(Ulasan) Samsung Galaxy S23 Ultra: Hampir Sempurna Jadi Raja Android

Samsung Galaxy S23 Ultra adalah model paling berkuasa dalam siri S23 buat tahun 2023. Salah satu tarikan utama model ultra pada kali ini adalah cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang digunakannya.

Cip tersebut telah pun ditalakan khas untuk Galaxy S23 Ultra dengan kelajuan CPU 3.36GHz berbanding 3.2GHz pada Snapdragon 8 Gen 2 yang standard.

Samsung juga ada menjelaskan cip khas ini telah dipertingkatkan keupayaan unit pemprosesan grafiknya agar dapat memberikan prestasi gaming yang lebih hebat.



Buat anda yang ingin mengetahui spesifikasi penuh S23 Ultra, boleh merujuk kepada artikel 'reaksi awal' daripada kami ini. Selain itu, kami juga telah mengulas akan rekaan fizikal, cip khas daripada Qualcomm itu dan lain-lain.

Oleh itu, saya berbesar hati untuk berkongsikan kemampuan, kehebatan dan kuasa Samsung Galaxy S23 Ultra dalam mengendalikan permainan mudah alih di luar sana.

Bukan Sebuah Fon 'Gaming' Tetapi Prestasi Menyaingi Fon 'Gaming'


(Sebuah Peranti 'Gaming' Yang Menyamar)

Sejujurnya, saya berpendapat peranti ultra Samsung pada tahun 2023 dalam diam adalah sebuah peranti gaming dek kerana cip khas yang dimilikinya.

Hal ini demikian kerana semua mobile games yang ada terutamanya yang mempunyai keperluan pemprosesan grafik tinggi, mampu dikendalikan peranti ini.

Game pertama yang saya cuba adalah PUBG Mobile untuk menguji kemampuan ciri ray tracing pada game itu dan peranti ultra ini. Untuk pengetahuan anda, PUBG Mobile adalah satu-satunya mobile game yang menyokong ciri ray tracing buat masa sekarang.



Dalam tetapan tertinggi yang boleh saya akses, PUBG Mobile memberikan satu kualiti grafik yang cantik, jelas dan seakan-akan ia dimainkan pada platform PC.



Selain itu, pengalaman yang saya rasai ketika bermain PUBG Mobile lebih menarik berbanding peranti biasa. Hal ini demikian kerana game ini dapat dimainkan dalam tetapan FPS tertinggi yang disokongnya beserta kualiti grafik ray tracing.

Saya juga tidak menghadapi sebarang masalah seperti lag, FPS drop, mahupun panas yang melampau. Samsung juga ada menjelaskan mereka telah mempertingkatkan saiz vapor chamber dalam sistem penyejukan S23 Ultra ini.

Jadi, tidak mengejutkan apabila saya hanya rasa panas yang suam-suam dan biasa sahaja apabila memainkan PUBG Mobile ini walaupun dalam jangka waktu yang lama.



Selain PUBG Mobile, saya turut mencuba Mobile Legends: Bang Bang dengan tetapan yang sama seperti sebelum ini - tetapan grafik tertinggi.



Tetapi tidak perlu saya ulas panjang kerana Samsung Galaxy S23 Ultra ini terlalu overkill bagi sesebuah game MOBA dan battle royale. Hal ini demikian kerana saya dapat memainkan MLBB tanpa sebarang masalah dengan kualiti grafik terbaik dalam jangka waktu yang lama.

Perkara itu dapat dikecapi atas faktor kapasiti bateri yang besar, mobile games AAA yang telah dioptimumkan dan kemampuan pemprosesan grafik S23 Ultra yang hebat.

Saya juga turut berkesempatan untuk menguji prestasi peranti ini dalam racing mobile game baharu CarX Street yang boleh dikatakan baharu lagi dalam pasaran ketika ini.



CarX Street ini adalah sebuah mobile game lumba kereta dunia terbuka yang mempunyai konsep yang hampir sama dengan Need for Speed: Underground 2. Jadi, ia lebih memerlukan pemprosesan grafik yang lebih tinggi berbanding game lumba kereta yang biasa dan tipikal.



Sama seperti games yang lain, saya dapat memainkan CarX Street ini dengan pengalaman grafik yang lebih baik, tiada lag dan lancar walaupun semua tetapan grafik telah diubah pada maksimum.



Secara amnya, peranti ultra ini tidak menghadapi sebarang masalah suhu walaupun memainkan apa-apa jenis mobile games kecuali satu game ini - Genshin Impact.



Genshin Impact adalah salah satu game mudah alih AAA yang mempunyai keperluan grafik tertinggi sekali dalam segmen ini. Tambahan lagi, kemas kininya versi 3.4 nya itu telah menambah lagi kawasan baharu yang begitu besar dalam dunia terbuka sedia ada.

Oleh itu, saya dapat kesan dan rasa peningkatan suhu yang lebih panas sedikit ketika bermain Genshin Impact dalam satu jangka masa secara berterusan.

Walau bagaimanapun, suhu tersebut masih lagi boleh diterima dan tidaklah keterlaluan panasnya. Tetapi ia terasa sedikit panas apabila kita bandingkan dengan suhu S23 Ultra dalam mengendalikan games yang lain.



 

Namun begitu, hasil kualiti grafik dan pengalaman bermain Genshin Impact pada peranti ini sungguh mengasyikkan, lancar, jelas dan tiada langsung masalah penurunan FPS mahupun lagging.

Gambar




Dari segi kamera, saya tidak nafikan model ultra ini mempunyai kemampuan kamera yang lebih baik, dan malahan memberikan pesaingan yang sangat kompetitif bagi peranti-peranti lain dalam kelasnya.

Berdasarkan perkongsian gambar di bawah, saya dapat lihat hasil gambar memberikan unsur semula jadi yang jelas, kontras yang seimbang dan HDR yang sangat menarik.





Sementara itu, hasil gambar gambar pada waktu malam dan kawasan kurang cahaya juga begitu memberangsangkan. Kita dapat lihat pemprosesan gambar yang ditangkapkan memberikan hasil gambar yang vibrant, berkualiti, terperinci dan seimbang.



Selain itu, kemampuan 100x zum yang dimiliki peranti ini tampak lebih baik berbanding siri sebelumnya di mana kita dapat melihat permukaan bulan dalam kualiti gambar yang lebih jelas.



Walaupun ia tidak setanding kamera DSLR, tetapi ia satu perkara yang mengujakan apabila sesebuah peranti yang sekecil telefon pintar mampu memberikan kualiti gambar akan objek sejauh 384,400 km.



Menariknya lagi, hasil gambar-gambar bunga-bunga di atas mempunyai keseimbangan warna dan pemprosesan cahaya yang sangat baik. Dalam konteks ini, saya tidak nafikan yang hasil gambar-gambar tersebut hampir setanding dengan kualiti sesebuah peranti DSLR. Cumanya, kadangkala warna yang dihasilkan agak pelik dan Samsung perlu memperbaiki masalah tersebut.

Untuk pengetahuan pembaca, Galaxy S23 Ultra turut mempunyai kualiti dan kemampuan rakaman video dengan audio yang sangat baik. Berikut dalam contoh audio yang dirakam menggunakan mikrofon dalam ruangan tertutup:

https://youtu.be/wo4k5Fc9Oes

Bila saya mendengarnya, kualiti audio yang diberikan setanding atau seolah-olah video di atas menggunakan mikrofon pihak ketiga.

https://youtu.be/o5wYdwzFALk

Sementara itu, kualiti audio di kawasan terbuka kedengaran lebih baik, dan jelas apabila gema suara sudah tiada. Melihat kepada kemampuan video daripada Galaxy S23 Ultra ini, saya tidak menafikan bahawa ia sudah hampir setanding dengan kualiti yang ada pada peranti iPhone.

