Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

(Ulasan) realme Note 50 – Telefon Bajet Yang Bukan Sekadar Ala Kadar

Posted on April 17, 2024Julai 4, 2024

Untuk pengetahuan anda yang baru sahaja kehilangan telefon atau memerlukan telefon untuk hal kecemasan dengan segera, saya ingin katakan bahawa anda berada di halaman artikel yang betul.

realme Malaysia baru sahaja melancarkan sebuah produk telefon pintar baharu iaitu realme Note 50 yang mana boleh saya kategorikan ia dalam kalangan telefon-telefon bajet jika dilihat pada harga yang ditetapkan untuknya.

Namun, adakah ia mampu untuk berfungsi sebagai sebuah telefon pada tahun 2024 ini?

Soalan ini sering berlegar-legar di fikiran saya semasa saya menulis artikel pelancarannya. Sudah semestinya ia disebabkan oleh harga yang murah dan penggunaan cip pemprosesan selain daripada MediaTek Dimensity dan Qualcomm Snapdragon.

Walau bagaimanapun, kemampuan telefon ini akan dirungkai dalam artikel ini bagi memberikan anda semua gambaran dan pandangan tentang produk terbaru dari realme ini berdasarkan pengalaman saya sebagai penggunanya.

Spesifikasi

[specs]

Cip: UNISOC T612, 1.82 GHz

Memori: 4GB RAM LPDDR4X

Storan: 64GB EMMC 5.1

Sistem Operasi: realme UI T Edition

Skrin: Vivid 6.74 inci, 90Hz, 720 x 1600, kecerahan puncak 560 nits

Kamera: 13MP utama, 5MP swafoto

Bateri: 5,000mAh, pengecasan USB-C 10W

Lain-lain: Dwi-slot kad SIM, Wi-Fi 5, Bluetooth 5.0, bicu audio, penarafan IP54, pengimbas cap jari dan pengimbas wajah.

[/specs]

{suggest}

Rekaan

Pertama sekali, saya mulakan ulasan ini dengan menyentuh sedikit tentang rekaan realme Note 50 ini yang mana saya perasan panel belakangnya menyerupai peranti Apple walaupun ia hanya mempunyai satu kamera sahaja untuk kamera belakang.

Perkara ini bukan sahaja saya dapati ia diterapkan kepada produk realme ini namun produk telefon lain juga seperti HONOR X8b turut mempunyai rekaan panel belakang yang kelihatan hampir sama.

Namun begitu, saya tetap berpuas hati kerana perasaan ketika memegangnya tanpa menggunakan selongsong getah yang diberikan terasa tidak terlalu licin dan selesa untuk digenggam.

Prestasi

Di sini saya ingin beritahu kepada anda semua bahawa saya memuji pihak realme kerana mampu menerapkan ciri pengimbas cap jari di butang kuasa serta pengimbas wajah untuk model Note 50 ini walaupun ia tersedia pada harga yang murah.

Namun, janganlah bandingkannya dengan peranti kelas pertengahan lain tetapi ia masih lagi baik. Saya telah mencubanya untuk nyahkunci skrin dan ia mencatatkan tempoh perlengahan masa 0.5 saat secara purata.

Dari sudut penggunaan harian yang asas pula, saya tidak merasakan sebarang sekatan ataupun delay berlaku secara konsisten apabila membuka dan keluar daripada pelbagai jenis aplikasi dengan pertukaran secara laju dan berlebihan.

Begitu juga untuk permainan mudah alih di mana saya menjadikan permainan Mobile Legends sebagai bahan uji untuk mencuba kemampuan cip pemprosesan telefon ini dalam menjalankannya.

Hasil daripada pemerhatian yang dibuat berdasarkan tetapan grafik ‘High’ dan sesi permainan selama 30 minit, realme Note 50 ini kurang mengalami kenaikan suhu yang mendadak malah suhu yang dapat saya rasakan adalah suam sahaja.

