Tahun 2023 ini bagi saya tidak ada banyak kejutan atau pembaharuan menarik terutama dalam arena telefon pintar, ia sudah seperti yang dijangkakan dan saya pernah sebut dalam video ngeteh season 2 episod 1. Namun, pada April lepas, satu kejutan buat dunia yang pada awalnya ingatkan hanyalah troll semata-mata tetapi rupa-rupanya betul.
Asus pertama kali memperlihatkan konsol gaming mudah alih mereka menerusi ROG Ally kepada dunia dan rata-rata berpendapat Steam Deck keluaran Valve akhirnya ada pesaing sebenar dalam segmen ini.
Sebenarnya, konsol sebegini bukanlah baharu kerana ia sudah lama tersedia di pasaran (contoh: Ayaneo 2, GPD Win Max) cuma terhad kepada beberapa negara sahaja. Malah, Steam Deck sendiri pun tidak dibawa masuk secara rasmi ke pasaran tempatan.
Apa yang membuatkan ROG Ally ini begitu hype sehinggakan menjadi bahan jenaka serta perdebatan di group FB adalah kerana peranti tersebut dijual secara meluas. Jadi, ramailah berkesempatan untuk membeli dan mencubanya.
Antara debat yang diutarakan serta komen-komen yang saya lihat, ada mengatakan sudah boleh buang PC, apa guna bina PC mahal-mahal tapi tidak boleh main tepi kolam dan ada juga berpendapat mampu bersaing dengan Steam Deck.
Ada benarnya seperti dikatakan tetapi tidak semuanya indah. Oleh itu di sini, saya akan berkongsikan kepada anda apa baik buruknya ROG Ally ini dari pandangan seorang gamer yang memang bermain konsol PS5, Xbox Series X, Nintendo Switch serta PC.
Lihat spesifikasi penuh di SINI.
Rekaan
Pertama kali apabila memegang ROG Ally, saya tak sangka bahawa konsol ini sangatlah ringan (608g) meskipun saiznya nampak lebar dan besar. Sebagai perbandingan, saiznya berada di tengah-tengah. Paling besar, Steam Deck, kemudian ROG Ally dan akhir sekali Nintendo Switch OLED.
Rupa game pad sangat mudah untuk difahami, umpama alat kawalan arus perdana (selain PlayStation) yang mana pada bahagian kanannya ada butang A/B/Y/X dan belah kiri ada D-Pad. Kedudukan analognya diletakkan secara berlawanan (atas,bawah) dan semestinya ada pencahayaan RGB yang boleh diseragamkan warnanya dengan Aura Sync.
Pada setiap kiri dan kanan juga ada butang untuk kita menavigasi antara muka seperti Armoury Crate, Command Center, View, Menu serta ada pembesar suara.
Pada bahagian atas, ada butang kuasa dengan pengimbas cap jari, butang laras audio, port USB-C, PCIe untuk sambungan ROG XG Mobile, slot microSD dan bicu audio.
Ia kemudian dipadankan bersama dua ruang pengudaraan dan terdapat 4 butang (RB/RT/LB/LT). Manakala bawahnya, ada butang tambahan lain atau grip button (m1/m2) serta pelekat seakan-akan RGB (tiada pencahayaan LED di sini).
Beralih pada skrin, paparan seluas 7″ panel IPS boleh sentuh dengan resolusi 1080p 16:9, sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz, kecerahan 500nits, pelindungan Gorilla Glass DXC, Gorilla Glass Victus dan ada FreeSync Premium.
Dari segi warna yang dipaparkan, saya memang memuji kualiti diberikan ASUS kerana cukup cantik dan puas apabila melihatnya. Lagi-lagi dengan saiz skrin yang kecil ini, membuatkan paparannya tetap jelas dan tajam.
Jangan risau, ROG Ally mesra untuk dibuka komponennya kerana anda boleh tukar thermal paste untuk sistem penyejukan yang lebih baik atau menaik taraf SSD dimana ia menyokong NVMe M.2 SSD (2230).
