(Ulasan) Nothing Ear (Stick) - 'Lipstick' Mahal Untuk T20

Nothing Ear (Stick) merupakan keluaran TWS yang kedua oleh syarikat Nothing. Kualiti bunyi dan reka bentuk yang berlainan daripada Nothing Ear (1) membuatkan ia sangat unik.



 

Untuk rekaan kali ini, ia didatangi bersama 12.6mm Dynamic Driver serta ciri Bass Lock yang dikatakan akan menyesuaikan kualiti bass dengan keadaan sekeliling.

Rekaan & Ciri 

Nothing Ear (Stick) terletak cantik dalam bekas silindernya. Bekas untuk fon telinga ini diinspirasikan daripada produk kosmetik oleh kerana bentuknya seperti bekas gincu.

Bekasnya boleh dipusingkan sehingga 360 darjah tanpa sebarang halangan. Saiznya yang memanjang dan kecil ini sesuai untuk melancong kerana memerlukan ruang yang sedikit sahaja.

 



Untuk gadis-gadis, mereka mungkin akan berminat dengan reka bentuk fon telinga ini oleh kerana cirinya yang minimalis dan lebih kepada feminin. Namun untuk para jejaka pula agak kurang berminat kerana mereka rasa seolah-olah membawa alatan solek.

Tekstur untuk bekas ini adalah seakan-akan tekstur bola golf. Tekstur ini bagus kerana habuk tidak akan mudah melekat padanya. Namun, saya rasa kurang selesa untuk memegangnya pada tempoh yang lama kerana permukaannya yang terlalu kasar.

Rekaan untuk bentuk fon telinga adalah half in-ear di mana akan terletak selesa di telinga tanpa perlu dimasukkan dengan lebih dalam. Saya tidak menyarankan kepada telinga yang bersaiz kecil kerana mereka akan cepat berasa tidak selesa dan sakit.



Kawalan untuk fon telinga ini pula terletak di sisi pemegang. Kawalan seperti ini sesuai untuk pengguna yang bertudung kerana tiada sebarang kawalan diaktifkan secara tidak sengaja sewaktu memakainya.

Namun, kawalan ini agak sukar untuk digunakan kerana saya perlu memicitnya dengan lebih kuat supaya dapat mengaktifkannya.

Kualiti, Cara Sambungan & Jangka Hayat

Kualiti bass yang diberikan oleh Nothing Ear (Stick) seakan-akan sama kualitinya dengan fon telinga yang mempunyai rekaan in-ear.

Walau bagaimanapun, kelantangan bunyi yang tinggi kedengaran sedikit nyaring dan 'pecah'. Kelantangan bunyi yang sederhana dan rendah mempunyai kualiti bunyi yang sempurna untuk semua pencinta bass.

Penggunaan fon telinga ini sesuai untuk digunakan pada mana-mana aplikasi penstriman seperti Netflix. Kualiti bunyi sepanjang bermain permainan video juga terjaga tetapi lebih mudah kedengaran nyaring jika tahap kelantangan bunyi dipertingkatkan.

Tidak seperti Nothing Ear (1), fon telinga ini kekurangan satu ciri iaitu Active Noise Cancellation. Akan tetapi, Nothing menggantikan ciri itu dengan Clear Voice Technology di mana suara pengguna akan kedengaran lebih jelas.

Jika saya membuat sebarang panggilan atau merekod video, tiada sebarang gangguan bunyi kedengaran sewaktu itu. Suara juga kedengaran jelas tetapi agak kurang memuaskan kualitinya.

Nothing Ear (Stick) disambungkan dengan peranti Nothing dengan pantas dan mudah. Ini kerana ciri Fast Pair yang tersedia memudahkan pengguna untuk menyambungkannya.

Memandangkan saya menggunakan peranti Android yang lain, saya perlu menyambung fon telinga ini melalui aplikasinya iaitu Nothing X. Penggunaan aplikasi ini sangat mudah sepanjang menggunakan fon telinga berkenaan.



Nothing Ear (Stick) mampu bertahan sehingga 29 jam apabila berada di dalam bekasnya dan mampu untuk memainkan audio sehingga 7 jam lamanya.

Fon telinga ini tidak menyokong pengecasan tanpa wayar oleh kerana bentuk dan kedudukannya yang agak mustahil untuk dicas seperti Nothing Ear (1). Namun, Nothing Ear (Stick) menyokong pengecasan pantas.

Jadi, pengguna tidak memerlukan masa yang lama semasa pengecasan. Saya juga boleh menggunakan fon telinga ini sehingga 9 meter jauhnya daripada peranti yang disambung.

Kesimpulan

Ketiadaan ciri ANC pada Nothing Ear (Stick) membuat saya rasa teragak-agak untuk membelinya dengan harga yang disediakan.

Banyak kelebihan yang diberikan pada Nothing Ear (Stick) dan saya tidak dapat menafikannya. Namun sebagai seorang pengguna yang berhati-hati dalam pemilihannya, saya pasti akan mencari pilihan fon telinga yang lebih murah dan mempunyai ciri yang seakan-akan dengannya.

Nothing mempunyai potensi untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan mampu menyaingi produk Apple.

Saya berharap agar keluaran Nothing Ear yang seterusnya akan mengekalkan ciri-ciri dari segi audio dan jangka hayatnya yang lebih panjang.

Tetapi, saya juga berharap agar beberapa ciri dari Nothing Ear (1) dapat dikekalkan seperti ANC dan juga pengecasan tanpa wayar.

Secara ringkasnya, Nothing Ear (Stick) mempunyai kualiti dan ciri-ciri yang hampir sama sahaja dengan Airpod Gen 3 tetapi harga yang ditawarkan jauh lebih murah.

Bagi pembaca yang berminat dengan kualiti yang ditawarkan, Nothing Ear (Stick) dijual dengan harga rasmi RM469 sahaja dan boleh dibeli melalui pautan di bawah:

Beli di Shopee: https://shope.ee/8pBoKyeGum

{suggest}

Berkaitan