Awal Mac lepas, Apple melancarkan sebuah telefon pintar 5G paling bajet daripada mereka. Ia digelar iPhone SE. Meskipun Apple hanya menamakannya sebagai iPhone SE tetapi ada yang memanggil iPhone SE 2022 atau ada juga iPhone SE generasi ke-3.
Apa-apa pun, saya akan menggunakan penamaan iPhone SE 3 kerana lebih mudah untuk dirujuk. Walaupun peranti ini menerima kecaman dan pelbagai reaksi dari seluruh pelusuk dunia tetapi ia tidak menghalang daripada kami untuk melontarkan pendapat terhadapnya.
Bagaimanapun, ini lebih kepada pendapat awal terhadap iPhone SE 3 setelah hampir seminggu saya menggunakannya. Tidak banyak perkara nak diperkatakan tetapi masih ada ruang untuk diperbahaskan.
Spesifikasi
- Skrin – 4.7 inci, retina IPS LCD, HD, 625 nits
- Pemproses – Apple A15 Bionic
- Memori – 4GB RAM
- Storan – 64GB, 128GB, 256GB
- Bateri – 2018mAh, pengecasan 18W
- Kamera Belakang – 12MP utama
- Kamera Swafoto – 7MP utama
Paling Bajet Tapi Kotak Ikut ‘Flagship’
Sebenarnya, saya tidak terkejut pun dengan pembungkusan iPhone SE 3 ini kerana Apple memang sudah pasti akan menggunakan strategi sama buat barisan iPhone mereka. Tidak kira ia paling bajet mahupun paling mahal, apabila anda membeli mana-mana peranti iPhone terkini, ia hanya disertakan sebuah iPhone, satu kabel USB-C ke lightning, dokumen dengan pelekat logo Apple dan pin untuk SIM.
Sayang sekali, peranti yang diletakkan pada tanda harga sebegini hanya menawarkan itu sahaja. Namun, Samsung pun sudah mula melakukan perkara yang sama pada barisan siri Galaxy A terbaharu.
“Baju” Sama, Dalaman Berbeza Lebih Berbisa
iPhone SE 3 ini menampilkan rekaan yang sama dengan iPhone SE 2 (2020) dahulu. Bermakna, jika anda seorang pengguna iPhone 7 atau iPhone 8 misalnya, begitulah saiz dan rupanya bagi iPhone SE 3.
Baik dari segi kedudukan kamera, pengimbas cap jari dengan haptic touch, sistem pembesar suara stereo, panel belakang kaca dan tubuh sisi aluminium dan penarafan IP67.
Masih lagi menawarkan tiga pilihan warna, bezanya warna putih diganti dengan starlight, warna hitam diganti dengan midnight dan merah kekal dengan PRODUCT Red.
Seperti yang berada di tangan saya ini adalah warna midnight. Sekilas pandang, ia umpama warna hitam. Namun, apabila saya cuba tenung lama-lama, ia sesuai dengan namanya. Tengah malam, iaitu persis langit pada tengah malam. Ia hitam kebiru-biruan. Mudah kata, ia mirip warna biru iPhone 13 tetapi jauh lebih gelap.
Sewaktu awal penggunaan, saya berasa sedikit kekok. Pertama, saya jarang menggunakan peranti yang bersaiz begitu kompak. Saiznya lebih kurang dengan iPhone 12 mini mahupun 13 mini. Cumanya, keluasan skrin amatlah kecil kerana terdapat bezel yang besar pada bahagian atas dan bawahnya.
Kedua, agak lama juga saya tinggalkan telefon pintar yang hadir dengan home button. Saya lebih gemar menggunakan gestur kerana tahap produktiviti jauh lebih baik berbanding menggunakan home button.
Pun begitu, saya masih perlu memuji tahap kepantasan pengimbas cap jari (Touch ID) dalam iPhone SE 3 ini. Terasa terubat rindu juga dengan Touch ID biarpun saya sudah selesa dengan imbasan wajah (Face ID).
Untuk skrin, ia masih lagi sama dengan iPhone SE 2020. Paparan seluas 4.7 inci, berpanelkan Retina IPS LCD dengan resolusi HD sahaja dan kecerahan 625 nits.
Walaupun paparan IPS-nya masih lagi cantik di mana warna yang jitu, hitam yang cukup gelap tetapi kekurangan yang dirasai adalah resolusinya. Mungkin ia tidak terasa sangat ‘pecahnya’ kerana saiz skrin kecil. Bolehlah ia menutup ruang kekurangan tersebut.
Kita beralih pula kepada tumpuan utama dalam iPhone SE 3 ini, iaitu cip Apple A15 Bionic. Ya, inilah permainan yang digemari Apple. Menawarkan sebuah cip andalan pada tanda harga lebih mampu milik. Bermakna, dari segi prestasi memang seperti dijangkakan. Ibarat sebuah kereta kancil yang disumbatkan enjin V6.
Prestasi padu, bateri syahdu?
Berdasarkan penggunaan awal saya, baterinya masih lagi mampu bertahan sehingga satu hari. Maknanya, saya boleh menggunakannya dari subuh hinggalah ke waktu berbuka tanpa mengecas. Pun begitu, ini adalah penggunaan biasa seperti membuka aplikasi media sosial, semak emel dan lain-lain. Mudah kata, bukan ‘hardcore’.
Namun, apa yang saya boleh katakan, baterinya boleh lagi bertahan meskipun kapasiti bateri terlalulah kecil untuk tahun 2022. Itu sahaja yang saya boleh luahkan buat masa sekarang memandang tidak banyak sangat perkara yang boleh diperkatakan.
Sebelum mengakhiri coretan awal, iPhone SE 3 dengan storan 64GB ini dijual pada tanda harga sedikit tinggi berbanding iPhone SE 2020 di mana iPhone SE 3 bermula RM2099. Sementara iPhone SE 2 berharga mulai RM1999.
Walau apa pun, nantikan ulasan penuh saya terutama dari segi kamera, berapa lama jangka hayat sebenar baterinya, prestasi lain serta untuk siapakah telefon “SE” ini dicipta.
Baca juga: