(Ulasan) Infinix NOTE 12 2023 - Antara Pilihan Terbaik Bawah RM1000

Infinix Note 12 2023 adalah sebuah peranti gaming bajet yang baharu untuk segmen harga bawah RM1,000. Walau bagaimanapun, pembaca jangan keliru peranti tersebut dengan Infinix Note 12.



Hal ini demikian kerana kedua-dua peranti itu menggunakan cip yang berbeza di mana Infinix Note 12 dikuasakan cip MediaTek Helio G96. Dan spesifikasi Infinix Note 12 2023 pula adalah seperti di bawah:

Cip Pemprosesan – MediaTek Helio G99 (6nm) 

Skrin – Paparan AMOLED, 6.7 Inci (~86.2% nisbah skrin-ke-badan) 

Memori & Storan – RAM 8GB, Storan 128GB / 256GB

Bateri – 5,000mAh, Pengecasan Pantas 33W 

Kamera – 50MP (utama), 2MP (kedalaman), 16MP (swafoto) 

Sistem Operasi – XOS 10.6 Berasaskan Android 12 

Harga – RM799 - RM899

Setelah menggunakan Infinix Note 12 2023 ini sebagai peranti harian dalam urusan profesional, peribadi dan bermain games, terdapat beberapa perkara yang saya ingin kongsikan kepada pembaca.



Oleh itu, jom saya kongsikan kelebihan dan kekurangan peranti ini jika pembaca ingin membelinya.

Kelebihan


(Antara peranti terbaik di bawah harga RM1,000)

Pertama sekali, tanda harga jualannya yang berada di bawah RM1,000 sangat mesra poket kepada majoriti pengguna telefon pintar di Malaysia.

Mana tidaknya, Infinix menawarkan skrin jenis AMOLED, bateri 5000mAh, memori RAM sebesar 8GB dan paling utamanya, sokongan slot mikroSD untuk storan tambahan kepada pengguna.

Sejujurnya pada pendapat saya, tidak banyak peranti bawah RM1,000 di pasaran yang menawarkan spesifikasi seperti Note 12 2023 ini.

Seterusnya, cip MediaTek Helio G99 sememangnya berprestasi mampu memberikan pengalaman penggunaan yang lancar, cekap dan pantas.

Pengguna tidak akan hadapi sebarang masalah dalam penggunaan harian seperti penggunaan media sosial, menonton video, panggilan video dan lain-lain.

Jadi, peranti ini adalah antara pilihan sesuai bagi pembaca yang ingin hadiahkan telefon pintar kepada anak-anak.

Note 12 2023 adalah sebuah peranti gaming dan merupakan kolaborasi bersama Mobile Legend Bang Bang. Oleh itu, ulasan ini tidak lengkap tanpa pengujian kemampuannya dalam mengendalikan games.



Dalam MLBB, pengguna akan dapat prestasi yang lancar dan cekap. Tiada sebarang masalah seperti pengurangan fps, panas melampau mahupun isu lagging. Ini tidak mengejutkan kerana permainan e-sukan sememangnya sudah dioptimumkan buat peranti mudah alih.

Begitu juga untuk Apex Legends dan Genshin Impact di mana kedua-duanya adalah permainan video dengan keperluan grafik yang cukup tinggi.



Bagi mendapatkan pengalaman permainan yang lancar, pembaca perlu bermain melalui tetapan grafik lalai yang sudah ada dalam games tersebut.

Saya tidak nafikan pembaca boleh untuk 'memerahkan' peranti ini dengan tetapan tertinggi. Tetapi 'harga' yang perlu dibayar cukup tinggi seperti suhu peranti meningkat dengan mendadak, penggunaan kuasa yang lebih rakus dan pelbagai lagi.

Walau bagaimanapun, pembaca tetap boleh memainkan games tersebut dengan lancar melalui peranti ini tetapi jangan terlalu kerap atau pun lama bermain dalam tetapan grafik paling tinggi.



Sedikit penambahan, ini adalah penambahan daripada pendapat saya sendiri, ikon dan susunan butang notifikasi peranti Infinix ini sangat kemas, ringkas dan menarik.

Menariknya lagi, peranti ini masih lagi menyediakan dan menyokong port sambungan bicu audio 3.5mm. Oleh itu, pengguna akan lebih fleksibel sama ada menggunakan peranti audio dengan port sambungan USB-C atau bicu audio 3.5mm.

Bagi sebuah peranti dengan bateri 5000mAh, saya dapat purata masa penggunaan dalam bermain permainan mudah alih lebih kurang 4 jam begitu. Tempoh itu cukup baik dan sesuai dengan saiz bateri yang diberikan.

Kekurangannya


(Setiap kelebihan ada kekurangannya tetapi tidaklah terlalu banyak)

Bagi pembaca yang ingin memanfaatkan kemudahan ketersambungan 5G, peranti ini bukanlah yang sesuai mahupun yang terbaik untuk anda.

Peranti ini hanya menyokong ketersambungan setakat 4G LTE sahaja. Sejujurnya, saya okey akan perkara ini tetapi dengan sedikit kekecewaan sahaja.

Hal ini demikian kerana tidak banyak cip pemprosesan kelas pertengahan dan permulaan yang menyokong 5G untuk segmen bawah RM1,000 setakat ini.

Selain itu, kapasiti 33W pengecasan pantasnya mungkin tidak sesuai bagi bateri sebesar 5000mAh. Kapasiti itu tidak dinafikan berkemampuan dan ia juga akan ambil masa juga apabila mengecas peranti dengan saiz bateri sebesar itu.



Berdasarkan gambar di atas, peranti ini mengambil masa sekitar 1 jam untuk mengecas daripada paras 20% hingga penuh. Untuk zaman yang serba maju dan moden ini, tempoh tersebut boleh dikatakan lama juga untuk si pengguna luangkan tanpa peranti disisi.

Walau bagaimanapun, kekurangan-kekurangan tersebut tetap tidak dapat menutupkan spesifikasi dan harganya yang berbaloi untuk kelas bawah seribu.

Kesimpulannya


(Tiada peranti yang menawarkan spesifikasi yang sama dengannya)

Infinix Note 12 2023 merupakan sebuah peranti yang berada dalam segmen harga mahupun kelas yang penuh dengan pesaing-pesaingnya.

Banyak peranti daripada Redmi, HONOR, Huawei, vivo, realme yang berada dalam segmen harga yang sama tetapi sukar menyaingi perani Infinix ini.

{suggest}

Majoriti mereka memberikan saiz storan tidak lebih daripada 128GB dan ada juga setakat 64GB sahaja.

Manakala, Infinix Note 12 2023 dalam model 8GB RAM dan 256GB storan dijual pada tanda harga RM899 yang sangat kompetitif.



Oleh sebab itu saya utarakan sedikit kekecewaan akan sokongan ketersambungannya hanya setakat 4G LTE sahaja.

Seandainya peranti ini sokong 5G, saya berani mengisytiharkan peranti ini adalah yang terbaik, bukan antara terbaik tetapi adalah yang terbaik bagi kelas bawah RM1,000.

Beli Infinix Note 12 2023 di Shopee - https://shope.ee/8pBlInJ1xw