(Ulasan) Huawei MatePad T 10s - Tablet Bawah RM1000 Dengan Sokongan Audio Harman Kardon

Diperkenalkan pada Oktober lalu, Huawei MatePad T 10s ditawarkan pada harga RM999 untuk pasaran tempatan. Dengan harga sebegini, ia adalah antara tablet mampu milik yang ada di pasaran ketika ini.



Walaupun begitu, MatePad T 10s masih menawarkan beberapa ciri menarik seperti pembesar suara stereo, paparan Full HD, sokongan audio dari Harman Kardon, pengecasan melalui USB Type-C, bateri yang besar dan sebagainya.

Spesisifikasi




  • Skrin: IPS LCD 10.1 inci (1920 x 1200), 16:10

  • Cip pemprosesan: 14nm Kirin 710A (Mali-G51)

  • Memori: RAM 3GB, Storan 64GB (menyokong penambahan storan melalui microSD)

  • Kamera belakang tunggal: 5MP (f/2.2) + PDAF

  • Swafoto: 2MP (f/2.4)

  • Bateri: 5100mAh (USB Type-C) dengan 10W

  • Perisian: EMUI 10.1 berasaskan Android 10, HMS

  • Bicu audio 3.5mm: Ada


Bahan Binaan / Rekaan


Rekaan Huawei MatePad T 10s kelihatan hampir sama seperti MatePad T 8. Ia kelihatan lebih premium dan profesional. Tablet ini didatangkan dengan bahan binaan logam dengan garisan vertikal nipis yang berasaskan plastik.



Untuk pasaran tempatan, MatePad T 10s hanya ditawarkan dengan warna Deepsea Blue. Dari segi aspek warna, Deepsea blue ini adalah warna biru hitam atau blue black dengan satu tona warna penuh.

Dengan kemasan matte, cap jari lebih mudah kelihatan pada panel belakang. Adalah disarankan untuk menggunakan sarung pelindung pada tablet ini.



Beralih kepada rekaan, bezel yang ditampilkan pada sekeliling tablet ini kelihatan agak tebal, di mana ia juga memuatkan kamera swafoto 2MP dan notifikasi LED. Pada bahagian belakang tablet ini pula hadir dengan kamera tunggal 5MP.



Terdapat butang kuasa dan kawalan bunyi pada bahagian atas tablet ini. Sementara itu, bicu audio 3.5mm dan port pengecasan USB Type-C diletakkan di sisi kanan tablet. Pembesar suara stereo pula diletakkan pada kedua-dua sisi.



Menariknya, slot SIM dan microSD turut dimuatkan pada sisi kanan tablet. Dengan itu, sudah pasti panggilan audio mahupun video boleh dibuat menggunakan tablet ini.

Secara keseluruhan, kualiti dan bahan binaan tablet ini adalah sangat sesuai untuk sesebuah tablet. Dari segi genggaman, memegang tablet ini terasa lebih solid dan selesa.

Paparan


Huawei MatePad T 10s dilengkapi paparan IPS LCD 10.1 inci dengan resolusi 1920 x 1200. Dengan resolusi Full HD yang juga mempunyai sokongan teknologi HUAWEI ClariVu, paparan adalah lebih pekat dan terang.

Ulasan Huawei MatePad T 10s

Bagaimanapun, tahap kecerahan perlu dimaksimumkan apabila berada di bawah cahaya matahari.

Mempunyai pensijilan TÜV Rheinland bagi Eye Comfort, tablet ini menawarkan keselesaan pada mata pengguna untuk kegunaan seharian. Terdapat tiga mod yang ditawarkan iaitu mod gelap, eBook dan Eye Comfort.

Prestasi


Dengan RAM 3GB dan storan dalaman 64GB, ia cukup untuk melakukan tugasan seharian. Jika mahukan penambahan storan, ia turut menyokong sehingga 512GB melalui slot kad microSD.

MatePad T 10s dikuasakan cip pemproses 14nm Kirin 710A dengan padanan GPU Mali-G51. Ia menjalankan antaramuka EMUI 10.1 berasaskan Android 10 dengan HMS.

Tablet ini hadir dengan HUAWEI App Multiplier yang membolehkan dua tetingkap dibuka dalam masa yang sama. Lebih menarik, dua aplikasi yang sama juga boleh dibuka pada kedua-dua tetingkap tersebut.

Ulasan Huawei MatePad T 10s

Memandangkan MatePad T 10s mempunyai Widevine L1 DRM, ia juga menyokong Netflix. Walaupun begitu, sedikit mengecewakan apabila tablet ini tidak sepenuhnya mempunyai sokongan resolusi Full HD pada aplikasi Netflix.

Sebaik sahaja logo Netflix mula kelihatan pada video yang dimainkan, jelas terlihat piksel pada paparan MatePad T 10s.

Ulasan Huawei MatePad T 10s Kapsyen: Netflix


Tanpa sokongan resolusi Full HD pada aplikasi Netflix, kualiti resolusi paparan adalah sekadar cukup. Namun, kurang pada kepuasan bagi pengalaman menonton walaupun mempunyai skrin paparan yang lebih besar.



Akan tetapi, sokongan resolusi Full HD masih disertakan jika memainkan mana-mana video di Youtube dan sebagainya.

Dalam pada itu, pujian harus diberikan pada kualiti audio MatePad T 10s. Ini kerana, sebaik sahaja mana-mana lagu dimainkan, bunyi audio yang dihasilkan dari pembesar suara stereo begitu cemerlang. Lebih kuat dan lebih jelas audio yang didengar. Tidak hairan lagi kerana ia mempunyai sokongan audio dari Harman Kardon yang terkenal dengan penyampaian audio yang luar biasa.

Juga, melayari sosial media menggunakan tablet ini masih lancar tanpa sebarang masalah. Ia turut mempunyai keupayaan untuk memainkan beberapa permainan yang tidak terlalu berat.

Ulasan Huawei MatePad T 10s

Bagi permainan seperti Mobile Legends, anda juga masih boleh memainkannya pada tablet ini. Namun, aplikasi pada latar perlu dikurangkan bagi meningkatkan kelancaran memainkan permainan.

Kami juga telah mencuba menukar pelbagai tetapan pada Mobile Legends,. Antaranya adalah grafik yang boleh dinaikkan pada tahap High, mod HD dan sebagainya.

Kamera


MatePad T 10s dimuatkan dengan kamera belakang tunggal 5MP serta kamera swafoto 2MP.



Dengan status MatePad T 10s sebagai tablet, kepakarannya bukanlah terletak pada kamera. Namun, kualiti imej yang dihasilkan masih berada pada tahap baik dan bersesuaian bagi melengkapi sebuah tablet untuk kegunaan seharian yang melibatkan tugasan tertentu.

Ia juga hadir dengan Beauty Mode bagi kedua-dua kamera belakang dan swafoto.

Bateri


MatePad T 10s dimuatkan dengan bateri berkapasiti 5100mAh serta pengecasan 10W melalui USB Type-C. Melalui penggunaan kami, 30% bateri mampu bertahan sekitar 3 hingga ke 4 jam.

Jika kerap menggunakan tablet ini, anda mungkin perlu mengecas sebanyak 2 kali dalam satu hari.

Rumusan


Ulasan Huawei MatePad T 10s

Secara kesimpulannya, tablet mampu milik ini lebih sesuai digunakan bagi tujuan seperti menghadiri kelas dalam talian, tugasan kerja yang ringan dan sederhana atau sebagai peranti utama bagi penggunaan media.