Sekitar penghujung tahun 2020 yang lepas, dua konsol generasi terbaharu atau next-gen console dilancarkan secara rasmi. Pertamanya, Sony PlayStation 5. Kedua, Microsoft Xbox Series S dan Xbox Series X.
Namun, pandemik COVID-19 yang melanda mengakibatkan konsol tersebut amat susah didapati memandangkan kekangan bekalan. Bukan hanya konsol, perkakas komputer juga menerima nasib yang sama. Disebabkan bekalan tidak mencukupi, harganya pula sudah tidak masuk akal.
Seorang ‘Fanboy’ Sony Yang Dah Jadi ‘Pengkhianat’
Saya merupakan seorang gamer tegar walaupun tidak cukup tegar berbanding dahulu. Oleh itu, bagi memuaskan nafsu bermain permainan video, saya kini mula kembali untuk mencari sebuah konsol generasi terkini.
Saya akur bahawa PlayStation 5 (PS5) amat susah untuk didapati sekarang. Borang minat yang dikeluarkan Sony Malaysia tempoh hari pun, belum tentu akan dapat. Kalau ada pun PS5 di Shopee, ia dijual pada tanda harga melampaui batasnya, iaitu hampir 2 kali ganda atau mesra dipanggil harga scalper.
Jadi, saya mengambil keputusan diluar jangkaan dengan memilih Xbox Series X. Memang tidak terlintas pun untuk memiliki Xbox ini memandangkan hampir 20 tahun saya bersama konsol Sony. Bermula PS2, PS3 dan juga PS4.
Namun, setelah seminggu bermain dengan Xbox Series X, saya agak kagum. Ternyata konsol ini benar-benar pesaing bagi PS5. Oleh yang demikian, ini adalah pendapat saya terhadap Xbox Series X.
{suggest}
Spesifikasi
Sebelum ‘menyelam’ lebih mendalam, seperti biasa kita akan lihat dahulu spesifikasi bagi kedua-dua next-gen console ini. Sebenarnya, masing-masing berkongsikan spesifikasi hampir sama.
Jadi, perang konsol siapa lagi hebat tidak perlu terjadi. Sebaliknya, siapa yang mampu memberikan pengalaman lebih baik buat gamer.
- CPU – 8 teras 3.5GHz AMD Zen 2
- GPU – 10.3 teraflop AMD RDNA 2
- RAM – 16GB GDRR6
- Storan – 825GB custom SSD
- Resolusi – Sehingga 8K
- Kadar Bingkai – Sehingga 120fps
- Backwards Compatibility – Semua permainan PS4/PS4 Pro yang dioptimumkan
- Pemacu Cakera Optik – 4K UHD Blu-ray (PS5 Disc Version)
- Harga Rasmi – RM1869 (digital), RM2299 (Disc Version)
- CPU – 8 teras 3.8GHz AMD Zen 2
- GPU – 12.0 teraflop AMD RDNA 2
- RAM – 16GB GDRR6
- Storan – 1TB NVMe SSD (sekitar 802GB tersedia)
- Resolusi – Sehingga 8K
- Kadar Bingkai – Sehingga 120fps
- Backwards Compatibility – Semua permainan Xbox One, beberapa Xbox 360 dan Xbox original games
- Pemacu Cakera Optik – 4K UHD Blu-ray
- Harga – USD499 (~RM2089)
“Peti Sejuk Mini” vs “Penapis Udara”
Rupa bentuk memang subjektif. Kalau nak dibandingkan, kedua-dua konsol ini mempunyai keunikan pada rekaannya. Macam PS5, rekaannya memang besar dan umpama penapis udara. Kalau anda masih ingat, ada sebuah video animasi pendek Korea Selatan pernah bercerita tentangnya.
Saya akui PS5 ini agak besar dan tinggi jika nak dibandingkan PS4 atau PS4 Pro. Walaupun besar, PS5 memberikan kebebasan kepada penggunanya seperti mengubah faceplate. Selain itu, PS5 turut menawarkan penambahan storan SSD dengan memasukkan ke dalam konsol. Cumanya, agak ‘leceh’ sikit bagi yang tidak biasa dengan prosesnya.
Untuk Xbox Series X pula, penampilannya mirip sebuah komputer bersaiz mini-ITX tetapi jauh lebih kecil. Malah, saiznya juga lebih kompak berbanding PS5. Bagi memperbesarkan ruang storan, Series X tidak seperti PS5 kerana SSD khas perlu dicucuk pada bahagian belakang. Tapi boleh juga menggunakan external HDD/SSD dengan menyambungkan pada USB depan.
Masing-masing pun tidak ada masalah sama ada untuk buat setup dengan mendirikannya atau membaringkannya.
Dari segi alat kawalan (controller), Xbox Series X mempunyai rekaan hampir sama dengan Xbox One. Kali ini, ia menerima sedikit kemas kini dan terdapatnya butang share. Masih lagi menggunakan bateri AA, tidak terbina seperti controller Xbox Elite Series 2 yang harga jauh lebih premium.
Mula-mula, saya agak kekok apabila menggunakan controller Xbox kerana saiznya jauh lebih kompak berbanding DualShock 4 yang saya gunakan dulu. Tapi tak menjadi masalah sangat kerana saya masih lagi pro apabila bermain dengannya.
Kekurangan yang saya nampak walaupun tidak besar adalah tiada bateri terbina. Disebabkan itu, saya perlu membeli bateri yang boleh dicas semula bersama-sama dock pengecasan.
Selain itu, saya juga rindu dengan lampu LED dan touchpad yang ada pada DualShock 4. Apa lagi DualSense yang saya belum pernah guna. Tambahan lagi, alat kawalan Sony menerima sedikit kelebihan apabila memainkan permainan eksklusifnya.
Bahkan, ada beberapa judul game yang ‘mengambil kesempatan’ terhadap adaptive trigger dan haptic feedback DualSense seperti Control, Cyberpunk 2077, COD Vanguard dan lain-lain.
Secara keseluruhan, Sony masih menang dalam teknologi alat kawalannya. Walau apa pun, pengalaman bermain dengan controller Xbox Series X masih lagi mengagumkan.
Rugi Beli Xbox Sebab Boleh Main Di PC
Dulu saya pernah menggunakan hujah kepada rakan-rakan bahawa membeli Xbox memang rugi. Lebih-lebih lagi kita ‘bangsa’ PC Master Race. Yalah, Xbox adalah dari Microsoft. Begitu juga Windows. Jadi, memang permainannya sama.
Bagaimanapun, itu cerita dahulu. Sekarang sudah berbeza. Saya berani kata yang saya tidak lagi berminat dengan PC yang telah dibina ini dan terfikir untuk menjualnya.
Punca utama adalah perkakas PC yang sangat mahal. Saya perlu menaik taraf sesuatu komponen bagi memberikan pengalaman yang mengasyikkan ketika bermain. Bagi anda yang ada PC, pasti anda memahaminya.
Contohnya, saya sudah ada kad grafik yang agak baik, iaitu Radeon RX 5700 XT. Tetapi CPU pula kurang memberangsangkan kerana AMD Ryzen 5 2600. Walaupun judul permainan AAA boleh dimainkan dengan tetapan campuran ultra atau tinggi, ia tak cukup baik kerana hanya resolusi 1080p.
Jika konsol, saya hanya perlu membelanjakan kurang dari RM3 ribu dan sudah mampu memainkan permainan beresolusi 4K pada kadar bingkai 120fps. Sekiranya mahu bermain game pada tetapan sebegini di komputer, bajet paling kurang pun sekitar RM8 ribu ke RM10 ribu (mengikut harga pasaran semasa).
Tambahan lagi, kebanyakan permainan video di konsol sudah dioptimumkan. Jarang sekali memberikan masalah dan tidak perlu pening terhadap kemas kini pemacu kad grafik atau kemas kini Windows. Bahkan, lagi 3-4 tahun pun, konsol seperti ini mampu memainkan game AAA baharu.
Prestasi Xbox Series X ini juga seperti yang dijangkakan. Saya boleh terus hidupkannya dalam sekelip mata kerana ada instant on. Jauh lebih pantas dari PC sedia ada. Ibarat duduk di kerusi, tekan on dan terus lancarkan permainan.
Bercakap tentang ‘pelancaran’, Series X ini menyokong fungsi quick resume. Ciri ini memang terbaik kerana saya boleh bertukar-tukar game dengan cepat. Contohnya sudah bosan main FIFA 22 kerana prestasi Manchester United kurang baik, saya boleh tenangkan fikiran dengan bermain Marvel’s Avengers.
Malah, quick resume juga membolehkan saya bermain kembali di tempat kali terakhir saya bermain. Macam checkpoint. Bagi ada yang tertanya-tanya tentang prestasi, ia memang cemerlang.
Suhu tidak terlalu panas seperti mana saya bermain PC. Bahkan, bunyi bising pun tidak kedengaran. Saya masih teringat bermain God of War dan Horizon Zero Dawn pada PS4 dulu, bunyinya seperti kapal terbang mahu berlepas.
Sebelum terlupa, saya hanya gaming menggunakan monitor beresolusi 1080p sahaja kerana belum ada bajet untuk memiliki monitor 4K yang sesuai bagi konsol. Walaupun begitu, paparan masih lagi cantik. Mujurlah monitor saya sokong HDR10, ketepatan warna ΔE<2, penarafan VESA DisplayHDR400 serta FreeSync dan G-Sync.
Selain itu, PS5 dan Xbox Series X memerlukan monitor yang ada HDMI 2.1 bagi memainkan resolusi 4K@120fps. Tapi kalau anda jenis yang main melalui TV 4K di ruang tamu, tak ada masalah kerana kebanyakan TV sekarang ada spesifikasi begitu.
Game Pass Adalah Masa Depan
Saya memang seorang yang main pelbagai jenis game. Baik sukan, dunia terbuka atau first person shooter. Oleh itu, untuk mengeluarkan wang bagi setiap game itu, memang ‘koyak’ juga poket dibuatnya. Dengan harga game sekarang sekitar RM200 ke RM300.
