Sejak ASUS membawa masuk barisan komputer riba OLED ke pasaran Malaysia, saya pernah terfikir bahawa era komputer riba dengan panel sebegini bakal menjadi arus perdana dalam mana-mana komputer riba akan datang.
Benar, ASUS dilihat sudah meletakkan satu penanda aras bahawa komputer riba masa kini wajib didatangkan dengan panel OLED.
Macam yang berada dengan saya, ASUS Vivobook 15X OLED (M1503Q) telah diperkenalkan secara rasmi pada September lalu. Apabila ia berada di depan saya, perkara utama yang saya pentingkan semestinya prestasi paparan yang ditawarkan. Ya lah, panel OLED bukan. Satu lagi, bateri. Saya mempunyai sejarah yang kurang baik dengan model komputer riba ASUS OLED ini bila berkaitan jangka hayat penggunaannya.
Apa-apa pun, lupakan kisah lama, Vivobook 15X OLED ini ada perkara yang saya tertarik. Apa benda tu? Teruskan bersama saya.
Skrin OLED
Seperti sedia maklum, tumpuan utama dalam komputer riba ini semestinya paparan yang ditawarkan. Seperti namanya, Vivobook 15X hadir dengan skrin bersaiz 15.6 inci dimana resolusinya 2880×1620 atau 2.8k.
Menerusi nisbah 16:9, ia menyokong kecerahan maksimum sehingga 550 nits. Untuk kadar segar semula, saya memuji ASUS kerana mereka memberikan sehingga 120Hz. Daripada tetapan, ia menawarkan 60Hz atau 120Hz. Jadi, saya terus menggunakan 120Hz bagi mendapatkan paparan yang lebih lancar terutama ketika bermain permainan video.
Kebiasaannya, komputer riba pada tanda harga sebegini, ia hanya memberikan kadar segar semula paling tinggi pun 90Hz. Oleh itu, 120Hz boleh dikira bonus.
Apa paling menarik, prestasi skrin Vivobook 15X OLED ini memang memberangsangkan. Ia mempunyai ketepatan warna Delta-E kurang dari 2. Kalau anda tak tahu apa itu, ia sebenarnya memberikan warna yang dihasilkan lebih tepat serta cantik.
Lain daripada itu, ia turut mempunyai warna 100% DCI-P3, pengesahan Pantone, ‘lulus’ VESA DisplayHDR TrueBlack 500 dan tidak dilupakan TUV Rheinland untuk penghasilan cahaya biru yang kurang.
Sepanjang penggunaan saya, ia sudah cukup puas dengan apa yang diberikan ASUS pada Vivobook ini. Nak menonton siri Netflix, Disney+ atau sebarang kandungan memang tidak menjadi masalah.
Oleh yang demikian, bagi anda yang gemar menonton kandungan video atau drama melalui komputer riba, Vivobook 15X OLED boleh jadi peneman setia anda.
Namun, jika anda kurang berpuas hati dengan warnanya, anda boleh menukar tetapan warna menerusi aplikasi MyASUS. Ini kerana, dalam tetapan lalai (default), gamut warna diletakkan dalam vivid colour. Anda boleh menukarkannya mengikut kesesuaian serta keperluan berdasarkan penggunaan.
Prestasi
Model yang saya gunakan ini didatangkan dengan cip AMD Ryzen 5600H dan memori 8GB RAM. Walaupun ini model permulaan, bagi saya prestasi yang diberikan sudah cukup baik.
Baik kegunaan pelayar web, sebarang aplikasi penyuntingan yang ringan-ringan atau tidak terlalu berat, sudah cukup memadai.
Kalau anda seorang colorist atau gemar membuat colour grading seperti menggunakan Davinci Resolve atau Adobe Lightroom, memang puas sebabnya paparan komputer riba ini.
Gaming pula macam mana?
Saya pasti, pasti ada segelintir yang akan cuba-cuba untuk bermain permainan video dengan Vivobook ini. Namun, saya mencadangkan untuk bermain game yang tidak memerlukan grafik terlalu ekstrem atau graphic demanding.
Hal ini kerana saya mencuba permainan Apex Legends, ia sukar untuk memainkannya. Namun, game lain seperti Valorant, LoL atau Dota, boleh menjalankannya tetapi anda perlu bermain pada tetapan low atau medium dan jangan set pada resolusi 2.8k. Sebabnya komputer riba ini akan teraskiti sekiranya anda cuba-cuba menetapkan tetapan tinggi.
Perlu diingatkan, ia hanya menggunakan Radeon Graphics sahaja. Tapi bagi saya tidak menjadi masalah kerana komputer riba ini bukanlah memfokuskan gaming. Jadi saya yakin, hanya berapa peratus sahaja yang akan gaming menggunakannya.
Dari segi jangka hayat bateri, akhirnya saya berpuas hati. Ini kerana, ‘mimpi ngeri’ saya bersama laptop ASUS INI tidak menghantui saya.
