HUAWEI nova 9 SE merupakan peranti yang menggunakan spesifikasi lebih rendah daripada siri HUAWEI nova 9 yang dilancarkan pada September tahun lepas. Sebagai sebuah peranti kelas pertengahan, apa yang menarik dan apa yang kurang mengenai peranti ini? Mari kita mulakan ulasan penuh berkenaan HUAWEI nova 9 SE ini.
Reaksi Awal dan Pengalaman Buka Kotak
Jadi mari kita lihat apa yang dibekalkan dalam kotak. Semestinya kita akan mendapat unit HUAWEI nova 9 SE dan seperti biasa, kita akan mendapat sekali sarung pelindung getah lut sinar, pin slot SIM, wayar USB-A ke USB-C dan palam pengecasan 66W SuperCharge HUAWEI.
Kali pertama saya melihat peranti ini, saya tertarik dengan warna yang digunakan pada peranti ini. Warna unit yang saya terima ini adalah Crystal Blue.
Dah alang-alang bercerita tentang warna mari kita lihat rekaan pada peranti ini. Pada bahagian hadapan, skrin yang digunakan bersaiz 6.78 inci jenis LCD FHD+, kadar segar semula 90Hz dan kadar input sentuh 270Hz. Lubang kamera swafoto 16MP pada bahagian tengah atas dengan saiz yang agak besar.
Bahagian bawah skrin juga terdapat dagu yang sedikit luas daripada bahagian lain pada skrin peranti ini. Bezel pada kiri, atas dan kanan pula nipis sahaja. Saya boleh puji HUAWEI kerana mampu memberikan bezel nipis sebegini.
Pada bahagian kanan, terletaknya butang laras audio dan pengimbas cap jari merangkum butang kuasa. Bahagian bawah, terdapatnya pembesar suara, lubang pengecasan dan lubang mikrofon manakala pada bahagian kiri dibiarkan kosong
Pada bahagian atas pula terletaknya satu lagi lubang mikrofon, pembesar suara dan dulang SIM yang menyokong dwi-kad SIM tanpa sokongan mikroSD untuk storan tambahan. Malangnya tiada bicu audio 3.5mm disertakan.
Satu lagi, pembesar suara pada bahagian atas ini bukannya untuk sokongan stereo tetapi hanya untuk audio ketika terima panggilan sahaja.
Akhir sekali pada bahagian belakang, seperti saya kata awal tadi, saya suka warna warna Crystal Blue pada peranti ini. Bahannya adalah plastik tetapi nampak seperti kaca dan terdapat logo nova pada bahagian bawah.
Rekaan kamera yang digunakan hampir sama dengan siri HUAWEI nova 9. Jika kita lihat nova 9, susunannya adalah 1 lensa utama ada bahagian atas dan 3 lagi pada bahagian bawah.
Tetapi rekaan untuk nova 9 SE ini kita diperlihatkan dengan 2 lensa yang besar dan 2 lagi lensa kecil terletak antara 2 lensa ini.
Lensa kamera yang digunakan pada peranti ini ialah 108MP f/1.9 utama resolusi tinggi, 8MP f/2.2 ultra lebar, 2MP f/2.4 depth dan 2MP f2.4 makro.
Betulkah Kamera Berkuasa Seperti Yang Dikata?
HUAWEI memperkenalkan nova 9 SE ini dengan memfokuskan pada kamera peranti ini. Jadi mari kita lihat hasil gambar yang diambil dari lensa 108MP peranti ini.
Ketika siang dengan suasana yang cerah, peranti ini boleh mengambil gambar dengan baik. Warna juga terang, pekat dan natural. Gambar juga agak tajam tetapi apabila dizum, kita akan dapati bahawa terdapat hingar (noise) pada gambar ini. Ia membuatkan gambar tersebut hilang perincian (detail) untuk menghasilkan gambar yang tajam.
Lensa utama ini juga boleh zum sehingga 10x. Namun saya hanya menyarankan anda menggunakan sehingga 2x zum sahaja. Kerana jika lebih daripada itu, hasil gambar akan hilang detail dan pecah.
Untuk lensa ultra lebar pula, hasilnya agak menarik. Cumanya warna gambar menjadi sedikit pudar jika dibandingkan dengan gambar kamera utama.
Dengan pengambilan sudut lebar, gambar tidak menunjukkan kesan distortion walaupun ketika saya melihat di kamera terdapat distortion pada bahagian kiri dan kanan. Satu lagi pujian yang saya boleh berikan pada AI kamera nova 9 SE.
Seterusnya adalah hasil kamera potrait. Disebabkan ia mempunyai lensa depth, bokeh juga lebih tepat dan kemas walaupun pada rambut dan bulu. Pada mod potrait ini juga, HUAWEI menyertakan satu fungsi yang membolehkan anda memilih gambar tersebut untuk ada bokeh ataupun tidak.
Ketika mengambil gambar makro pula, saya perlu terlebih dahulu untuk menukarkan kepada mod makro. Jika anda daripada mod biasa, ia tidak akan menukarkan mod secara automatik seperti yang terdapat pada peranti andalan yang lain.
Hasil gambarnya juga agak menarik. Kerana ia mempunyai lensa khusus untuk makro, ia dapat menumpukan pada detail gambar yang ditangkap. Cumanya, anda perlu betul-betul dekatkan kamera peranti anda dengan objek pada jarak yang sesuai. Terjauh atau terdekat sedikit, ia akan menyebabkan gambar menjadi kabur.
Gambar mod malam juga antara perkara yang difokuskan pada nova 9 SE ini. Pada mulanya saya agak kecewa bila mengunakan mod malam ini kerana hasilnya seperti tiada beza dengan kamera utama.
Dah la perlu tunggu 5 saat setiap kali ambil gambar tu. Tetapi bila sekali lagi saya cuba pada tempat yang betul-betul gelap, nah hasilnya. Terkejut juga. Untuk perbandingan saya letakkan gambar di bawah ini.
Yang terkahir dalam bab kamera adalah swafoto. Hasil gambar bagi saya cukup kemas. Cumanya pada bahagian wajah tu nampak seperti ada effect beauty. Kesan ini tidak berapa jelas pada suasana terang tetapi bila dalam pencahayaan rendah tu boleh nampak kesan tu dengan jelas.
Lagi satu, bila keadaan terlalu terang pula, background akan overexposed dan untuk memberikan fokus pada wajah.
Prestasi Snapdragon 680 pada nova 9 SE
Agak ketinggalan sebenarnya untuk sebuah peranti pertengahan sekarang menggunakan cipset Snapdragon 680. Apa-apa pun, nova 9 SE ini digabungkan pula 8GB ram, 128GB storan dan EMUI 12.
Tiada apa sangat yang saya boleh huraikan kerana kebiasaannya yang menjadi aras ukur prestasi cipset ini adalah dengan saya main 2 game iaitu Mobile Legends dan Genshin Impact sahaja.
Sebab saya memilih 2 game ini kerana saya tahu yang kedua-dua game ini agak popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Untuk main Mobile Legends tu saya agak puas hati juga dengan prestasinya walaupun kadang-kadang terasa juga tersangkut tu tapi tak teruk sangat. Cipset Snapdragon 680 ini bukanlah cipset baharu, jadi prestasinya itu sesuai dengan harganya.
Tetapi pelik juga, apabila saya cuba muat turun Genshin Impact dari AppGallery, saya tidak jumpa game tersebut. Tak tahu la kenapa tak jumpa. Saya cuba juga side load game tersebut dari APK Pure tapi malangnya APK Pure tidak mengemas kini pada versi terbaharu. Tak dapatlah nak kongsi prestasi nova 9 SE ini kalau main Genshin Impact.
Ohh ya, setakat main game Mobile Legends kat telefon ni, saya tidak alami isu kepanasan pun.
Sudah cukup pada prestasi gaming kita beralih pada prestasi guna pula. Setakat menggunakan peranti ini, pengalaman guna tu memang lancar sahaja. Mungkin kerana antara muka EMUI yang membantu melancarkan peranti ini.
Tetapi tidak boleh diabaikan iklan yang ada ketika buka aplikasi seperti AppGallery. Dah la perlu tunggu 5 saat baru boleh tutup, dah sama macam tunggu nak ambil gambar guna night mode.
Bercakap tentang iklan, saya rasa kalau anda tengok halaman utama peranti ini pun saya jamin anda juga akan rasa serabut. Dia punya bloatware punya la banyak. Siap ada letak dalam folder lagi.
Itulah kelemahan yang saya boleh nyatakan tentang EMUI. Dalam mencari kelemahan, saya ada juga jumpa kelebihannya iaitu bateri. Bateri nova 9 SE ni memang tahan. Sehari guna, esoknya baru cas.
Itu kalau guna, pernah saya tak gunakan peranti ini selama 5 ke 6 hari, bateri baru tolak dalam 20%. Ada juga satu lagi telefon tu, Xiaomi Mi 11 Ultra saya simpan sekali dengan nova 9 SE ni, tak tengok bateri tinggal 5% je. Padahal dua-dua dah cas penuh sebelum simpan tu. Memang mantap.
Skrin, Speaker Biasa-Biasa Je
Sebagai sebuah peranti mid range pada masa kini, kebiasaannya peranti tersebut akan dipasangkan dengan skrin jenis OLED dan pembesar suara jenis stereo. Nak cakap semua tu tidaklah. Macam realme 9 Pro yang baru sahaja dilancarkan bulan ini juga menggunakan skrin jenis LCD namun ia mempunyai pembesar suara jenis stereo. Bukan macam nova 9 SE yang tiada kedua-dua ciri ini.
Nak guna untuk tengok video tu memang rasa tak berapa nak puas. Mungkin sebab saya sudah biasa menggunakan peranti yang menyokong pembesar suara stereo. Tambahan pula, hitam pada skrin LCD ni pun nampak lebih kepada kelabu berbanding warna hitam. Memang nampak lebih-lebih lagi ketika video memainkan babak yang gelap.
Kalau macam nak layan video pun tak berapa praktikal sebenarnya. Ye lah, sebab peranti ini tiada GMS, aplikasi YouTube memang tidak disokong pada peranti ini. Ada pun perlu buka gunakan aplikasi web. Jadi, fungsi seperti minimize tu tidak boleh digunakan.
Beralih pada pembesar suara, saya sebenarnya puas hati juga dengan pembesar suara mono peranti ini. Sebabnya, bunyi dari speaker ini tidak pecah walaupun buka dengan kelantangan yang kuat. Cumanya kalau dengan kelantangan penuh tu ada la bingit sedikit.
Kesimpulan
Setelah menggunakan peranti ini, saya boleh kata yang peranti ini biasa-biasa sahaja untuk saya. Kelebihan peranti ini adalah pada kameranya dan prestasinya yang lancar disebabkan EMUI. Selain itu, pembesar suara mononya juga agak mantap.
Untuk kelemahannya pula, tidak semua aplikasi terdapat dalam AppGallery, ada iklan, dan banyak bloatware. Apa-apa pun, saya suka dengan warna yang terdapat pada peranti ini.
Mungkin pada masa akan datang, HUAWEI boleh terus menghasilkan peranti yang dapat menarik perhatian seperti ini di samping dapat meningkatkan prestasi pada peranti barisan mid range mereka.
Baca juga: