Ulasan Huawei P20 Pro - Raja Kamera Bermata Tiga

Assalamualaikum warga internet,

Kamera menjadi satu aspek wajib dalam setiap pemilihan sesebuah telefon pintar. Saban tahun kita dapat lihat pengeluar semakin banyak membawakan penambahbaikkan terhadap kamera malah untuk peranti kelas pertengahan sekalipun.

Tahun ini Huawei memberikan kejutan dengan mengetengahkan peranti dengan bukan dua, tetapi tiga kamera utama. Kami berkesempatan untuk menggunakan Huawei P20 Pro selama 2 bulan dan ini adalah pendapat kami tentang peranti bermata tiga ini.

Rekaan Luaran.




Terus-terang saya boleh katakan Huawei P20 Pro merupakan peranti yang paling seksi ketika ianya diperkenalkan ke pasaran. Dengan pilihan versi Twilight bersama tona warna yang boleh berubah-ubah mengikut sudut pandangan yang berbeza menjadikannya sebuah peranti yang boleh buat anda ternganga sehingga meleleh air liur.



Namun, semenjak kehadiran beberapa lagi peranti seperti Honor 10, Huawei Nova 3 dan Nova 3i, rekaan panel kaca berkilau dengan dwi tona sudah kelihatan biasa pada mata saya, sudah tidak lagi se-istimewa seperti mula-mula ia diperkenalkan.







Ianya dibina dengan sentuhan bingkai kaca, mengingatkan saya sedikit pengalaman memegang iPhone X. Sangat sedap apabila dipegang. Rasa mahal. Dibawah peranti dilengkapi dengan pembesar suara stereo dan port pengecasan Type-C manakala butang kuasa dan suara diletakkan dibahagian kanan peranti sementara slot kad sim dan SD dibelah kiri.



Huawei P20 Pro memiliki paparan skrin OLED HD penuh 1080p bersaiz 6.1 inci. Paparan skrinnya adalah sangat memuaskan dengan kepekatan warna yang tinggi. Cuma ianya sedikit malap ketika dibawah matahari terik, jadi anda perlu menetapkan skrin pada kecerahan penuh. Biasalah, skrin OLED.

Sensor cap jari masih lagi dikekalkan dibahagian dagu peranti. Saya sendiri agak kekok kerana sudah terbiasa menggunakan sensor cap jari dibelakang peranti dengan menggunakan jari telunjuk berbanding menggunakan ibu jari untuk nyah kunci peranti.

Spesifikasi Dalaman


Sebagai peranti yang menerajui bala tentera Huawei tahun ini, P20 Pro masih lagi mengekalkan cip pemprosesan Kirin 970, cip dengan keupayaan AI siap terbina yang mula digunapakai pada peranti Huawei Mate 10 tahun lepas.



Pengalaman bermain PUBG Mobile, sebuah permainan mobile paling hebat di dunia, sekadar memuaskan. Memuaskan maksud saya, peranti ini mampu memainkan PUBG Mobile pada grafik HD dan Frame Rate (High) dengan lancar dengan bantuan RAM 6GB. Akan tetapi sekali sekala frame rate tersengguk juga dua tiga kali.

Ada juga laporan daripada kawan yang menyatakan dia dipaksa untuk merendahkan (dapat warning ketika bermaian) frame rate untuk meneruskan permainan, berbeza antara dia dan saya, dia sewaktu dalam tandas pun bermain PUBG. Gila punya orang.

Saya berharap dengan kemaskini GPU Turbo akan datang (dalam masa terdekat) sedikit sebanyak dapat memperbaiki prestasi gaming peranti ini.

Antaramuka


Ianya dijalankan dengan sistem operasi Android 8.1 bersama mekap setebal Rozita Che Wan. Antaramuka EMUI 8.1 seperti biasa penuh dengan ciri-ciri gerak isyarat dan sebagainya. Ada orang suka, ada yang tak suka.



Jika anda yang jenis tidak sukakan takuk di dahi peranti, anda boleh sahaja menetapkan 'off notch'. Skrin di takuk akan ditutup lalu menghasilkan bingkai hitam di bahagian dahi peranti.