Vivobook 15X OLED boleh memberikan 6-7 jam penggunaan mengikut kerja atau tugasan yang anda lakukan. Tempoh mengecasnya pun tidaklah terlalu lama. Tak perlu risau sekiranya nak membawa komputer riba ini ke kedai kopi membuat assignment misalnya.
Malah, bunyi bising atau pengeluaran haba yang melampau saya tidak mengalaminya, sepanjang penggunaan.
Bagi sistem pembesar suara pula, bagi saya ia tidak begitu wow sangat. Cukuplah dan puas juga. Kena dengan harganya.
Rekaan
Rupa bentuk komputer riba ini mirip dengan kebanyakan barisan ASUS Vivobook yang lain. Skrinnya hadir dengan bezel agak nipis dan boleh ‘dikepakkan’ sehingga 180 darjah (jangan lebih dari ini, jika tidak ia patah).
ASUS juga bermurah hati untuk meletakkan ciri privasi pada kamera webnya (webcam). Ini kerana, ada toggle yang boleh dileretkan untuk menutup kamera tersebut. Jadi, anda tak perlulah menampal pelekat dan ia akan kelihatan lebih kemas.
Papan kekuncinya juga selesa ketika digunakan walaupun binaannya tidak begitu solid memandangkan tubuh komputer riba ini diperbuat daripada plastik. Tambahan lagi, segala kekunci yang dimahukan ada di sini kerana ia jenis full size. Maknanya, ada kekunci numpad juga.
Nak buat kerja masa kurang cahaya? Papan kekunci ini disertakan sekali pencahayaan lampu sehingga 3 aras. Namun, bukanlah RGB ‘lip lap’ seperti mana komputer riba gaming.
Pad sentuh (touch pad) Vivobook 15X OLED juga terasa lancar apabila digunakan. Sekiranya tertinggal tetikus, tak perlu risau pun. Jangan terkejut akan kotak kecil padanya kerana di situ terletak pengimbas cap jari.
Bercakap tentangnya, saya berasakan pengimbas cap jari cukup pantas. Untuk log masuk setiap kali komputer riba terpadam kiranya laju. Bagi saya, ciri ini sudah wajib ada pada mana-mana komputer riba untuk tanda harga sebegini.
Port tidak begitu banyak dan tidak begitu sikit juga. Di sisi kiri, ia hadir dengan port USB 2.0. Sementara di sisi kanan, terdapat lubang kuasa, HDMI 1.4, 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A, USB 3.2 Gen 1 Type-C dan bicu audio 3.5mm.
Berbaloi atau tak?
Sebelum saya rumuskan sama ada berbaloi atau tidak memiliki komputer riba ini, berikut spesifikasi penuhnya:
- CPU – AMD Ryzen 5600H
- GPU – Radeon Graphics
- Memori – 8GB RAM DDR4
- Skrin – 15.6″, resolusi 2.8k, 120Hz, OLED, masa tindak balas 0.2ms, 550 nit kecerahan HDR maksimum, gamut warna 100% DCI-P3, Pantone Validated, VESA Display HDR500 True Black
- Storan – 512GB NVMe PCIe Gen 3.0 SSD
- Sambungan – Wi-Fi 6, Bluetooth 5.0
- Bateri – 70Wh, pengecasan 90W
Seperti mana awal yang saya katakan, terdapat dua perkara membuatkan Vivobook 15X OLED menarik perhatian saya. Pertama sekali skrin dan kedua prestasi.
Benar, prestasinya bukanlah ‘king’ tetapi dengan cip yang sedia ada sudah cukup memadai. Ada pilihan varian lain, iaitu Ryzen 7 5800H. Biarpun harganya sedikit tinggi berbanding yang saya gunakan tetapi ia masih di bawah paras RM4000 dimana hanya RM3699.
Model yang saya gunakan ini pula, ia berharga RM3299. Pada pendapat peribadi, Vivobook 15X OLED dikira berbaloi dan boleh saya katakan antara komputer riba dengan panel OLED paling bajet yang boleh dimiliki.
Dalam erti kata lain, spesifikasi premium dalam bajet yang mampu milik. Sesuai bagi anda untuk kegunaan harian atau pelajar universiti.
Namun, harganya sebenarnya boleh dibeli pada lebih rendah dari RM2959 hinggalah RM3029 menerusi kedai rasmi ASUS di Shopee (setakat artikel ini ditulis).
Secara konklusinya, Vivobook 15X OLED dicipta bagi anda yang mahukan komputer riba yang mempunyai skrin OLED yang cantik, prestasi baik pada harga yang agak marhaen.
Beli ASUS Vivobook 15X OLED di Shopee – https://shope.ee/4APZ0y9HGb
Beli ASUS Vivobook 15X OLED di Lazada – https://invol.co/clet0l4