Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Samsung Galaxy S23 Ultra_2

(Reaksi Awal) Samsung Galaxy S23 Ultra – Ada Formula Sendiri Nak Pikat Hati Pembeli

Diterbitkan Februari 8, 2023 oleh Amsyar Latif

Kalau anda pernah menonton segmen ngeteh musim kedua awal tahun ini, saya pernah menyuarakan bahawa saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dalam mana-mana telefon pintar yang dilancarkan pada tahun 2023.

Bagi saya, kita sudah sampai ke tahap yang mana teknologi dalam telefon pintar sudah cukup matang. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang. Jadi, apa yang kita bakal lihat pada bulan-bulan mendatang, ‘template’ atau skrip hampir sama sahaja. Hanyalah sedikit penambahbaikan.

Begitulah yang berlaku pada peranti yang berada di tangan saya sekarang, Samsung Galaxy S23 Ultra. Setakat artikel ini ditulis, sudah 5 hari lebih saya menggunakan telefon tersebut. Ada beberapa perkara yang membuatkan saya kagum dan ada beberapa tempat yang saya rasa ‘ermm, okay’.

Oleh yang demikian, saya tidak mahu berceloteh terlalu lama memandangkan masih terlalu awal untuk saya mengenalpasti masalah atau kekurangan terbesar yang saya hadapi ketika menggunakan Galaxy S23 Ultra ini.

Spesifikasi

CPU – Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy, Adreno 740 (GPU)

Memori – 12GB LPDDR5X

Storan – 256GB, 512GB, 1TB UFS 4.0

Skrin – 6.8″ QHD+ Dynamic AMOLED 2X, resolusi 3088×1440, HDR10+, 120Hz

Kamera Swafoto – 12MP F2.2

Kamera Belakang – 12MP ultra lebar F2.2, 200MP utama F1.7, 10MP telefoto 3x F2.4, 10MP telefoto 10x F4.9

Bateri – 5000mAh, 45W pengecasan berwayar, 15W pengecasan wayarles

Penarafan – IP68

Nampak Sama, Tapi Rupa Ada Juga Beza

Samsung Galaxy S23 Ultra_7

Benar, jika kita lihat dari jauh, rupa Samsung Galaxy S22 Ultra dengan Samsung Galaxy S23 Ultra ini tampak sama sahaja. Tetapi ada juga bezanya.

Pertama sekali, rekaannya jauh lebih rata pada sisi peranti. Mudah kata, ia jauh lebih selesa untuk digenggam berbanding Galaxy S22 Ultra.

Samsung Galaxy S23 Ultra_3
Samsung Galaxy S23 Ultra_5

 

Tahun lalu, saya pernah meluahkan rasa ketidakpuasan hati pada skrin melengkung. Ya, ia cantik tapi ada masalah sedikit apabila tangan saya tersentuh pada skrin atau accidental touch. Ini yang saya alami pada Galaxy S22 Ultra terdahulu.

Namun, Galaxy S23 Ultra kali ini memang ngam di tangan. Selain sisinya yang lebih rata, ala-ala peranti Sony Xperia, skrinnya juga tidaklah terlalu melengkung. Malah, saya tidak lagi mengalami tersilap tekan pada skrin dengan tangan yang agak lebar ini.

Tambahan lagi, peranti ini juga sedikit berat berbanding pendahulunya. Mungkin ini disebabkan perlindungan terbarunya yang mana ia merupakan telefon pertama di dunia menggunakan perlindungan Gorilla Glass Victus 2.

Samsung Galaxy S23 Ultra_4

Tetapan kamera belakangnya pun sama sahaja seperti model terdahulu dan rekaan kamera sebegini digunakan bagi kesemua siri Galaxy S23. Samsung mengatakan ia adalah untuk menampakkan lebih kemas dan lebih ikonik.

Untuk prestasi skrin, memang tidak dinafikan Samsung benar-benar menunjukkan bahawa mereka salah satu peneraju utama dalam industri paparan telefon pintar. Saya dengan mudah melihat paparan dalam apa jua situasi. Baik cahaya dalam bilik mahupun ketika matahari ‘terpacak’ atas kepala.

Pada situasi biasa, kecerahan 20% pun sudah memadai bagi saya, kecuali anda gemar melihat paparan yang terang benderang. Tidak hairanlah, Galaxy S22 Ultra dinobatkan skrin telefon pintar terbaik tahun 2022 oleh kami dan juga pengikut Wiser MY.

Cip ‘Naga’ Khas Buat Galaxy

Samsung Galaxy S23 Ultra_1

Bermula tahun 2022, kesemua peranti Samsung Galaxy S22 buat pasaran Malaysia sudah menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon. Sama juga tahun 2023, peminat tempatan malah satu dunia boleh merasai pengalaman menggunakan siri Galaxy S23 yang dijana cip berkuasa Qualcomm.

Akan tetapi, berbeza dengan dahulu, kali ini cip Snapdragon 8 Gen 2 dibangunkan khas buat Samsung. Sebab itulah ia dinamakan sebagai Snapdragon for Galaxy.

Samsung mengatakan, cip ini memberikan peningkatan sebanyak 34% untuk CPU, 49% untuk NPU dan 41% bagi GPU. Secara keseluruhan, prestasinya mencapai apa yang saya jangkakan. Isu panas pada peranti ketika menggunakan aplikasi media sosial atau menonton video tidak ada.

Semasa saya memainkan permainan PUBG Mobile juga, ia hanyalah suam-suam saja. Bercakap tentang PUBG, saya boleh katakan pengalaman bermain amatlah lancar dan grafik yang dipersembahkan pun memang memukau walaupun ini bukan peranti yang diciptakan khusus untuk gaming.

Untuk ujian penanda aras Geekbench 5, Snapdragon 8 Gen 2 Samsung Galaxy S23 Ultra memberikan hasil prestasi memberangsangkan bagi teras tunggal (1551) dan multi-teras (4966). Sementara ujian wild life extreme pula menerima skor sebanyak 3754.

Galaxy S23 Ultra Geekbench
Galaxy S23 Ultra Wildlife_2
Galaxy S23 Ultra Wildlife

Bagi ada yang tertanya-tanya tentang prestasi sistem operasi, One UI 5.1 kelihatan jauh lebih lancar. Animasi membuka atau beralih kepada aplikasi lain pun terasa berdesup kerana lebih optimum.

Ciri customization skrin kunci pun lebih banyak dan mirip iOS. Bahkan, fungsi cutout seperti iOS 16 juga ada dimana anda boleh potong gambar dan menjadikannya sebagai pelekat atau sebagainya.

Galaxy S23 Ultra Cutout
Galaxy S23 Ultra lock screen

Akhir sekali, jangka hayat bateri dengan padanan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy dan One UI 5.1 memang lain. Walaupun pada awalnya saya merasai penurunan bateri ketara tetapi semakin hari prestasi bateri lebih ‘kencang’.

Galaxy S23 Ultra Bateri

Setakat percubaan saya, maksimum penggunaan (SOT) adalah sekitar 6 jam 39 minit (baki bateri 13%) dan 7 jam lebih jika saya menggunakan sehingga habis bateri.

Ini adalah penggunaan dengan mengaktifkan resolusi WQHD+, AOD dan kadar segar semula tinggi atau adaptive.

200MP Pertama Dari Samsung

Samsung Galaxy S23 Ultra_6

Dua tahun lalu, saya pernah menulis tentang khabar angin mengatakan Samsung tidak mahu menyertai ‘peperangan’ megapiksel yang tinggi lagi. Sebaliknya mahu memfokuskan sensor serta sistem perisian memproses imej yang lebih baik.

Tapi, itu cerita 2021 yang lalu kerana Samsung kali ini menawarkan lensa utama sebesar 200MP. Ia menggunapakai sensor ISOCELL daripada Samsung sendiri.

Sepanjang penggunaan saya menggunakan kamera pada Galaxy S23 Ultra, sememangnya ia adalah final form atau versi matang dalam siri Galaxy Ultra.