Ini kerana kemampuan fotografi, banyak peranti andalan Android sudah cukup baik. Namun, video masih lagi didominasi oleh Apple. Akan tetapi, Samsung membuktikan yang mereka juga mampu menghasilkan kualiti video yang cemerlang.

Kesimpulan


(Samsung Galaxy S23 Ultra Layak Digelarkan Raja Telefon Android)



Peranti paling berkuasa dalam siri S23 ini sememangnya layak untuk digelarkan 'Raja' telefon Android. Sekiranya anda berpendapat sebaliknya, saya faham, terima dan hormati akan hak anda itu.

Walau bagaimanapun, kita semua tidak boleh menafikan apa yang ditawarkan Samsung dalam Galaxy S23 Ultra adalah ciri-ciri untuk menjadi sebuah raja telefon pintar.

Peranti ini mempunyai spesifikasi paling berkuasa yang boleh kita dapatkan di pasaran ketika ini, skrin yang besar dengan perlindungan Gorilla Glass Victus 2, dan yang paling menarik sekali adalah sokongan perisian yang diberikan Samsung kepada anda.

Peranti ini telah disahkan menerima kemas kini selama 4 tahun dan sekuriti untuk 5 tahun lamanya. Tidak lupa juga ia adalah peranti Samsung pertama yang menggunakan sensor kamera 200MP.

Anda juga boleh membaca aspek-aspek lain yang merangkumi binaan fizikal, bateri, pengecasan dan banyak lagi melalui artikel ini.



Nantikan juga artikel penuh daripada kami yang akan mengupas prestasi kamera Samsung Galaxy S23 Ultra dengan lebih mendalam lagi.

Disebalik kegagahan peranti ini, terdapat 2 perkara yang masih belum dipertingkatkan oleh Samsung Galaxy S23 Ultra ini - pengecasan pantas 45W yang masih perlahan untuk sesebuah flagship dan saiz yang terlalu besar bagi sesetengah orang.

Walaupun saya menggunakan pengecas pantas 120W, peranti ini masih memerlukan purata masa lebih 1 jam 5 minit untuk dicas sepenuhnya. Malahan perkara itu berlaku apabila saya menggunakan pengecas 35W daripada Samsung di mana ia memerlukan purata masa 1 jam dan ke atas untuk dicas sepenuhnya.

Oleh itu, anda memerlukan pengecas Samsung atau pengecas pihak ketiga yang menyokong pengecasan pantas Samsung untuk mendapatkan pengalaman pengecasan yang lebih baik.

Yang terakhir adalah saiz S23 Ultra ini agak besar sedikit dari sisi lebar dan panjang peranti ini. Oleh itu, berkemungkinan besar peranti ini kurang sesuai bagi anda yang memiliki tapak tangan yang kecil atau lebih menyukai penggunaan satu tangan.

{suggest}

Walau bagaimanapun, pemilihan Samsung untuk menggunakan skrin bersaiz besar adalah penting kerana konsep note dan S Pen. Pengalaman menggunakan S Pen dan konsep note itu sendiri adalah lebih baik pada peranti dengan skrin besar berbanding sebaliknya.

Saya sangat mengesyorkan anda untuk mempertimbangkan Samsung Galaxy S23 Ultra sekiranya anda mencari sebuah peranti yang lengkap, sempurna dan berkuasa. Dan yang paling penting harga permulaan RM5,699 itu adalah di dalam kemampuan bajet anda.

Beli di Shopee - https://invl.io/clgxpro

Beli di Lazada - https://invol.co/clgxpsw

Beli jika: 

  • Anda mempunyai bajet yang besar untuk sesebuah peranti.

  • Anda ingin mencari sebuah peranti baharu dan berkuasa sebagai telefon utama bagi kegunaan harian.

  • Anda sememangnya mencari sebuah peranti Android yang berkuasa ketika ini dan tahun-tahun akan datang.


Jangan beli jika:

  • Anda mempunyai bajet yang agak 'ketat'.

  • Anda tidak meminati sebuah peranti dengan saiz skrin yang besar.

  • Estetik Android dan UI nya bukanlah pilihan anda.