ultra lebar merupakan penambahan baharu untuk peranti tersebut selepas pengenalan lensa telefoto zoom oleh iPhone 7 Plus pada tahun 2016. Namun bagaimana pula dengan peranti Apple seterusnya iaitu iPhone 12 Pro.
Sensor lensa utama lebih besar

Untuk itu terdapat beberapa laporan yang menjangkakan untuk iPhone 12 Pro ia akan dilengkapi dengan sensor utama Sony 64MP. Buat masa ini, dikatakan Apple sedang menguji sensor tersebut yang mempunyai saiz fizikal lebih besar untuk meningkatkan kualiti pengimejannya.
Night Mode untuk lensa lain

Tambahan maklumat lain, Apple juga sedang membangun cara untuk membawa fungsi Night Mode kepada lensa lain seperti swafoto, sudut lebar, dan telefoto. Pada siri iPhone 11, Night Mode hanya dibenarkan penggunaannya pada lensa utama sahaja. Dengan tambahan lebih banyak lensa, semestinya pengguna akan mempunyai lebih banyak fleksibiliti untuk memilih lensa lain untuk menggunakan Night Mode.
Kamera makro

Mereka juga sedang membangunkan sebuah sistem kamera makro. Ia adalah untuk mengambil gambar jarak dekat sekitar 2cm. Kamera makro sudah banyak dimuatkan dalam peranti Android, namun kebanyakannya hanya gimik dan mempunyai kualiti yang tidak memuaskan.
Apertur lensa sudut lebar lebih besar

Selain itu, saiz apertur lensa sudut lebar akan dibuka lebih besar kepada f/1.6 berbanding f/2.4 pada iPhone 11 Pro.
HDR lebih baik

Akan terdapat penambahbaikan kualiti Smart HDR. Ia akan menggunakan algoritma baharu yang dinamakan Smart XDR untuk kualiti HDR yang lebih baik.
Bateri lebih besar

Dikatakan bateri untuk iPhone 12 Pro dimuatkan dengan kapasiti lebih besar iaitu pada 4,400mAh. Ini mungkin adalah untuk memastikan ia bertahan lebih lama lagi-lagi dengan kehadiran rangkaian 5G pada peranti tersebut.

Untuk iPhone 12, dari segi luaran nampaknya Apple tidak akan mengubah rupa fizikalnya secara besar-besaran. Namun penambahbaikan dan fokus utama mereka adalah spesifikasi dan kemampuan peranti terutamanya bahagian kamera.

Mendengarkan segala jangkaan dan khabar angin ini, adakah mampu menarik minat anda untuk membeli model iPhone 12 Pro ini?

Sumber: Pineleaks, EverythingApplePro