Tronsmart Onyx Ace, TWS Dengan Kualiti Audio Setanding Harga

Tronsmart kini hadir dengan satu lagi penawaran fon telinga TWS iaitu Tronsmart Onyx Ace. Berikutan itu, kami telah menerima unit ulasan fon telinga ini dan di bawah adalah reaksi dan pendapat kami mengenai Onyx Ace.

Buka Kotak


Setelah kotak Tronsmart Onyx Ace dibuka, anda akan melihat beberapa kandungan di dalamnya. Antara yang disertakan dalam kotak bungkusan adalah:



  • Sepasang Onyx Ace TWS

  • Pod pengecasan

  • Kabel pengecasan Type-C

  • Kad jaminan

  • Manual pengguna


Rekaan




Unit yang kami terima adalah berwarna putih dan merupakan salah satu dari 2 pilihan warna yang ditawarkan selain hitam.



Melihat pada rekaan pod pengecasan, salutan warna silver di tengah-tengah pod pengecasan dilihat kurang bersesuaian. Lebih kelihatan minimalis dan premium jika hanya disaluti warna putih sahaja. Bagaimanapun, sarung pelindung ada dijual secara berasingan.



Pod tersebut juga tidak boleh diletakkan secara menegak. Tidak seperti kebanyakan pod pengecasan yang disertakan pada TWS yang lain, Onyx Ace mempunyai 4 lampu indikator bateri yang diletakkan pada bahagian hadapan pod pengecasan.



Di bahagian bawah pod ini dimuatkan dengan port pengecasan Type-C. Seperti biasa, apabila pod pengecasan dibuka, terdapat ruangan untuk meletakkan sepasang fon telinga Onyx Ace.

Bagi fon telinga, ia hadir dengan rekaan semi-in-ear. Berbanding in-ear yang terlalu ke dalam apabila disumbatkan ke telinga, rekaan ini lebih selesa untuk penggunaan yang lama.

Terdapat kawalan sentuh bagi pelarasan suara dan 4 mikrofon di bahagian kiri dan kanan.

Spesifikasi


Beralih ke bahagian spesifikasi, Onyx Ace mempunyai pemacu sebesar 13mm dan dilengkapi IPX5. Fon telinga ini didatangkan dengan sokongan cip Qualcomm dan teknologi Qualcomm aptX yang mempunyai kualiti audio setanding dengan CD. Pertama kali meletakkannya di telinga, boleh dikatakan bass yang dihasilkan sedap didengar.



Antara fungsi lain adalah seperti pembatalan hingar untuk panggilan dan persekitaran agak bising. Ia juga dilengkapi dengan sokongan Bluetooth dan kawalan sentuh untuk mengaktifkan Voice Assistant. Untuk padanan kali pertama, hanya perlu buka pod pengecasan dan padankan ke peranti melalui Bluetooth.

Dari segi ketahanan bateri, ia boleh menjangkau sehingga 24 jam dengan penggunaan bersama pod pengecasan. Jika hanya menggunakan fon telinga sahaja, jangka hayat fon telinga ini boleh bertahan sehingga 5 jam bagi satu pengecasan penuh. Fon telinga ini didatangkan dengan port pengecasan USB Type-C.

Kesimpulan




Untuk pandang pertama, fon telinga ini dilihat menawarkan fungsi yang baik dan sepadan dengan harganya. Onyx Ace ditawarkan pada harga promosi RM169 (harga asal RM299).

Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut mengenai Tronsmart Onyx Ace, nantikan ulasan penuh tidak lama lama lagi.

Berkaitan