Gambar di atas merupakan keputusan ujian penanda aras daripada aplikasi Geekbench 6 untuk teras tunggal dan multiteras.

Tambahan pula, saya kagum dengan kebolehan telefon ini yang mana ia tidak memerlukan banyak tenaga bateri untuk sesi permainan selama 30 minit itu kerana saya mencatatkan penggunaan bateri yang tidak sampai 10 peratus.

Walau bagaimanapun, saya telah mencatat kadar peratusan untuk mengecas telefon ini dan dalam masa 30 minit, ia hanya mampu mengisi sebanyak 20 peratus sahaja. Jika kaedah pengiraan dilakukan secara kasar, telefon ini akan mengambil masa 2 jam 30 minit untuk dicas sepenuhnya dari kosong peratus.

Ia memang sangat perlahan memandangkan bateri sebesar 5,000mAh hanya menyokong pengecasan 10W sahaja.

Turut ingin saya tekankan bahawa pembesar suara telefon ini mampu untuk dinaikkan sehingga kadar 150 peratus tapi saya sarankan kepada anda supaya tidak kerap berbuat sedemikian.

Hal ini kerana output bunyi yang dikeluarkannya akan menjadi lebih nyaring dan mendalam serta perkara ini akan memberi kemudaratan sahaja untuk tempoh jangka masa panjang.

Kamera

Seperti yang saya sangka, setiap telefon yang berharga sebegini pasti akan ada kekurangannya dan bagi realme Note 50, kelemahannya terletak pada prestasi kamera.

Walaupun sesuatu kamera telefon pintar itu ada di antaranya yang disokong oleh teknologi kecerdasan buatan bagi menampilkan hasil gambar yang lebih menonjol dengan penerapan fokus serta warna yang lebih menarik berbanding suasana persekitaran yang sebenar.

Namun, realme Note 50 yang juga dilengkapi oleh teknologi ini turut menampilkan hasil gambar yang kelihatan menarik di mata kasar akan tetapi apabila diperhatikan dengan lebih teliti, kualiti fokus dan warna pada objek persekitaran itu terserlah kecacatannya.

Di bawah ini juga saya sediakan kepada anda beberapa hasil gambar daripada mod potret dan swafoto bagi menunjukkan dengan lebih jelas lagi kelemahannya kepada anda.

Anda boleh lihat kualiti kemasan pada potongan bokeh untuk setiap gambar kelihatan ‘lari’ sedikit.

Tambahan pula, sesuatu objek itu tertutup dengan kekaburan. Istilah lain yang boleh saya beri untuk hasil gambar potret ini adalah kualiti bokehnya seperti ‘ditampal’ dengan menggunakan Adobe Photoshop.

Namun, saya tidak boleh banyak mengeluh memandangkan inilah yang anda dapat bagi peranti harga sebegini. Lagi pun, ia bukan dipasarkan sebagai telefon untuk fotografi dan sebagainya.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, saya tidak akan mengatakan realme Note 50 ini tidak berbaloi untuk dibeli kerana selain daripada kamera, prestasi dalamannya adalah hampir setanding dengan produk telefon pintar bernilai sekitar RM500. Ia masih lagi sebuah peranti kelas permulaan yang baik pada tahun ini.

Tambahan pula, cip pemprosesan yang digunakan adalah jenis yang ‘underrated‘ jika mahu dibandingkan dengan dua pesaingnya yang lain namun mampu untuk berfungsi tanpa ralat yang konsisten.

Jika anda bertanya kepada saya, telefon ini akan saya jadikan sebagai telefon kedua ataupun telefon kecemasan untuk tugasan harian yang tidak terlalu berat.

Hal ini kerana harganya yang ditetapkan serendah RM349 mampu untuk anda berikan kepada anak-anak yang masih berada di peringkat persekolahan supaya mereka boleh mengikuti cara pembelajaran yang giat berkembang pada masa kini.

Beli produk realme di:

Shopee – https://invl.io/clkyef2

Lazada – https://invol.co/clkov74

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress