(Ulasan) Lenovo IdeaPad V14 G2 ITL - 'Laptop' Paling Berbaloi Bawah RM1,500

Komputer riba baharu daripada Lenovo, IdeaPad V14 G2 ITL (82KAS03B00) ini adalah peranti bajet paling berbaloi untuk dimiliki oleh pembaca di luar sana.

Terutamanya, kepada pelajar universiti atau pembaca yang mencari komputer riba yang berprestasi, ada spesifikasi lengkap dan mampu milik dengan harganya.



Sebelum saya terus kepada ulasan peranti ini, berikut adalah spesifikasi yang dimiliki IdeaPad tersebut:

  • Cip Pemprosesan - Intel Core i3-1115G4

  • Memori - RAM DDR4 bersaiz 4GB (Boleh Ditingkatkan Hingga DDR4-3200 )

  • Storan - 128GB SSD M.2 2242 PCIe 3.0x4 NVMe (Boleh Ditingkatkan Hingga 512GB SSD)

  • Kad Grafik - Grafik Intel UHD Bersepadu

  • Paparan Skrin - Skrin 14" HD (1366x768) TN 250nits Anti-silau, 45% NTSC

  • Sistem Operasi - Windows 10 Pro Education

  • Waranti - 1 Tahun Lenovo Premier Care


Berdasarkan spesifikasi di atas, saya yakin pembaca juga bersependapat dengan saya yang peranti ini sangat berbaloi untuk segmen harga bawah RM1,500.

Jadi jom kita lihat kelebihan dan kekurangan Lenovo IdeaPad ini.

Kelebihan


(Spesifikasi yang diberikan sangat berbaloi dengan harga rasmisnya)

Untuk pengetahuan pembaca, Lenovo IdeaPad V14 G2 ITL pada awalnya mempunyai harga rasmi RM2,089. Tetapi Lenovo telah mengurangkan dan menjual peranti ini pada harga baharu yang lebih bajet dan berbaloi, RM1,399 sahaja.



Bayangkan anda dapat sebuah komputer riba bawah seribu setengah tetapi menawarkan spesifikasi yang berkemungkinan besar takkan dapat untuk segmen harga tersebut.

Walaupun ia dikuasakan cip Intel Core i3 tetapi ia datang dalam generasi ke 11 dan siri tersebut masih dikatakan baharu dan relevan lagi. Untuk pengetahuan pembaca, komputer riba dalam julat harga ini kebiasaannya guna cip pentium atau celeron sahaja.

Prestasi yang saya dapat untuk kegunaan harian dan profesional adalah lancar, cekap dan tiada sebarang masalah. Selain itu, pembaca juga akan dapat storan SSD yang lebih baik berbanding HDD bersaiz 128GB.



Mungkin ada dikalangan pembaca yang tidak bersetuju dengan saiz storannya yang minimum, akan tetapi storan jenis SSD untuk laptop bawah RM1,500 adalah susah untuk didapati. Tidak lupa juga, saiz 128GB sebenarnya masih relevan dan cukup untuk kegunaan profesional.

Malahan, sekarang ini kita sudah pelbagai pilihan platform storan awan untuk digunakan. Jadi, isu storan 128GB sebenarnya bukanlah satu masalah kepada kita.



Seterusnya, saya sangat tertarik dan minat akan rekaan dan binaan fizikal luaran komputer riba ini. Untuk pengetahuan anda, IdeaPad ini hadir dalam saiz yang kompak dan ringan dengan berat 1.6kg sahaja.

Di samping itu, terdapat keunikan pada peranti ini dimana ia mempunyai tekstur permukaan matte yang berbeza dan tidak licin. Pengalaman menaip juga terasa selesa dan lebih baik.



Setiap kekunci itu berada pada ketinggian yang cukup-cukup untuk memberikan pengalaman menaip yang berkualiti untuk sesebuah komputer riba.

Salah satu sebab utama peranti ini adalah yang terbaik dalam kelasnya adalah sistem operasi yang digunakan. Lenovo IdeaPad ini dipadankan Windows 10 dan versi Pro pula itu, dan kebiasaannya peranti dalam kelas ini akan guna ChromeOS sahaja.

Kekurangan


(Kualiti binaan, audio dan pengecasan yang sederhana)

Saya tidak nafikan komputer riba ini mempunyai kemasan yang cantik tetapi kualiti binaan tersebut tidak seperti yang saya harapkan terutamanya di bahagian papan kekunci.



Jika pengguna tekan di bahagian tersebut, saya boleh katakan ia akan mendap seolah-olah di dalamnya itu kosong . Itu adalah salah satu untuk kita menguji kualiti binaan sesebuah komputer riba.

Bagi kualiti audio pula, jangan pula pembaca harapkan ia seperti peranti mahal dengan pembesar suara yang premium. Hal ini demikian kerana kualiti audio bukan salah satu keutamaan pada peranti ini.

Bass audio yang diberikan agak lemah dan max volume nya sememangnya kuat tetapi tidak seperti apa yang saya harapkan. Secara amnya, saya berpendapat kualiti audio padanya adalah seperti suara radio pada tahun-tahun yang lepas.

Yang terakhir, peranti ini mempunyai kemampuan pengecasan yang agak lemah. Berdasarkan pemerhatian dan catatan saya, peranti ini mengambil masa lebih daripada 1 jam 30 minit untuk mengecas daripada 7% (3.51 pm) hingga 100% (5.35 pm).

Selain itu, prestasi baterinya juga boleh saya katakan sebagai biasa-biasa sahaja. Ia tidak mampu untuk memberikan pengalaman penggunaan untuk satu hari. Oleh itu, pengecasnya haruslah dibawa bersama.

{suggest}

Kesimpulan


(Tetap sebuah komputer riba paling berbaloi untuk segmen bawah RM1,500)

Sekarang pembaca sudah jelas akan kelebihan dan kekurangan yang ada pada Lenovo IdeaPad ini. Sejujurnya, saya tetap kagum akan kelebihan spesifikasi yang ditawarkan.

Bayangkan sahaja kita boleh mendapatkan sebuah komputer riba dengan prestasi yang baik dan tidak boleh disangkalkan tetapi pada harga RM1,399 yang sangat mesra poket.

Saya sangat menggalakkan pembaca yang ingin mencari sebuah komputer riba bajet, berbaloi dan berprestasi untuk mempertimbangkan komputer riba ini.

Pembaca yang berminat boleh membeli Lenovo IdeaPad V14 G2 ITL melalui pautan ini - https://shope.ee/7pJoOw25QI

Berkaitan