(Ulasan) Xiaomi 13T Pro - Dengan Harganya, Ini Pun Dah Cukup

Sedar tak sedar, Xiaomi telah melancarkan siri Xiaomi 13T yang ditunggu pada 26 September, hari Selasa lepas. Seperti siri sebelum ini, Xiaomi menawarkan 2 model - Xiaomi 13T dan 13T Pro.

Ketika ulasan ini dibuat, saya telah menggunakan Xiaomi 13T Pro lebih kurang 2 minggu sebelum pelancarannya. Dan sejujurnya, ia adalah sebuah peranti paling berbaloi secara keseluruhan dalam kelas harganya.



Untuk pengetahuan anda, Xiaomi 13T Pro dijual pada harga bermula RM2,499 dan mempunyai 3 variasi untuk dipilih:

  • 12GB RAM / 256GB ROM - RM2,499

  • 12GB RAM / 512GB ROM - RM2,699

  • 16GB RAM / 1TB ROM - RM3,499


Jadi, izinkan saya untuk berkongsi kenapa saya menyatakan Xiaomi 13T Pro ini adalah yang paling berbaloi dalam kelas harganya.

Kamera Leica - "Leica" Paling Mampu Milik




Peranti ini dilengkapi 3 sensor kamera Leica - 50MP utama, 50MP telefoto dan 12MP ultra lebar serta mod Authentic atau Vibrant pada kamera utamanya.



Mod Leica Authentic ini mengekalkan kualiti warna objek mengikut warna-warna signature atau identiti kamera Leica itu sendiri. Erti kata lain, warna dan kontras dalam gambar-gambar di atas hanya boleh didapati melalui lensa kamera Leica sahaja.



Sementara itu, Leica Vibrant pula akan menguatkan lagi elemen objek dan warna objek dalam gambarnya. Mod ini sangat sesuai dalam situasi bercahaya rendah dan jika anda mahu hasil gambar yang lebih menyerlah kerana mempunyai kontras yang lebih pekat.





Prestasi kamera utama yang dibawakan peranti ini cukup memuaskan hati dengan hasil gambar yang diberikan sama ada anda seorang jurugambar atau pun pengguna biasa seperti saya.

Selain itu, prestasi kamera peranti ini untuk zum juga cukup baik dan memberangsangkan. Tetapi seperti biasa, kita akan dapat lihat kehadiran hingar yang boleh diterima pada 10x zum, dan lebih ketara sedikit dalam 20x zum.



Namun begitu, kualiti gambar 10x dan 20x zum peranti ini agak kurang menarik apabila kita cuba menangkap gambar pada waktu malam. Faktor kekurangan kehadiran cahaya pada waktu itu mungkin adalah sebab utama.



Anda jangan risau kerana mod zum tersebut tidak banyak digunakan oleh kita semua melainkan mod 2x zum dan ke atas. Secara keseluruhan kualiti pada kamera utama peranti ini adalah cukup baik dengan prestasi hasil gambar yang diberikan.



Melalui lensa kamera 50MP UHD, gambar di atas yang diberikan adalah lebih jelas, tepat namun sudah pasti saiz lebih besar kerana ia mampu memberikan kualiti yang lebih terperinci walaupun selepas di zum.





Selain gambar ultra lebar di atas, prestasi gambar malam yang diberikan peranti ini cukup boleh saya katakan sangat kompetitif. Ia bukan setakat dapat mengekalkan elemen klasik tetapi menguatkan lagi warna yang hadir dalam bingkai gambar tersebut.



Anda boleh melihat hasil kualiti rakaman video peranti ini melalui video ulasan kami di YouTube tidak lama lagi.

Prestasi - Lebih Berkuasa, Lebih Cekap Tenaga


Xiaomi 13T Pro dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9200+, memori RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0 - ini merupakan komponen utama yang digunakan oleh peranti-peranti kelas andalan.



Berdasarkan pengujian dalam aplikasi Geekbench 6, peranti ini menunjukkan skor mata yang cemerlang untuk teras tunggal dan teras pelbagai - 1,292 dan 3,588 mata.

Selama lebih 2 minggu saya menggunakan peranti ini untuk mengendalikan permainan mudah alih bergrafik tinggi, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu.

Pertama sekali, Dimensity 9200+ adalah sebuah cip yang sangat berkemampuan dalam memproseskan mana-mana mobile games yang ada di luar sana.



Walaupun tetapan grafik dan kadar segar semula di paras Ultra, saya dapat memainkan Mobile Legends: Bang-Bang tanpa sebarang masalah. Paparannya jelas, fps stabil, dan pengalaman permainan juga smooth sahaja.



Selain itu, Xiaomi 13T Pro ini tidak mengalami kenaikan suhu melampau sangat seperti sesebuah peranti lain ketika bermain mobile games. Dan suhunya terasa seperti panas yang suam-suam sahaja walaupun ketika dimainkan dalam jangka waktu yang lama.



Saya juga mendapatkan pengalaman bermain yang sama dalam COD: Mobile juga pada tetapan grafik yang tertinggi. Oleh itu, tidak salahlah saya mengatakan peranti ini adalah salah satu telefon pintar yang stabil ketika bermain mobile games.