Memang tidak dinafikan yang permainan eksklusif Sony terbaik. Lebih-lebih lagi sejak Sony mengumumkan kehadiran God of War Ragnarok, Spider-Man 2 dan Wolverine. Tapi seperti dinyatakan tadi, saya gemar bermain game lain juga.
Jadi, saya berpendapat yang penawaran Xbox Game Pass ini teramatlah berbaloi. Game Pass ini telah wujud 4 tahun yang lalu. Bagi memudahkan pemahaman, penawaran ini mirip Netflix, Disney+ Hotstar dan sebagainya.
Anda langgan dan kemudian pilih mana-mana cerita untuk ditonton. Sama juga Game Pass. Anda perlu melanggan dan boleh memainkan lebih 400 judul permainan video. Bahkan, ada sekita 90 permainan dari EA kerana pelan Game Pass Ultimate disertakan EA Play.
Harga bagi 13 bulan Game Pass Ultimate ini pun sekitar RM130 sahaja. Dengan pengambil alihan Activision Blizzard oleh Microsoft tempoh hari, saya menjangkakan penawaran Game Pass pada masa hadapan akan jadi lebih menarik. Contohnya, pasti permainan Call of Duty akan diberikan secara ‘percuma’, mirip Forza Horizon 5 yang saya mainkan.
Walaupun game library Sony lebih besar dan menyeronokkan tetapi bagi saya Game Pass apa kurangnya. Siri Yakuza 3, 4, 5, 6, Yakuza Like A Dragon, Hitman Trilogy, siri Battlefield, FIFA 21 dan banyak lagi semuanya ada dalam Game Pass.
Mudah kata, terlalu banyak sampai pening kepala dibuatnya.
Kerisauan dan Kebimbangan Dengan Xbox Series X
Semua memang nampak indah belaka tetapi ada beberapa perkara yang saya perlu jelaskan di sini. Konsol Xbox Series X dan juga dari dulu lagi memang tidak dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia.
Ala-ala seperti peranti Google Pixel. Maknanya, tidak ada sokongan atau perkidmatan selepas jualan (after sales services). Kalau ada perkara yang tidak diingini berlaku, kita perlu claim jaminan (warranty) dari negara asal.
Macam Series X kepunyaan saya ini adalah set Singapura. Namun, saya boleh menghantar kembali kepada kedai yang dibeli untuk urusan seterusnya. Akan tetapi, masih sedikit leceh.
Pengalaman saya guna PS2 atau PS3 dulu, memang mudah kerana sebarang masalah berlaku ia akan dihantar terus ke pusat perkhidmatan Sony di KLCC.
Maknanya di sini, saya tidak pasti sejauh mana penggunaan jangka masa panjang bagi Xbox di Malaysia memandangkan ini kali pertama saya mempunyai konsol Microsoft.
Selain itu, pembelian Game Pass atau permainan video digital pun perlu dibuat menggunakan kod dan VPN kerana ia tidak menyokong kad kredit/debit tempatan. Jangan risau, di Shopee ada pekedai yang dipercayai menawarkan perkhidmatan ini.
Kelebihan yang saya suka pada Xbox Series X berbanding konsol Sony dulu ialah Microsoft ini sebenarnya memudahkan pelanggannya juga.
Ini kerana saya boleh aktifkan Game Pass pada satu akaun dan boleh gunanya pada banyak profil lain. Kalau PS, apabila saya aktifkan PS+ di satu akaun, akaun/profil lain yang di log masuk dalam konsol yang sama tidak boleh menerima kelebihan PS+ seperti game percuma atau main online.
Mudah kata, satu akaun Game Pass boleh dimainkan banyak profil pada satu konsol yang sama.
Berbaloi Ke Beli?
Berbaloi atau tidak untuk membeli Xbox Series X? Bagi saya, anda perlu tepuk dada dan tanya selera. Saya tidak mahu meracun anda kerana ini bukan pendapat berbayar.
Pun begitu, saya terus terang, sepanjang menggunakannya setakat ini saya amat berpuas hati. Terutama diri saya yang memang kaki game. Secara tidak langsung, dapatlah menjadi pengubat rindu kerana PS5 memang susah untuk dibeli dan ditambah harga bermula sekitar RM3158 bagi versi digital set Asia dan boleh menjangkau ke RM3738 versi CD set Malaysia.
Untuk Series X, ia boleh didapati pada tanda harga serendah RM2899 sahaja. Sekiranya anda kekurangan bajet, pada pendapat saya Xbox Series S yang berharga RM1499 pun sudah mencukupi.
Series S masih lagi dalam kategori next-gen console dan hadir dengan spesifikasi hampir sama dengan Series X. Akhir kata, diharapkan perkongsian saya ini dapat membuka mata gamer di luar sana. Apa-apa pun, PlayStation atau Xbox atau PC, kita masih seorang gamer.
Boleh beli Xbox Series S/X di Shopee – https://invol.co/cl94i7g