(Ulasan) vivo X90 Pro - Kamera Kekal Antara Terunggul

vivo X90 Pro dan X90 sudah dilancarkan di Malaysia minggu lalu. Untuk model Pro, ia dijual pada harga RM4,999 manakala model biasa pula RM3,699.

Yang menjadi tumpuan ialah penggunaan sensor 1 inci. Namun, apakah ia benar-benar berkuasa? Teruskan membaca untuk sedikit ulasan berkenaan vivo X90 Pro ini.

Sistem operasi




Ia menjalankan Funtouch OS 13 berasaskan Android 13. Ia lancar dan saya tidak mengalami sebarang isu lag sepanjang menggunakannya.

Ciri tambahan tidak terlalu banyak tapi ada. Antara mukanya juga tidak terlalu fancy, sekadar mencukupi.

Bateri


Dengan bateri sebesar 4870mAh dan sokongan pengecasan sehingga 120W, apa yang nak dijangka? Memang perform.

Pengecasannya mengambil masa yang sangat singkat (sekitar1 jam), baterinya juga dapat bertahan sekitar 7-8 jam bila skrin dihidupkan.

Mudah kata, selain bateri yang mencukupi, kepantasan pengecasan juga sangat mengagumkan.

Paparan


Ia menggunakan skrin melengkung AMOLED bersaiz 6.78 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+.

Kalau dah AMOLED, apa lagi nak diulas? Memang sangat memuaskan hati. Namun, anda harus tahu skrinnya melengkung.

Kamera




Seperti biasa, siri X ini memang menumpukan terhadap keupayaan kamera dan ia tidak mengecewakan.

  • 50MP f/1.75 utama

  • 12MP f/2.0 sudut lebar

  • 50MP f/1.6 potret telefoto

  • Swafoto 32MP


Untuk tahun ini, ia masih sama berkuasa seperti X80 Pro tahun namun ada yang lebih dan kurang.

Potret




Bagi gambar potret, saya sangat berpuas hati baik objeknya benda hidup mahupun barang.

Namun, beza dengan model tahun lalu ialah X90 Pro tampil dengan butiran yang lebih terperinci (detail) pada objek yang difokus.

Misalnya, tekstur wajah, peluh, dapat dilihat jelas dalam gambar. Berbeza dengan X80 Pro yang sudah diakui sangat lawa potretnya tapi detail padanya tidak setaraf X90 Pro.

Ini dijayakan melalui sensor 1 inci. Hasil gambarnya mengingatkan saya pada potret daripada Google Pixel kerana butirannya yang begitu mendalam.

Zum




vivo X90 Pro tidak mempunyai lensa periskop seperti X80 Pro walaupun ada lensa telefoto 50MP yang boleh zum sehingga 40x.

Daripada penggunaan saya, hanya zum hingga 5x kali saja yang boleh dikatakan baik. Lebih daripada 5x, gambar jadi pudar apatah lagi dari segi perincian, ke laut kata anak muda sekarang.

Kapsyen: Zum 0.6X


Kapsyen: Zum 1X


Ini sangat berbeza kerana saya mempunyai sejarah yang sangat baik dengan X80 Pro dari segi kemampuan zumnya walaupun periskopnya hanya 12MP.

Untuk zum, X90 Pro sedikit mengecewakan.

ZEISS dan mod biasa




Kerjasama ZEISS dengan vivo memastikan telefon ini menggunakan salutan T* pada modul kameranya memastikan tiada isu silau ketika mengambi gambar lampu dan sumber cahaya lain.

Melalui ciri ZEISS Natural Colour, warna pada gambar diambil sepatutnya menghampiri warna asli objek dalam dunia sebenar.

Jika anda matikan ciri ini, beberapa warna sedikit pekat dan terang seperti hijau pada daun.



Namun, kadangkala saya matikan fungsi ini jika diambil dalam keadaan pencahayaan terang kerana ZEISS Natural Color membuatkan foto nampak sedikit pudar, memandangkan ketepatan warna yang ingin dicapainya.

Saya pula sukakan warna sedikit pekat. Jadi, ini terpulang pada cita rasa anda namun agak bagus kerana anda ada pilihan.

Untuk video juga ZEISS hadir dengan ciri sama iaitu Cinematic dan Natural untuk warna, beberapa LUT filem yang menarik.

"Colour grading" dibawakan memang layak digunakan untuk dimuat naik terus ke media sosial dan sesuai jika anda mahu berjinak-jinak dalam bermain tona warna tanpa tetapan lanjut.

Gambar malam


Kapsyen: Tanpa ZEISS Natural Colour


Kapsyen: Dengan ZEISS Natural Colour


Untuk fotografi malam pula, saya akan hidupkan ciri Natural Color kerana ada beza apabila mengambil gambar yang ada lampu atau sumber cahaya dalamnya dalam pencahayaan rendah.

Cahaya daripada sumber tidak melimpah, 'terletak' elok dan sangat terkawal seperti HDR yang sangat berprestasi tinggi, secara automatik tanpa tetapan lebih-lebih.



Kalau diambil dengan tanpa Natural Color, foto tampak sama saja seperti diambil telefon lain tanpa ZEISS. Kalau mahu gambar nampak cantik, anda harus tap pada sumber cahaya agak ia terkawal.

Perbezaan Night Mode dan biasa juga sangat minimal, justeru saya tidak menggunakan mod malam sebaliknya Natural Color saja.

Video


 

Dari segi warna, ia tidak jauh dengan gambar -- terang dan pekat. Mudah kata, memuaskan hati dan lebih baik daripada X80 Pro.

Walaupun dalam pencahayaan rendah, noise sangat minimal dan warna masih pekat serta keseluruhan video juga masih cerah seumpama mendapat pencahayaan yang baik.

{suggest}

Untuk penstabilan, anda harus menggunakan Ultra Stabilisation jika mahu video yang stabil. Jika tidak, agak teruk walaupun anda hanya sedang rakam semasa berjalan.

Bercakap tentang penstabilan dalam peranti mudah alih, ia belum dapat menandingi stabilisation pada iPhone tapi agak okey untuk sebuah Android.

Mudah kata, video dirakam X90 Pro memberikan warna yang punchy dengan kontras yang cun, butiran tajam bersama stabilisasi yang baik dengan Ultra Stabilisation. Agak baik untuk sebuah telefon Android.

Kesimpulan




vivo X90 Pro ialah sebuah telefon yang sangat bagus dari segi keupayaan kamera dan video namun ada kekurangan seperti kemampuan zum.

Sensor 1 incinya menawarkan butiran yang lebih terperinci berbanding X80 Pro dan mungkin juga telefon lain.

Ia tidak seversatil Galaxy S22 Ultra mahupun S23 Ultra namun jika anda bukan kaki zum, telefon ini masih 3 teratas untuk sebuah telefon Android yang menumpukan terhadap kamera.

Kekuatannya ialah pada warna, potret dan perincian kerana lengkap dengan sensor 1 inci.

Daripada maklum balas pengguna X80 Pro dan model sebelumnya, mereka juga menyatakan kepuasan menggunakan telefon mereka.

Jadi, jika anda mahukan sebuah telefon Android dengan kemampuan fotografi yang berkuasa dan videografi yang boleh diterima, X90 Pro wajib masuk dalam senarai.