Kemudian anda juga boleh mengembalikan talam aplikasi dengan mengaktifkannya di Setting>Display>Homescreen Style dan pilih App Drawer. Selain itu, anda boleh menetapkan sendiri bagaimana butang navigasi dan isyarat yang anda mahukan. Macam saya sendiri, saya lebih sukakan pengalaman android asli. Saya lebih sukakan peranti tersebut yang menentukan bagaimana seharusnya saya beroperasi. Saya simple orangnya.

Fungsi pengimbas cap jari dan pengimbasan wajahnya sangat pantas. Tiada komplen, hanya pujian. Malah, pada saya mungkin lebih pantas daripada OnePlus 6, mungkin.

Keupayaan Kamera


Pada awalnya, saya pun tertanya-tanya, kenapa perlu sampai tiga kamera? Dua tak cukup ke? Kenapa tak tambahbaik dua kamera sedia ada? Adakah ini gimik semata-mata untuk tujuan komersial? Banyak lagi persoalan saya, tetapi apabila saya mencuba sendiri kamera P20 Pro, saya terus melupakan segala persoalan yang bermain di minda. Sekali lagi saya simple orangnya.



Langkah yang diambil oleh Huawei ini merupakan satu lonjakan yang besar dalam teknologi pembuatan telefon pintar dalam membawakan kamera yang mampu untuk menyayingi kamera DSLR. Itu dakwaan mereka, tetapi bagi saya DSLR jauh lagi, malah dakwaan sedemikan agak lucu. Sensor sekecil kamera telefon pintar mana mungkin dapat kalahkan DSLR. Mungkin, tapi bukan dalam masa 3-4 tahun lagi.


Selain daripada memiliki tiga pasang kamera, Huawei juga dilihat meneruskan kolaborasi dengan Leica untuk siri P mereka dalam memberi pengalaman fotografi yang terbaik untuk pengguna. Lensa yang diketengahkan juga diberi penambahbaikkan dengan sensor Vario-Summilux-H menggantikan sensor Summilux yang digunapakai di model P10 Plus. Tetapan tiga kamera ini diwakili oleh lensa RGB, Monokrom dan Telefoto.


Anda juga perlu tahu kamera P20 Pro menggunakan sokongan penstabilan imej AIS (AI Image Stabilization) atau kata lain, penstabilan imej elektronik(EIS) yang lebih fancy. Hanya lensa telefoto sahaja yang disokong dengan penstabilan imej optikal (OIS).

1. Lensa RGB


Huawei telah menambah saiz sensor RGB sehingga 40-Megapiksel f/1.8, jauh meninggalkan pesaing mereka yang lain. Seperti yang anda tahu, saiz piksel yang besar akan mempertingkatkan lagi ketajaman perincian hasil gambar. RGB (Red, Green, Blue) digunakan untuk menangkap butiran warna. Oleh itu, warna yang dihasilkan kelihatan lebih menyerlah.



 



 



Serius, tangkapan dan penghasilan butiran warna P20 Pro sangat menakjubkan. Contoh seperti gambar diatas, walaupun pancaran matahari terik, warna hijau pokok masih lagi dapat dikekalkan, hijau pekat pulak tu. Selalunya dalam keadaan matahari terik sebegini (backlight cerah), kebanyakan hasil gambar kamera lain akan wash out, bermaksud overexpose dan pokok akan jadi gelap seperti bayang-bayang.

2. Lensa Telefoto


Ini merupakan pertama kali Huawei mengetengahkan sistem telephoto dalam peranti mereka. Dengan lensa telephoto 8-Megapiksel f/2.4 dan panjang fokus 80mm, ianya membenarkan pengguna untuk zoom sebanyak 5X (zoom hibrid) tanpa kehilangan perincian ketika mengambil gambar subjek yang jauh.



Seperti dalam gambar, walaupun pada 10x zoom hibrid, setiap perincian perkataan dapat dihasilkan dengan baik. Saya juga ada perasan fungsi zoom 10x ini dibantu oleh AI untuk memperkemaskan imej supaya ia nampak lebih jelas.

3. Lensa Monokrom


Seperti yang anda tahu, lensa monokrom mengambil butiran gambar hitam putih dalam menghasilkan kesan bokeh. Dengan 20-Megapiksel f/1.8 monokrom, peranti ini dapat menangkap butiran warna hitam dan putih supaya kesan bokeh lebih sempurna terutamanya pada waktu malam dan pada masa yang sama hasil gambar akan lebih jelas dan pekat.