Saya tak sarankan anda guna kad microSD untuk storan tambahan sebab anda pun sudah tahu isu tersebut dan ASUS sudah mengeluarkan kenyataan berkaitannya dimana ia tidak berfungsi apabila suhu peranti menjadi panas.
Berbalik pada rekaan keseluruhan, saya sedar ia tak adalah rasa lenguh untuk bermain kerana binaannya ringan. Namun, ia kurang grip kerana saiz genggamannya kecil berbanding Steam Deck.
Untuk orang seperti saya yang biasa bermain menggunakan alat kawalan seperti DualSense atau Xbox, memang terasa kerinduan bermain menggunakan game pad sebenar. Akan tetapi, ia adalah subjektif. Mungkin ada rasa selesa dan mungkin ada yang rasa seperti saya.
Pun begitu, butang-butang serta analognya tetap sedap digunakan. Feel hampir sama dengan alat kawalan sebenar. Namun, ketiadaan touch pad untuk menggerakkan cursor amatlah tidak seronok. Perkara ini saya akan bincangkan dalam bahagian perisian nanti.
Prestasi ‘Gaming’
Saya ucap selamat datang, saya pasti bahagian ini paling ramai yang ternanti-nanti dan mahu mengetahui sehebat mana prestasi ROG Ally. Adakah ia sama seperti yang dicanang-canang sewaktu pelancarannya?
Dengan cip pemproses AMD Ryzen Z1 Extreme, sejujurnya saya mendapati ia memang tidak mengalami sebarang masalah untuk menjalankan kebanyakan permainan AAA yang ada tersedia dari mana-mana platform.
Tapi kena ingat, saya menasihati anda janganlah terlalu bernafsu untuk push tetapan yang ada. Menganggap seolah-olah ia sebuah PC berkuasa tinggi.
Apa yang saya buat, mainlah dalam tetapan campuran low, medium, settings dengan resolusi 1080p. Inilah kelebihan ROG Ally kerana mampu ke resolusi sebegini kerana Steam Deck hanyalah 720p atau 800p sahaja paling tinggi.
Nak lagi sedap dan FPS lebih tinggi, mainkan dalam preset low, resolusi 720p serta aktifkan AMD Radeon Super Resolution (RSR) melalui command center.
RSR berfungsi pada resolusi 720p dan ia akan upscale resolusi anda kepada 1080p supaya grafik yang dimainkan lebih cantik. Tapi kalau game itu ada tetapan AMD Fidelity Super Resolution (FSR) seperti yang ada dalam Cyberpunk 2077, gunakan yang ni.
Untuk penanda aras ROG Ally, saya mencuba 4 permainan – Cyberpunk 2077, Forza Horizon 5, FIFA 23 dan Apex Legends. Kemudian, saya akan menguji dalam semua mod prestasi – silent 10W, performance 15W, turbo 25W dan turbo 30W (sambil cas).
Permainan Cyberpunk 2077 kini menjadi kebiasaan dalam mana-mana ujian penanda aras gaming. Permainan ini, saya tetapkan dalam preset low dengan mengaktifkan FSR 2.1. Kadar bingkai yang saya dapat cukup memberangsangkan dengan purata 58 FPS pada mod Turbo 25W. Sementara purata 62 FPS bagi mod Turbo 30W.
Bagi permainan perlumbaan kereta Forza Horizon 5, agak mengagumkan juga dimana saya dapat purata 88 FPS dalam mod Turbo 25W. Ini pun sama juga, tetapan grafik adalah low-medium.
Seterusnya, permainan FIFA 23, saya dapat sekitar 68 FPS yang mana tetapan grafik saya biarkan sahaja dalam auto 1080p (Turbo 25W). Cuma, saya sarankan jika mahu main FIFA 23, main dalam mod performance ke atas sahaja kerana mod silent ia sukar dimainkan, tidak lancar.
Satu lagi, saya juga cadangkan untuk lock sahaja FPS kepada 60 bagi permainan lebih lancar. Sekiranya anda tertanya-tanya macam mana mahu main FIFA 23, saya hanya melanggan Xbox Game Pass Ultimate yang didatangkan sekali dengan EA Play.
PC Game Pass di Malaysia tidak hadir dengan EA Play dan Game Pass Ultimate ini anda perlu melanggannya melalui penukaran region.
Akhir sekali, permainan kompetitif seperti Apex Legends juga mengejutkan saya kerana kadar bingkainya mampu mencapai purata 108 FPS. Dalam kebanyakan masa, ia sekitar 90-115 FPS bergantung kepada situasi permainan.
Sekiranya anda tertanya-tanya akan suhu, ia sebenarnya tidaklah panas. Suhunya masih terkawal. Cumanya, anda akan rasa panas seperti ada pengering rambut yang ‘disemburkan’ ke tangan anda sahaja memandangkan ruang pengudaraan berada pada bahagian atas. Bunyi semasa mod Turbo juga agak bising.
Walau apa pun, saya boleh katakan yang ROG Ally memang tiada sebarang masalah untuk memainkan apa jua permainan. Namun, pastikan tetapan grafik itu pada campuran low ke medium sahaja.
Tapi, jangan risau sebabnya tetapan sebegini dan dimainkan pada ROG Ally, ia tetap lagi cantik.
Perisian
Selain hadir dengan perkakas yang berprestasi serta power, ia tak cukup membuatkan sesebuah konsol gaming mudah alih ini juara keseluruhan.
Saya bermula gaming pada konsol dan kemudian bermain menggunakan PC. Selepas itu, saya berhijrah kembali kepada konsol. Sempat saya nukilkan pengalaman Xbox Series X di SINI jika anda mahu ketahuinya.
Antara sebab saya berpatah balik pada konsol adalah betapa senangnya untuk bermain. Saya ada tulis mengapa memiliki konsol lebih berbaloi di SINI.
Apa yang saya bebelkan ni? Tak ada kena mengena dengan ROG Ally. Sebenarnya ada. Di sinilah saya mahu tekankan perisian itu sangatlah penting apabila namanya sebagai handheld gaming console. Nadi utama dalam konsol sebegini adalah antara muka serta pengalaman penggunaannya.
Mengapa konsol itu tetap mendapat tempat dalam kalangan gamer adalah disebabkan perisian serta permainan yang dioptimumkan untuknya.
Benar, penggunaan Windows 11 dalam ROG Ally ini ada kelebihan dan kekurangannya. Kelebihan dia adalah, lebih banyak aplikasi yang menyokongnya. Yalah, ia umpama komputer dalam bentuk yang kecil. Lebih kecil dari PC bersaiz ITX atau mini ITX.
Bukan setakat game Steam, mana-mana yang anda ada dalam komputer seperti EA, Blizzard, Ubisoft Connect, Xbox Game Pass, GOG, Epic Games dan lain-lain boleh saja dipasang serta dimainkan.
Bagi memudahkan untuk memainkan game yang dipasang, ASUS ada sediakan Armoury Crate yang mana ia boleh diakses secara terus dengan tekan butang yang disediakan.
Di sini, ia ibarat rumah game anda kerana setiap permainan yang dipasang, boleh terus buka menerusinya di sini. Malah, Armoury Crate juga ada bahagian tetapan untuk kita gunakan. Namun, ia hanyalah pelancar (launcher) sahaja. Sifat asal usulnya masih tak lari. Ibarat kita buka aplikasi Windows tetapi dimudahkan kerana ada butang itu.
Ada juga butang Command Centre yang mana ia membolehkan saya untuk mengakses mod gaming, game profile, real-time monitor (status FPS, CPU dan lain-lain) atau papan kekunci.
Bagi saya, okay sahaja ASUS berbuat demikian tetapi Windows tetap Windows. Ia masih menyukarkan saya untuk bermain dengan senang hati. Malah, masa mula-mula saya on ROG Ally pun, terlalu banyak kemas kini Windows yang perlu dibuat. Anda sendiri tahu macam mana kemas kini Windows itu.
Kunci utama dalam sesebuah konsol gaming mudah alih adalah memudahkan pengguna untuk menavigasi antara mukanya. Walaupun saya boleh menggerakkan cursor menggunakan analog tapi ia tetap sukar.
Anda boleh bayangkan, halaman utama Windows 11 dalam saiz 7″? Papan kekuncinya juga kadangkala tidak keluar secara automatik ketika mana saya mahu log masuk akaun dan sebagainya.
Di sini, saya berpendapat Steam Deck yang menjalankan SteamOS merupakan langkah yang betul. Tujuan utamanya adalah untuk memudahkan pengguna. Ini antara sebab mengapa bermain konsol itu mudah. Anda on konsol, pilih game dan terus mainkannya.
Begitu juga dengan Nintendo Switch, kalau ada yang pernah mainkannya, anda dapat tahu betapa mudahnya konsol mudah alih tersebut. Sebab itulah namanya “mudah”, bukannya “susah”.
Saya berpendapat, sekiranya ROG Ally mahu pergi jauh, saya mengharapkan cuba perkemaskan sistem operasi Windows itu. Biarlah ia perisian khas untuk handheld dan mudah digunakan. Anda sendiri memasarkannya sebegitu.
Selain itu, biarpun segala permainan boleh dimainkan ROG Ally, tapi belum semua game dioptimumkan untuknya. Tidak seperti Steam Deck, terdapat beberapa judul permainan yang sudah mengoptimumkannya – “Steam Deck Verified”.
Benda itu sangatlah penting. Ia bukan sahaja memudahkan kita bermain game tersebut, tetapi tetapan grafik pun ditawarkan khas untuk Steam Deck. Ini kekurangan paling ketara yang saya nampak.
Mungkin ia masih baharu lagi, tetapi saya mengharapkan akan ada juga game yang “ROG Ally Verified” juga. Buat masa sekarang, ASUS hanya boleh cadangkan sahaja permainan itu sesuai dimainkan menggunakan game pad atau papan kekunci bersama tetikus.
Tetapi, saya rasa kebanyakan orang membeli konsol mudah alih adalah untuk memainkannya di mana-mana sahaja. Tak adalah nak bawak papan kekunci dan tetikus kan?
Secara keseluruhan, ROG Ally masih lagi baik untuk memainkan apa jua permainan. Cuma kena ingat, ada game yang memang akan memaksa anda untuk menggunakan keyboard dan mouse.
Pembesar Suara Dan Bateri
Seperti yang saya cakap awal-awal tadi, ROG Ally ini didatangkan dengan 2 pembesar suara yang mana ASUS mengatakan ia menyokong Dolby Atmos, teknologi pembatalan hingar AI, penarafan Hi-Res dan mikrofon terbina.
Apa yang boleh saya katakan, pembesar suaranya cukup baik untuk peranti bersaiz sebegini. Ia cukup kuat, jelas dan lantang.
Maknanya, nak main tanpa menggunakan aksesori audio lain pun sudah memadai. Jangan risau.
Kita beralih kepada salah satu aspek penting dalam menggunakan ROG Ally, iaitu bateri. Saya pasti ramai yang tidak berpuas hati dengannya.
@wisermy Idaman Para Gamers ni ? #wisermy #techtok #fypシ #malaysia #unboxing #asmr #asmrvideo #ROG #rogally
♬ Merry-Go-Round – from ‘Howl’s Moving Castle’ – Joe Hisaishi
Sabar, bukan anda seorang sahaja berasa begitu kerana kita mempunyai pendapat yang sama juga.
Peranti ini dilengkapi 4 sel bateri dengan kapasiti 40WHrs dan boleh dicas menggunakan USB-C sehingga kelajuan 65W.
Casnya memang laju tapi seiring juga dengan jangka hayat baterinya, iaitu laju juga habis. Akan tetapi, adakah benar seperti dakwaan ramai orang yang kata baterinya hanya tahan sejam?
Setakat penggunaan saya, apabila memainkan AAA game, ia hanya mampu mencapai masa bermain sekitar 1 jam atau 2 jam sahaja.
Namun, itu pun bergantung jenis game yang kita main, tetapan grafik apa kita gunakan serta mod operasi (silent, performance, turbo).
Kalau jenis yang sentiasa dahagakan FPS, pasti akan letakkan Turbo 25W (tanpa kabel). Sekiranya tetapan sebegini yang kita buat, kebiasaannya masa penggunaan dalam sejam lebih sahaja.
Sekiranya kita memainkan game yang tidak memerlukan pemprosesan GPU dan CPU yang tinggi, ia bolehlah mencapai 2 jam permainan.
Ya, memang boleh main sambil cas secara terus dari plag atau powerbank tapi apa guna handheld kalau terpaksa cucuk kabel sentiasa kan?
Ibarat guna telefon sambil bawa powerbank ke hulu ke hilir. Rasa tak selesa dan berat pula nanti.
Saya berpendapat, ini semua berkait dengan bahagian perisian tadi, yang mana saya sebut ‘optimization’. ROG Ally kekurangan benda ni.
Malah, kalau saya letakkan peranti ini dalam keadaan sleep, saya tak boleh sambung semula progress bermain setelah saya pause game tu. Kena on dan launch semula game tersebut.
Perkara inilah yang membuatkan Steam Deck mahupun Nintendo Switch menang dalam segmen ini.
{suggest}
Kesimpulan
Apa saya boleh simpulkan, ASUS ROG Ally sememangnya sebuah konsol mudah alih Windows yang cukup berkuasa buat masa sekarang. Ia hadir dengan prestasi yang menepati jangkaan. Kadar bingkai (FPS) munasabah untuk judul-judul permainan AAA mahupun kompetitif seperti permainan eSukan.
Selain prestasi, ia juga mempunyai skrin yang cukup cantik ditambah lagi warna yang baik. Sesuai untuk memainkan segala permainan yang ditawarkan tanpa memerlukan monitor tambahan. Malah, pembesar suaranya juga baik meskipun tidak memakai aksesori audio tambahan.
Namun, kekurangan ketara pada ROG Ally ini semestinya perisian Windows itu sendiri tidak begitu optimum untuk sesebuah peranti bergelar “konsol gaming mudah alih”.
Mengeruhkan lagi pengalaman penggunaan, ia masih “kehilangan” permainan yang khusus untuk ROG Ally atau ‘ROG Ally verified games’ sepertimana yang saya sudah sebut.
Ia hanyalah PC pada saiz lebih kecil dan yang menyokong alat kawalan (controller) semata-mata. Bahkan, jangka hayat baterinya juga belum cukup memuaskan.
Perjalanan ROG Ally masih lagi jauh. Akan tetapi syabas kepada ASUS kerana berani mengeluarkan peranti yang tidak disangka-sangka pengguna.
Jadi, adakah berbaloi untuk beli? Biar saya bantu anda buat pilihan.
Beli ROG Ally sekiranya:
- Anda mahu sebuah konsol mudah alih berkuasa
- Anda mahu main segala permainan yang wujud dalam PC
- Anda mahu konsol mudah alih dengan rekaan cantik
- Anda mahu konsol mudah alih yang hadir dengan skrin cantik
- Anda mahu konsol mudah alih dengan sistem penyejukan baik
Jangan beli ROG Ally sekiranya:
- Anda mahu pengalaman penggunaan konsol mudah alih cemerlang
- Perisian serta UI mesra pengguna
- Jangka hayat bateri lama
- Anda mahu permainan yang dioptimumkan untuk ROG Ally
- Anda mahu ganti PC atau alternatif Steam Deck/Nintendo Switch
Beli ROG Ally di Shopee – https://invl.io/cljf1kq
Beli ROG Ally di Lazada – https://invol.co/cljf1lm