Tolak tepi prestasi zum yang masih lagi ke hadapan, saya tertarik pada dua tempat dalam peranti ini. Pertama, potongan dalam gambar potret kelihatan lebih kemas dan tona warna kulit tidak terlalu keterlaluan. Ini juga termasuk dengan mod video potret yang boleh dikatakan agak selamber merakam video cinematic.

Galaxy S23 Ultra Potret_1
Galaxy S23 Ultra Potret_2
Galaxy S23 Ultra Potret_3
Galaxy S23 Ultra Potret_4
Galaxy S23 Ultra Potret_5
Galaxy S23 Ultra Potret_6

Kedua, mod malamnya juga dilihat lebih cantik serta hasil yang diberikan menepati cita rasa saya dan mungkin pada kebanyakan orang. Saya juga sudah berkongsikan beberapa gambar malam di semua platform media sosial Wiser MY dan rata-rata turut memuji kemampuan gambar malam yang ada pada Galaxy S23 Ultra.

Galaxy S23 Ultra malam_1
Galaxy S23 Ultra malam_2
Galaxy S23 Ultra malam_3
Galaxy S23 Ultra malam_4
Galaxy S23 Ultra malam_5
Galaxy S23 Ultra malam_6
Galaxy S23 Ultra malam_7
Galaxy S23 Ultra malam_8

Mod 200MP pula, pada mata marhaen saya, ia tidak terlalu gelap berbanding mana-mana peranti yang menggunakan resolusi kamera (megapiksel) yang tinggi. HDR yang dihasilkan juga sudah dipertingkatkan berbanding pendahulunya.

Galaxy S23 Ultra 200mp_1
Galaxy S23 Ultra 200mp_2
Galaxy S23 Ultra 200mp_3
Galaxy S23 Ultra 200mp_4
Galaxy S23 Ultra 200mp_5
Galaxy S23 Ultra 200mp_6

Untuk mod video, rakaman kelihatan lebih stabil walaupun saya melakukan pergerakan yang agak pantas.

Cumanya, kekurangan ketara yang saya nampak sepanjang penggunaannya, kadangkala warna merah atau hijau khususnya penggemar fotografi flora atau tumbuh-tumbuhan, ia sedikit janggal kerana warna yang dihasilkan terlalu vibran.

Galaxy S23 Ultra flora_1
Galaxy S23 Ultra flora_2
Galaxy S23 Ultra flora_3
Galaxy S23 Ultra flora_4

Kalau saya berada pada kawasan yang mempunyai warna yang pop dan terdapat pencahayaan RGB melampau, vibran serta kontrasnya terlalu ketara.

Satu lagi kekurangan yang saya lihat, saya tidak boleh mengambil gambar yang ada pergerakan walaupun pergerakannya hanya minimum. Ia akan menghasilkan gambar yang kabur. Ini kerana, Galaxy S23 Ultra ada sedikit shutter lag. Namun, masalah ini boleh diselesaikan sekiranya menggunakan mod pro.

Resipi Mirip Pesaing

Samsung Galaxy S23 Ultra_8

Secara keseluruhan, saya masih berpuas hati dengan Samsung Galaxy S23 Ultra walaupun tidak banyak penambahbaikan yang dilakukan. Ia hanya lebih kepada minor improvement.

‘Strategi’ ini seakan-akan mirip pesaing lain yang hanya mempertingkatkan sedikit sahaja berbanding model terdahulu. Biarpun ada kelebihan dari segi cip pemprosesan lebih pantas, bateri lebih baik, kamera yang cantik tetapi masih ada kekurangan lain seperti pengecasan boleh dianggap masih perlahan berbanding jenama lain.

Dengan tanda harga bermula RM5699 (12/256GB), ia sememangnya mahal bagi sesebuah telefon pintar meskipun berstatus andalan (flagship).

Sekiranya anda berminat, tempahan awal masih lagi dibuka sehingga 23 Februari ini yang mana varian 12/512GB boleh dibeli pada harga sama – RM5699.

Sekian daripada saya, nantikan ulasan penuh dalam masa terdekat.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY