Selepas dua model dalam siri ini dilancarkan bulan lalu, kini giliran OPPO Reno7 Z 5G pula bertandang ke pasaran tempatan.
Dari segi batang tubuh, memang sukar sekali dibezakan tambah pula ia turut hadir dengan pencahayaan di lensa kamera yang menyala ketika notifikasi masuk dan pengecasan berlaku.
Seperti biasa, siri Reno ini menumpukan terhadap kamera terutamanya bahagian potret. Bagi mereka yang sudah menggunakan OPPO terutamanya siri Reno, mungkin sudah tahu apa yang perlu dijangka dalam model terbaharu ini.
Reno7 Z 5G ini dikuasakan cip pemprosesan Snapdragon 695. Selain itu, turut menjalankan ColorOS 12.
- Skrin: 6.43 inci AMOLED FHD+, kadar segar semula 60Hz, kadar input sentuh 180Hz
- Kamera: 64MP utama, 2MP monokrom, 2MP makro dan 16MP swafoto
- Storan: 8GB RAM+ 128GB storan UFS2.2
- Bateri: 4,500mAh dengan pengecasan pantas 33W
Disebabkan ia menggunakan Snapdragon 695, maka ia menyokong rangkaian 5G. Ini ialah ulasan berkenaan fotografi melalui kamera OPPO Reno7 Z 5G.
Kamera Utama
Untuk gambar biasa dengan pencahayaan terang dan sempurna, ia dapat mengambil foto pada kualiti yang agak baik. Namun, pilihan 64MP dimatikan secara lalai, jadi jika anda ingin menggunakannya, jangan lupa untuk mengaktifkannya terlebih dahulu.
Gambar 64MP dan biasa dari segi mata kasar sememangnya langsung tidak menampakkan perbezaan, jadi saya ambil dalam mod biasa saja untuk menjimatkan ruang.
Apa yang saya keluhkan mungkin hanya dari segi warna di mana beberapa gambar diambil melihatkan warna tampak sedikit kusam. Jadi, isu ketepatan warna kadang-kala berlaku juga tetapi tidak serius.
Dengan zum
Terdapat tiga mod zum iaitu biasa 1x, 2x dan 5x. Seperti biasa, anda hanya boleh memilihnya pada skrin dengan mudah tanpa perlu menekan lanjut.
Dari segi zum 2x dan 5x, saya dapati perinciannya agak bagus juga. Mungkin kalau dibandingkan dengan kamera telefon kelas andalan S22 Ultra atau telefon Sony yang khas untuk fotografi sememangnya Reno7 Z 5G ini tewas.
Akan tetapi untuk telefon di bawah kelas premium, zum 2x dan 5x padanya saya katakan “function”, bolehlah anda gunakan untuk mengambil gambar nombor plat kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan.
Untuk situasi malam atau pencahayaan rendah, prestasi kamera juga masih baik. Ditambah pula dengan mod malamnya, ia membantu mencerahkan gambar. Tapi, ia tidaklah boleh dipuji terlalu tinggi kerana masih ada beberapa spot yang ada noise dan kabur, cumanya masih boleh diterima untuk peranti kelas ini.
Untuk gambar yang lebih baik, jangan lupa untuk tap pada tempat yang ada cahaya terang (tidak terlalu terang) supaya cahaya diambil kamera seimbang pada titik yang terlebih cerah seperti lampu namun masih jelas pada yang kurang cerah. Contohnya seperti gambar di bawah.
Selepas tap pada titik yang sesuai, anda dapat lihat beza kecerahan yang sebelum ini terlebih dan sedikit overexposed kini lebih kecerahannya kurang. Ini teknik biasa digunakan dan bukan terhad pada Reno7 Z 5G sahaja.
Tidak dinafikan, mod malam seperti biasa menaikkan kecerahan dengan mengumpul lebih bahaya melalui masa yang lebih lama.
Potret
Ini mungkin yang dinanti-nanti anda, potret di peranti terbaharu di siri Reno.
Pertama kali menggunakannya, saya agak pelik kerana kesan warna pada bokeh terlalu dramatik, terlebih pekat lalu baru saya sedari rupa-rupanya secara lalai mod Bokeh Flare Potrait diaktifkan.
Bila saya matikan saja mod ini, barulah segalanya nampak normal.
Untuk kualiti bokehnya, bagi saya agak bagus. Banyak gambar potret kami uji dan nampaknya ia mengesan dan memotong rambut kerinting saya dengan sangat baik dalam pelbagai latar belakang. Pokok, dinding kosong, cermin namun rambut yang halus dan kepala saya dipotong cantik oleh kesan bokeh.
