TIME Beri Amaran Kepada Telekom Malaysia

Awal minggu ini, kita dihidangkan dengan pengumuman berkenaan pakej unifi Turbo daripada Telekom Malaysia(TM) kepada semua pelanggan mereka. Ia tentunya merupakan satu berita yang amat menggembirakan pengguna internet di Malaysia yang sudah lama mengidamkan internet yang lebih pantas.

TM telah menjanjikan peningkatan kelajuan sehingga 10 kali lebih pantas tanpa mengenakan sebarang cas tambahan kepada pelanggan unifi bermula bulan hadapan. Antara naiktaraf yang dijanjikan ialah pelanggan pakej unifi 100Mbps mereka bakal menerima naiktaraf kepada 800Mbps, manakala pengguna Streamyx pula akan dinaiktaraf kepada unifi sempena promosi ini.

Menyedari perkara itu, sebuah lagi penyedia perkhidmatan internet(ISP) terkemuka negara, TIME telah mengirimkan ucapan tahniah kepada TM atas usaha mereka untuk mempertingkatkan taraf kelajuan internet di negara ini. Mereka turut memuatnaik satu surat terbuka berbentuk 'amaran' kepada TM melalui Facebook rasmi mereka.



Bagaimanapun, ia bukanlah berbentuk amaran keras. Surat berkenaan lebih kepada satu peringatan bagi TM bahawa mereka tidak akan berdiam diri dan membiarkan pelanggan mereka berpindah ke TM selepas ini.

TIME turut mengajak TM untuk terus komited dalam memberi dan memperluaskan perkhidmatan internet fiber di seluruh negara pada masa akan datang. Kiriman ini seolah-olah memberi bayangan bahawa TIME akan hadir dengan promosi mereka tersendiri tidak lama lagi.

'Pertelingkahan' antara mereka ini merupakan satu perkembangan yang amat baik bagi pengguna internet di Malaysia. Ia akan menyebabkan bukan sahaja TM dan TIME, malah semua penyedia perkhidmatan internet yang lain bersaing secara sihat dengan menawarkan pakej terbaik bagi menarik perhatian pelanggan.

Sumber

Berkaitan