Kapsyen: Gambar dengan efek 'Bokeh'


Bercakap tentang kamera, Huawei P20 Pro turut menggunakan kesempatan keupayaan AI yang dimiliki cip Kirin 970. Mungkin ianya ciri yang pada orang lain 'tak ada pun tak apa', tetapi melalui pengamatan saya sendiri, ianya satu fungsi yang agak membantu terutamanya pada anda yang malas untuk menyunting gambar.





Peranti ini menggunakan kamera hadapan 24MP dengan bukaan aperture f/2.0 dan ia turut menjanjikan kualiti imej yang sangat baik. Pengambilan gambar dalam suasana pencahayaan rendah juga amat memuaskan.



Dari segi keupayaan kamera dalam keadaan kurang cahaya, P20 Pro bagi saya merupakan yang terbaik setakat ini, mungkin Pixel 2 dan S9+ adalah pencabar terdekat dalam hal ini. Jika dilihat gambar (bawah) di sebelah kiri, ianya diambil dalam keadaan sangat gelap, namun peranti ini masih mampu menghasilkan gambar yang agak cerah. Lebih cerah daripada mata manusia sendiri. Di sebelah kanan pula gambar diambil menggunakan Night Mode yang menghasilkan gambar seperti siang hari. Gila.



Tentang rakaman video, terus terang saya boleh katakan ianya tidak sehebat iPhone X dan S9+. Walaupun dengan sokongan rakaman gerak perlahan 960fps atau 240fps pada resolusi 720p, kualiti videonya dengan sokongan AIS, kurang tajam dan tak stabil berbanding iPhone X (240fps pada 1080p). Malah rakaman gerak perlahannya hanya mampu dihasilkan selama 8 saat sahaja.

Bateri


Bak kata pepatah, tiada satu pun di muka bumi ini yang sempurna dan P20 Pro juga tidak terkecuali. Melalui pemerhatian saya selepas 2 bulan menggunakan peranti ini, ianya bukanlah peranti yang saya boleh katakan 'tahan lama'. Dengan kapasiti bateri 4,000 mAh, penggunaan harian biasa di media sosial semenjak awal pagi sehingga malam adalah normal. Namun apabila anda mula menonton video di Youtube dan Facebook, baterinya agak cepat mengalir seperti duit gaji.



Saya cuba untuk menukar tetapan di ruang Setting>Battery>App Launch untuk menetapkan mana satu aplikasi yang saya ingin berjalan di latar belakang secara manual. Seperti contoh saya menonton video di Youtube, apabila saya keluar dari aplikasi, sistem akan secara sendirinya menghantikan aplikasi untuk berjalan. Ini bermakna apabila saya membuka kembali Youtube, saya tidak boleh meneruskan menonton sambungan video yang dimainkan sebentar tadi. Dengan menukar tetapan, saya dapat rasakan sedikit efek positif terhadap penggunaan bateri namun ianya tidaklah drastik.

Dari segi pengecasan, Huawei mendakwa P20 Pro mampu mengecas sehingga 60% dalam masa 30 minit melalui sokongan Huawei SuperCharge. Namun melalui pengalaman saya, ianya tidaklah sepantas yang digembar-gemburkan. Peranti ini mengambil masa sekitar 40 minit untuk 50% pengecasan. Pengecasan penuh pula mengambil masa 1 jam 30 minit.

Rumusan




Keseluruhannya, ianya boleh dikatakan sebuah peranti flagship yang wajib beli. Keupayaan kameranya bukan boleh dibuat main. Kepada anda yang peminat telefon pintar atau peminat fotografi, anda perlu (tahap wajib) merasai sendiri keagungan kamera Huawei P20 Pro. Ianya mula dijual pada harga RM3,299 jauh lebih murah daripada pesaingnya yang lain seperti Galaxy S9+ dan iPhone X.

Anda mungkin perlu berpaling ke Xiaomi Mi 8, Oneplus 6, Zenfone 5z, Mi Mix 2S jika anda mahukan alternatif bajet. Tetapi untuk kameranya sahaja, saya berani untuk membuat kenyataan bahawasanya ianya adalah sebuah peranti yang berbaloi untuk dimiliki.

 

 

 

 

Berkaitan