(Ulasan) OnePlus 6T - Berbaloi Ke Berbanding OnePlus 6?

Siri T oleh OnePlus mula membuat kemunculan dua tahun lalu melalui OnePlus 3T. Sejak dari itu, ia kini memiliki sudah memasuki model yang ketiga melalui OnePlus 6T.

Ramai yang tertanya-tanya adakah berbaloi untuk menaik taraf dari model OnePlus 6 kepada siri T ini. Untuk melihat apakah perbezaan yang dibawakan oleh pengeluar kepada OnePlus 6T, jom ikuti ulasan dibawah.



Rekaan

Dari segi rekaan, perbezaan pertama sekali yang jelas boleh dilihat adalah saiz takuk pada paparan skrin. OnePlus 6T mempunyai takuk seakan-akan titisan air, lebih kecil dari keluaran sebelumnya dimana earpiece diletak secara memanjang disisi atas skrin.



Lain-lain ciri fizikal yang terdapat pada luaran berada pada kedudukan yang sama seperti OnePlus 6 kecuali pada bahagian sensor cap jari dan bicu audio 3.5mm.



OnePlus 6T menggunakan sensor pengimbas cap jari didalam paparan dan memerlukan penyesuai audio 3.5mm untuk sambungan fon telinga berwayar. Tekstur pada panel belakang 6T diperbuat daripada Corning Gorilla Glass 6 dan tidak terasa licin.



Skrin paparan yang digunakan berukuran 6.41 inci (OnePlus 6 - 6.28 inci) dari jenis AMOLED mampu menghidangkan warna-warna cerah, hitam yang lebih gelap dan putih yang lebih terang.

Antaramuka

Keluar dari kotak anda akan menikmati antaramuka dari OxygenOS yang berasaskan Android Pie.

Anda boleh membuat navigasi dalam paparan melalui tiga pilihan dan mirip seperti butang navigasi dan sentuhan Pixel 3. Pengalaman penggunaan boleh dikatatakan sama seperti apa yang ditawarkan pada OnePlus 6.



Butang kuasa boleh ditambah fungsi untuk mengaktifkan Google Assistant. Pilihan kalibrasi paparan boleh dipilih sama ada anda mahukan paparan asal (default), sRGB, DCI-P3, Adaptive mode atau melaras tona warna paparan dari cool ke warm. Ikut kesesuaian mata anda.

Tema dalaman juga boleh diubah dalam aplikasi tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga.



Kelengkapan Dalaman dan Prestasi

OnePlus 6T membawakan kelengkapan serupa dengan model OnePlus 6. Ia dilengkapi dengan cip Snapdragon 845 dengan 8-teras (4x2.8 GHz Kryo 385 Gold & 4x1.7 GHz Kryo 385 Silver). Sementara itu dibahagian grafik pula dikuasakan dengan Adreno 630.



Untuk sistem memori, tawaran yang sama juga boleh dipilih iaitu RAM 6 atau 8GB dan manakala storan dalaman bermula dari 128GB hingga 256GB. Tiada slot untuk kad MikroSD yang ditawarkan.

Berlainan dari OnePlus 6, model 6T ini menampilkan sistem imbasan cap jari dalam paparan. Nyahkunci dapat dibuat dengan pantas. OnePlus pernah menyatakan teknologi yang digunakan sensor ini lebih maju dan boleh dipercayai berbanding sistem yang digunakan peranti dari jenama lain.

Modul cap jari optik pada OnePlus 6T menempatkan lensa kecil, berfungsi untuk mengesan dan mendaftar cap jari anda. Pendaftaran cap jari akan menghasilkan data berdasarkan apa yang dikesan sensor dan seterusnya disimpan pada "Trust Zone" didalam cip Snapdragon 845.



Berdasarkan penggunaan, sensor mampu mengenalpasti cap jari dengan pantas tetapi kadangkala bermasalah apabila jari mengecut (jari basah terlalu lama/waktu sejuk). Ia mungkin menganggap itu bukan corak cap jari yang didaftar. Kalau mahu dibandingkan, sensor cap jari belakang pada OnePlus 6 adalah lebih laju dan selesa untuk diakses.



Pengguna yang beralih dari OnePlus 6 kepada 6T mungkin mengambil sedikit masa untuk membiasakan nyahkunci cap jari dalam paparan ini. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem imbasan wajah dengan kelajuan nyahkunci lebih kurang sama (OnePlus 6 lambat sikit saja).

Kami merasakan tidak banyak perubahan ketara dari segi prestasi kerana spesifikasinya hampir menyamai dengan apa yang terdapat pada OnePlus 6. Pertukaran antara aplikasi juga berjalan dengan lancar.

Kamera

Diatas kertas, OnePlus 6T membawakan kelengkapan yang sama seperti model terdahulu iaitu dwi kamera utama 16MP (lensa utama, f/1.7, OIS, autofokus) digandingkan bersama 20MP (lensa kedua, f/1.7, autofokus).



Bahagian hadapan pula dilengkapi dengan sensor 16MP (f/2.0). Perbezaan dengan OnePlus 6 dilihat tidak begitu ketara tetapi ada unsur-unsur peningkatan dari segi ketajaman gambar dan warna.

Peranti ini mampu merakam video 4k pada kadar 60fps yang menggunakan OIS untuk rakaman yang lebih stabil. Untuk 30 fps pula ia merakam dengan sokongan EIS. Kami himpunkan contoh-contoh rakaman foto dibawah untuk anda nilaikan sendiri.





Kiri OnePlus 6T, Kanan OnePlus 6



Kiri OnePlus 6T, Kanan OnePlus 6



Kiri OnePlus 6T, Kanan OnePlus 6



Kiri OnePlus 6T, Kanan OnePlus 6



Kiri OnePlus 6T, Kanan OnePlus 6



Kiri OnePlus 6T, Kanan OnePlus 6



Bateri

Bateri yang dibekalkan pada OnePlus 6T berkapasiti 3700mAh, lebih besar berbanding OnePlus 6 yang hanya sebesar 3300mAh. Walaupun kapasitinya besar, OnePlus 6T mampu mengecas penuh lebih pantas daripada OnePlus 6 dengan mengambil masa sekitar 1 jam 28 minit.

Keseluruhan

Jadi apa perbezaan antara Oneplus 6T dengan OnePlus 6? Saiz dan berat, ukuran skrin paparan, hasil rakaman foto sedikit baik, pengimbas cap jari terbina dalam paparan, serta kapasiti bateri. Bagi anda yang sudah memiliki OnePlus 6 bolehlah menunggu model seterusnya dari syarikat itu yang mungkin mendatangkan peningkatan yang lebih banyak.



Tetapi bagi yang berminat menggunakan jenama OnePlus, bolehlah memiliki model 6T. Ketika ini OnePlus 6T dinilaikan di Lazada pada harga berikut mengikut variasi memori;

  • RAM 6GB / 128GB - RM2458

  • RAM 8GB / 128GB - RM 2738

  • RAM 8GB / 256GB - RM 2989