Perang platform gaming sudah bertahun-tahun menjadi perdebatan hangat dalam komuniti gamer. Baik di dalam mahupun di luar negara. Masing-masing ada pendapat serta hujah tersendiri.
Kita tolak tepi dahulu mobile gaming, ia berada di luar “liga utama gaming” buat masa sekarang. Kita lihat tiga “pemain” utama dalam industri gaming – PlayStation, Xbox dan PC.
Sebagai gamer sejati sekian lama, saya sering melihat “pergaduhan” dalam komuniti gaming khususnya di Malaysia terhadap platform mana lebih “king”.
Jikalau PC, mereka menganggap diri mereka lebih unggul berbanding pemain konsol memandangkan gaming di PC jauh lebih sedap dan lancar.
Bagi geng PlayStation pula, mereka akan menggunakan kad permainan video eksklusif atau “PS Exclusive Game” terhadap geng Xbox dan PC.
Walakin begitu, kesemua itu adalah skrip lama. Peredaran zaman yang lebih canggih ini sudah mengubah dunia gaming. Mengapa?
{suggest}
Xbox sudah menampilkan “Xbox Game Pass” di mana menawarkan beratus-ratus game baharu untuk dimainkan. PC pula, mereka sudah menikmati sedikit demi sedikit kehebatan konsol Sony, iaitu menerima game eksklusif.
Horizon Zero Dawn, God of War dan terbaru siri Spider-Man pula sudah memasuki platform PC. Malah, beberapa game yang asalnya untuk konsol pun sudah banyak menembusi gedung Steam dan Epic Games.
Jadi, persoalannya sekarang, adakah konsol sudah mati? Masih relevankah ia untuk dibeli pada masa kini? Sebagai gamer yang bermain di ketiga-tiga platform, ini hujah saya mengapa konsol masih lagi relevan.
‘Game’ Eksklusif PS Ke PC Mungkin Hanyalah Strategi Sony
Ini merupakan kunci utama untuk saya membidas geng Xbox dan PC pada satu ketika dahulu, iaitu PlayStation ada game eksklusif. Namun, sejak Sony sudah mula membawa masuk permainan mereka ke PC, perasaan saya bercampur-baur.
Mula-mula saya tidak gemar Sony berbuat demikian kerana beranggapan yang konsol mereka nanti sudah tidak unik. Namun, saya cuba memandang dari sudut lain.
Saya berasakan Sony melakukan perkara tersebut kerana ia adalah strategi pemasaran untuk melariskan konsol mereka pada masa hadapan. Kita faham, keuntungan dari penjualan game tersebut merupakan perkara utama. Akan tetapi, ia secara tidak langsung Sony meracun secara halus pengguna PC.
Saya bagi contoh, di saat golongan PC sedang teruja dengan kehadiran Horizon Zero Dawn, saya sudah menghabiskan game tersebut termasuk DLC-nya. Di saat God of War (2018) baru masuk ke PC, saya sudah menghitung hari untuk God of War Ragnaröck.
Umpama pengguna lain sudah bertahun-tahun menikmati ciri paparan kekal (always on display), ada pengguna lain baru sahaja mahu merasainya.
Tambahan lagi, Sony sudah merancang untuk membawa masuk lebih banyak permainan eksklusif mereka ke PC pada masa hadapan.
Walaupun sudah banyak game Sony tersebut sudah masuk PC, ia akan ditawarkan selepas beberapa tahun. Logiklah, Sony bukanlah tidak bijak. Sekiranya mereka menawarkannya kepada PC serentak dengan konsol PlayStation, tiada siapa lagi akan membeli konsol mereka pula nanti.
Permainan Yang Lebih Dioptimumkan
Biarpun kebanyakan permainan eksklusif sudah dan bakal ke PC, ia kebiasaannya akan menghadapi satu masalah utama – kurang optimum.
Jangan salah faham, ia bukanlah sepanjang masa tidak optimum untuk PC tetapi ia mengambil masa sedikit sebelum ia benar-benar optimum.
Masalah optimization pada PC bukanlah satu perkara baharu, memang sudah wujud sekian lama. Ia berpunca dari pembangun sendiri sebenarnya.
Seperti Horizon Zero Dawn pada awal kemunculannya di PC, memang banyak rintihan pengguna akan prestasinya serta tidak optimize. Pun begitu, perkara tersebut sudah diselesaikan.
Saya ambil contoh lain seperti permainan Red Dead Redemption 2 juga, ia juga mengambil masa untuk benar-benar optimum. Malah, Rockstar Games turut mengambil tempoh hingga 2 tahun sebelum menawarkannya untuk PC.
Selain itu, kebanyakan game di konsol mempunyai backward compatibility. Bermakna, game yang hadir pada konsol generasi lama boleh dimainkan pada generasi terbaharu. Bahkan, telah dioptimumkan.
Pada Xbox misalnya, terdapat beberapa permainan yang tertulis “Series X|S optimize”. Ia memberikan game tersebut dapat dinikmati dengan lebih cemerlang pada konsol Xbox.
Contoh lain saya beri, permainan FIFA 22 juga sangat berbeza dari segi feel buat konsol dan PC. Perkara ini disahkan oleh EA sendiri.
‘Game’ Cyberpunk 2077 pun, CDPR “membangunkan semula” permainan mereka buat PS5 serta Xbox Series S|X. Jadi, jangan memperlekehkan individu yang membeli konsol atas sebab untuk bermain sesebuah game tertentu.
Tak Pening ‘Upgrade’, Mampu Milik dan Tahan Lama
“PC lebih superior, beratus-ratus FPS, smooth like butter..”
Kelebihan PC memang terletak pada menaiktaraf komponen sesuka hati demi mendapatkan grafik eye candy atau sedap mata memandang. Namun, berapa ribu lagi ingin dikeluarkan? Set up PC sudah mencecah RM10K?
Percayalah, saya mempunyai ramai kenalan yang mempunyai PC yang mencecah sehingga RM20k tetapi mereka ini lebih kepada enthusiast sahaja. Berapa peratus sahaja yang benar-benar untuk bermain game.
Apa saya lihat, golongan yang mempunyai PC berharga RM2K hingga bawah RM5K sahaja benar-benar menikmati gaming. Lebih daripada itu, agak jarang ditemui. Silap-silap, mereka hanya membuka PC untuk YouTube atau anime sahaja.
Benar, konsol sebenarnya jauh lebih mampu milik berbanding PC. Bayangkan, PS5 versi digital HARGA RASMI (bukan scalper) hanya bernilai RM1869 dan RM2299 untuk versi cakera optik. Xbox Series X pula sekitar RM2089. Manakala Series S sekitar RM1300.
Kesemua konsol generasi terbaharu itu mampu memainkan permainan beresolusi 4K pada kadar 60FPS hingga 120FPS tanpa sebarang masalah. Tambahan lagi, dengan perkakas sedia ada itu juga boleh bertahan sehingga 5 tahun sekurang-kurangnya.
Tiada PC yang berharga RM2K yang mampu memainkan game pada resolusi 4K. Ini sudah saya bincangkan dalam artikel saya terdahulu.
Mudah kata, jika PC yang kita bina itu cukup-cukup makan, ia perlu dinaiktaraf dalam tempoh tertentu agar ia dapat dimainkan dengan lancar.
Berbeza dengan konsol, ia semudah ABC. Plug and Play. Beli, muat turun dan terus mainkannya tanpa perlu pening akan prestasinya.
Konsol Mesra Keluarga
Masihkah anda ingat, datang ke rumah kawan untuk “lawan” FIFA?
Kebiasaannya, mana-mana pengguna yang mempunyai konsol akan meletakkannya di ruang tamu. Ini secara tidak langsung mudah untuk dimainkan bersama ahli keluarga lain atau pun rakan-rakan yang bertandang.
Belum lagi wujud (atau mungkin ada) individu yang letak PC bersebelahan TV di ruang tamu. Sesuailah namanya “personal computer” bukan? Saya menganggap konsol lebih mesra keluarga kerana konsepnya memang sebegitu.
Contohnya konsol Nintendo Switch, ia sering dipasarkan untuk bermain dengan ahli keluarga.
Selain daripada itu, alat kawalan (controller) pada konsol khususnya PlayStation juga unik. Setiap permainan ada memanfaatkan controller tersebut.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, jika ada yang beranggapan bahawa membeli konsol tidak berbaloi adalah tidak munasabah. Konsol akan terus berevolusi untuk menjadi lebih baik.
Ramai yang memilih konsol disebabkan ia lebih mudah. Macam saya nyatakan – “plug and play”. Buka dan terus main. Tak perlu fikir mahu upgrade apa-apa komponen sekiranya ada judul permainan triple A (AAA) yang baru sahaja dilancarkan.
Namun, jangan salah faham, saya tidak mengajak anda untuk membeli konsol. Ini kerana masih ada yang lebih selesa bermain game menggunakan papan kekunci dengan tetikus. Lebih-lebih lagi permainan bergenre FPS.
Walau bagaimanapun, seperti yang saya pernah luahkan sebelum ini, tidak kira apa pun platform yang kita mainkan, gamer tetap gamer. Kita merupakan satu keluarga yang mempunyai minat dan hobi yang sama.