Tetapi ada satu perkara yang anda perlu tahu perihal peranti ini di mana suhunya terasa lebih panas sedikit ketika saya bermain Genshin Impact pada tetapan grafik tertinggi di 60fps.



Berbanding mobile games yang suhunya hanya sekadar suam-suam sahaja, Xiaomi 13T Pro menjadi lebih panas berbanding biasa. Namun, ia bukanlah terasa panas melampau seperti Black Shark 5 atau Xiaomi 12 Pro.

Walaupun begitu, saya boleh jaminkan pengalaman bermain yang tetap lancar, tanpa masalah, dan stabil walaupun pada tetapan grafik tersebut.

Bateri & Pengecasan - Tak Perlu Tunggu Lama Untuk Dicas Penuh


Xiaomi 13T Pro mempunyai kapasiti bateri 5,000mAh dan dipadankan teknologi pengecasan pantas HyperCharge 120W nya dan jujur saya cakap, ia memang pantas.



Dalam gambar di atas, peranti ini hanya memerlukan masa pengecasan kurang daripada 25 minit sahaja untuk dicas sepenuhnya 100% apabila saya mula mengecas daripada paras 20%.

Dengan pengalaman seperti ini, telefon pintar terbaru Xiaomi ini memberikan masa pengecasan antara yang terbaik dalam pasaran ketika ini.

Sementara itu, prestasi ketahanan baterinya juga cukup baik dan memberangsangkan. Dalam penggunaan bermain mobile games secara berterusan, saya dapat purata masa penggunaan 5 ke 6 jam sebelum ia perlu dicas semula.

Untuk penggunaan seharian, saya rasa peranti ini sememangnya tiada masalah dan mampu memenuhi tuntutan dan segala tugas harian anda.

Skrin - Spesifikasi Skrin Antara Terbaik Dalam Kelasnya


Xiaomi 13T Pro dilengkapi skrin LTPO AMOLED 6.67" beresolusi 1.5K CrystalRes yang sokong 144Hz kadar segar semula, HDR10+ dan Dolby Vision.



Secara keseluruhannya, melihat kualiti skrin ini adalah salah satu pengalaman skrin peranti yang cemerlang pernah saya rasa, nak-nak lagi dalam kelas harganya.

Dengan ciri HDR10+, skrin peranti ini dapat membaca lebih banyak jenis cahaya. Oleh itu, saya menonton mana-mana video dengan warna yang lebih tepat, lebih pelbagai dan lagi menyerlah.

Untuk pengetahuan anda, tidak banyak peranti dalam kelasnya yang mempunyai sokongan kepada ciri HDR10+ ini. Tambahan lagi, melalui padanan resolusi 1.5K dan kadar segar semulanya yang tinggi, anda dapat kualiti skrin bertaraf andalan (flagship) dalam kelas harganya yang jauh lebih murah.

Kesimpulan - Harga Tak Jauh Beza Dengan Pendahulu, Tapi Dapat Lebih




Xiaomi 13T Pro adalah sebuah telefon pintar yang menjadi pesaing baharu dalam kalangan peranti-peranti yang anda rasa sangat berbaloi dengan harga jualannya.

Selain kelebihan-kelebihan yang saya nyatakan di atas, siri Xiaomi 13T adalah yang pertama dalam barisannya hadir dengan pelbagai kelebihan-kelebihan baharu seperti:

  • Ada kamera Leica

  • Mempunyai penarafan kalis air dan debu IP68

  • Sokongan kemas kini OS Android selama 4 tahun dan 5 tahun untuk tampalan sekuriti.


Namun saya berpendapat bahawa anda juga kena peka akan kekurangan-kekurangan peranti seperti panel belakangnya glossy yang memang magnet cap jari, dan prestasi pembesar suaranya yang biasa-biasa sahaja.



Anda jangan salah faham di mana pembesar suaranya bukanlah tidak baik, tetapi ia hanya sekadar baik sahaja dan tiada wow factor sangat berdasarkan pengalaman penggunaan saya.

Saya juga yakin mesti ada dalam kalangan pembaca yang risau akan kestabilan MIUI 14 pada peranti ini. Tetapi, saya jamin kepada pembaca bahawa MIUI dalam peranti ini lancar, tiada sebarang isu mahupun masalah atau dalam bahasa mudahnya, do the job seperti yang sepatutnya lagi.



Jadi, setelah anda membaca ulasan saya ini, ia adalah tidak salah untuk saya mengatakan bahawa Xiaomi 13T Pro ini adalah peranti paling berbaloi sekali dalam kelas harganya.

{suggest}

Dengan cip yang berkuasa, prestasi yang padu, skrin yang berkualiti, pengecasan yang pantas, bateri yang tahan lama, kamera yang kompetitif dan jaminan perisian yang lama:

For your consideration - Xiaomi 13T Pro

Beli Xiaomi 13T Pro di Shopee - https://invl.io/cljyf8c

Beli Xiaomi 13T Pro di Lazada - https://invol.co/cljyf8y