Namun, apa yang saya sedikit ralat, dalam beberapa keadaan, warna dihasilkan sedikit washed out atau pudar berbanding warna asal objek. Contohnya, warna baju biru gelap akan tampak sedikit kusam.
Swafoto
Satu lensa 16MP disertakan pada telefon. Namun daripada pengalaman saya, untuk mendapatkan gambar swafoto yang baik, agak leceh. Jika saya mengeluarkan telefon dan terus ambil swafoto, gambar dihasilkan kelihatan overexposed.
Dengan mengaktifkan HDR, ya ia memang membantu. Tapi saya terima saja jika anda berpendapat bahawa saya yang tidak pandai berswafoto. Kebenaranlah bukan untuk disangkal.
Jadi, tiap kali saya swafoto tanpa HDR, saya perlu tap dahulu di skrin untuk melaraskan cahaya supaya seimbang dan tidak overexposed. Seperti anda tahu, apabila kita ‘meminta’ kamera untuk fokus pada satu titik, maka jika titik tersebut terlalu cerah, gambar akan menjadi gelap (underexposed) pula.
Ini yang saya katakan leceh. Sepatutnya fungsi pengimbangan cahaya ini harus tetap membantu walaupun ciri spesifik HDR tidak dihidupkan.
Makro
Tak perlu ulas panjang-panjang, makro pada Reno7 Z 5G ni memang sekadar penyeri semata-mata. Saya menjangkakan prestasi makro pada model terbaharu ini lebih baik daripada sebelumnya namun meleset.
Dalam beberapa sampel diambil, saya keliru mahu memuji warna atau perinciannya kerana walaupun sememangnya gambar makro diambil telefon ini teruk, tapi beberapa daripada ‘macam’ boleh kita bertolak ansur lagi. Tapi itu yang saya keliru, warna atau perincian kerana foto-foto ini tidak konsisten.
Ada yang butirannya okey, ada juga warna baik tanpa perincian. Tapi, ringkasnya mod makronya memang mengecewakan. Mujurlah kamera utama dan potretnya memberikan kualiti baik dan ciri makro bukan ciri penting dalam penggunaan seharian.
Prestasi
Dah selesai bab kamera, prestasi penggunaan seharian macam mana pula? Berdasarkan penggunaan saya, tiada sebarang masalah dihadapi.
ColorOS yang dijalankannya lancar, tidak terlalu fancy, cukup-cukup untuk penggunaan biasa. Ciri-ciri tambahan seperti gestur dan lain-lain juga disediakan walaupun ia nampak sangat ringkas.
Kalau anda bukan gamer tegar dan sekadar menggunakan untuk bekerja, menatal media sosial, menonton YouTube dan lain-lain, peranti ini memang sangat sesuai. Dengan bateri 4,500mAh juga, cukup untuk bertahan sebelum pengecasan seterusnya.
Ditambah dengan 5G, memang beruntung mereka yang melanggannya di kawasan diliputi rangkaian tersebut.
Dengan cip Snapdragon 695, ia boleh saja memainkan permainan berat seperti PUBG, Genshin Impact namun kepuasannya agak kurang kerana tetapannya juga tidak boleh diletakkan pada maksimum.
Kesimpulan
Kamera utamanya memang tidak mengecewakan, bahkan untuk zum 5 kalinya juga memuaskan hati. Kekuatan Reno seperti model-model sebelum ini, tetap juga potretnya. Walaupun ada isu ketepatan warna, namun konsisten bagaimana ia mengesan objek dan memisahkannya daripada latar walaupun helaian rambut yang dilihat sukar diasingkan.
Untuk swafoto pula agak leceh kerana perlu sedikit “tetapan” jika mahukan foto terbaik. Namun, pada situasi dengan pencahayaan kurang dan malam, prestasinya biasa-biasanya. Mod makro pula langsung tidak sampai tahap “biasa-biasa”.
Jadi, jika anda bukan seorang gamer tegar, suka guna kamera waktu siang, tidak memerlukan makro, pengguna biasa, Reno7 Z 5G ini boleh anda perhatikan dari jauh.
Dengan tanda harga RM1,699, OPPO Reno7 Z 5G sudah boleh didapati melalui kedai rasmi OPPO dalam talian.
Klik SINI untuk dapatkannya di Shopee atau di SINI untuk ke kedai OPPO di Lazada.
Baca juga: